Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Menteri MOT Ong Ye Kung jawab 7 soalan utama unit baru ERP

Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung pada Khamis (10 Sep) menyentuh tentang Unit Dipasang Dalam Kenderaan (OBU) bagi Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) yang akan diperkenalkan kepada kenderaan yang berdaftar di Singapura pada 2021. 

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri MOT Ong Ye Kung jawab 7 soalan utama unit baru ERP

(Gambar: LTA)

Diterbitkan : 10 Sep 2020 08:39PM Dikemas Kini : 10 Sep 2020 08:42PM

SINGAPURA: Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung pada Khamis (10 Sep) menyentuh tentang Unit Dipasang Dalam Kenderaan (OBU) bagi Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) yang akan diperkenalkan kepada kenderaan yang berdaftar di Singapura pada 2021. Beliau berkata terdapat beberapa maklum balas dan soalan mengenai OBU itu sejak ia diumumkan awal minggu ini.

OBU akan digunakan apabila Singapura menukar ke sistem ERP generasi baru berdasarkan Sistem Satelit Pengemudian Global (GNSS) pada pertengahan 2023. Ini menggantikan sistem gantri yang sudah berusia lebih 20 tahun.

Kenderaan berdaftar di Singapura sedia ada akan menerima OBU pertama secara percuma dan ia akan menggantikan unit dalam kenderaan (IU) yang digunakan sekarang dalam satu proses pemasangan yang dijadual bermula pada separuh kedua tahun depan.

Dalam satu catatan Facebook, Encik Ong menjawab tujuh soalan yang kerap ditanya mengenai OBU.

KENAPA PERLU OBU TIGA KEPING UNTUK KERETA

Bagi motosikal, OBU adalah sebuah alat sekeping yang direka sedemikian rupa agar ia boleh dipasangkan pada kenderan itu. Bagaimanapun, semua kenderaan lain akan dipasang dengan OBU tiga keping termasuk antena dan paparan skrin sentuh yang dipasang pada cermin depan. Terdapat juga sebuah unit pemprosesan yang akan dipasang di bawah papan pemuka.

Alat OBU yang baru di sebuah motosikal. (Gambar: LTA)

Encik Ong berkata walaupun "secara teknikal tiada masalah mempunyai sebuah unit bersepadu", "isunya adalah haba".

"Dari semasa ke semasa, kita meletakkan kereta di bawah terik matahari dan sebuah unit pemprosesan pada papan pemuka tidak boleh berfungsi tanpa unit penyejuk yang besar. Maka itu, kontraktor mereka bentuknya sebagai modul berasingan di bawah papan pemuka dan bukan membuatnya sebahagian daripada OBU bersepadu lebih besar di papan pemuka," jelas Encik Ong.

KENAPA CERMIN DEPAN OBU SANGAT BESAR?

Gambar-gambar unit OBU mungkin agak mengelirukan, kata Encik Ong.

Beliau menjelaskan ukuran cermin depan unit itu adalah 152 milimeter (mm) kali 80mm berbanding IU sekarang, yang berukuran 121mm kali 78mm, membuatkan unit baru itu "besar sedikit".

"Kami akan mengumpul maklum balas melalui bengkel-bengkel tidak lama lagi dan akan membincangkan cara terbaik untuk memasang unit-unit baru agar ia mengurangkan hadangan pada cermin depan," ujarnya.

GUNA OBU UNTUK NAVIGASI

Selain menyediakan maklumat tentang tempat-tempat bayaran ERP dan kadarnya, OBU juga akan menyediakan kemas kini lalu lintas jalan raya berdasarkan masa nyata. Ini selain memaklumkan lokasi zon sekolah dan Zon Warga Emas berdekatan.

Bagaimanapun, timbul pendapat bahawa sesetengah pemandu lebih memilih untuk menggunakan telefon bijak mereka sebagai navigasi di jalan raya dan unit paparan baru itu hanya akan menimbulkan gangguan.

OBU untuk semua jenis kenderaan lain kecuali bagi motosikal. (Gambar: LTA)

"Kami memperakui bahawa kebanyakan pemandu lebih memilih untuk menggunakan peralatan navigasi mereka sendiri tetapi paparan itu adalah sebuah fungsi berguna untuk digabungkan.

"Selain menunjukkan maklumat urus niaga ERP mengikut masa nyata, LTA (Penguasa Pengangkutan Darat) boleh menggunakannya untuk mengeluarkan maklumat berkaitan lalu lintas yang penting sekiranya perlu. Maka itu, lebih baik untuk menyediakannya sekarang supaya penggunaan baik yang lain boleh disertakan pada masa akan datang," kata Encik Ong.

BAGAIMANA JIKA SAYA TIDAK MAHUKAN PAPARAN ITU?

"Paparan itu adalah isu standard," kata Encik Ong.

"Kami juga sedar bahawa walaupun terdapat unit yang lebih sederhana tanpa paparan tersedia, pemandu mungkin memilih unit yang lebih mudah terlebih dahulu dan kemudian ingin menukar kembali ke unit dengan skrin paparan kerana kita ingin tahu berapa banyak yang ditolak, berapa baki yang tinggal," katanya sambil menambah bahawa ini "selalu berlaku".

BOLEH GUNAKAN TELEFON BIJAK DAN BUKANNYA UNIT PAPARAN?

Satu lagi isu yang dibangkitkan adalah kemungkinan untuk terus menggunakan telefon bijak sebagai ganti kepada unit paparan memandangkan para pemandu kini boleh membayar bagi tempat letak kereta menggunakan telefon bijak mereka.

Encik Ong berkata ini adalah satu "penambahbaikan masa depan" tetapi ia "lebih baik untuk mempunyai alat standard".

"Keselamatan data adalah pertimbangan utama apabila kami memutuskan bagi sebuah alat standard dan bukannya menggunakan telefon bijak kita sendiri. Lagipun, jika kita menggunakan telefon bijak kita untuk ERP, akan ada isu operasi seperti keterbatasan kuasa bateri atau terlupa untuk membawa telefon bijak," ujar beliau.

MENGAPA TIADA BAYARAN BERDASARKAN JARAK?

Walaupun sistem baru itu berupaya memanfaatkan pembayaran berdasarkan jarak, "sebagai dasar, kami menahannya," kata Encik Ong.

"Memandangkan sistem ini akan beralih pada 2023, adalah lebih baik untuk meneruskan pembayaran kesesakan jalan raya dalam satu kaedah yang berkesan dan terbiasa bagi para pemandu," katanya.

"Pembayaran berdasarkan jarak adalah satu perubahan dasar yang besar yang mempunyai banyak kesan dan harus dikaji dengan teliti."

MENGAPA TIADA RUNDINGAN TENTANG REKA BENTUK OBU?

Encik Ong berkata LTA mempunyai beberapa "kekangan praktikal".

"Ia membuka sebuah tender antarabangsa dan pelbagai cadangan dikemukakan termasuk yang sedia ada. LTA kemudian perlu memilih sistem yang terbaik untuk menggantikan sistem ERP lama. Selepas itu, LTA terikat secara kontrak.

"Boleh ada rundingan dan perubahan pada reka bentuk tetapi akan menjejas kontrak itu.

"Kami perlu melihat bagaimana untuk melakukan lebih baik pada lain masa," katanya.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan