Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Menteri MOM tolak cadangan ubah kaedah kiraan pembayaran faedah CPF

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata pada Rabu (7 Feb) bahawa tiada perubahan kepada kiraan kaedah pembayaran bulanan faedah Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Beliau menjawab soalan oleh Anggota Parlimen (AP) Louis Chua (WP-Sengkang) tentang sama ada Lembaga CPF sudah menyemak bagaimana pembayaran faedah bulanan dikira.

Encik Tan berkata, meskipun sebarang perubahan mungkin menyebabkan pembayaran faedah lebih tinggi bagi pencarum yang melakukan pemindahan CPF, semua pencarum sudah meraih manfaat daripada kadar faedah lebih tinggi sistem tersebut.

Pada masa ini, sumbangan CPF dalam satu bulan hanya akan meraih faedah pada bulan seterusnya, sementara pengeluaran CPF dan pemotongan dibuat pada bulan tersebut tidak akan meraih faedah dari bulan yang sama.

Encik Chua bertanya sama ada lembaga tersebut akan menimbangkan untuk menyertakan caruman CPF yang dibuat pada bulan tersebut ketika mengira pembayaran faedah bulanan.

Beliau juga bertanya tentang langkah memberikan faedah bergantung kepada berapa hari caruman itu berada dalam akaun CPF sebelum ia dikeluarkan.

Ketika menjelaskan isu tersebut di sidang parlimen, Encik Chua menarik perhatian bahawa deposit tetap bank dan bil simpanan pemerintah Singapura menawarkan kadar faedah yang menarik, lebih daripada 2.5 peratus faedah minimum pada simpanan Akaun Biasa (OA) CPF.

Namun disebabkan cara pembayaran faedah bulanan CPF dikira, pencarum yang menyalurkan dana CPF kepada mana-mana pelaburan boleh kehilangan faedah sebanyak dua bulan, katanya.

Memberikan jawapan, Menteri MOM Tan See Leng berkata kaedah yang digunakan sekarang untuk mengira pembayaran faedah bulanan CPF harus dilihat dalam konteks ciri sistem CPF yang tidak digunakan pada deposit bank.

Beliau mengulangi bahawa pemerintah masih membayar faedah minimum 2.5 peratus untuk akauan OA dan kadar lantai 4 peratus bagi Akaun Khas, Medisave dan Persaraan, meskipun kadar faedah yang rendah sejak 20 tahun lalu.

Encik Tan menambah sistem CPF memberikan semua pencarum 1 peratus faedah tambahan bagi S$60,000 pertama gabungan baki CPF. Pencarum berusia 55 dan ke atas menerima 1 peratus faedah tambahan bagi S$30,000 pertama gabungan baki CPF.

Beliau juga berkata dalam kebanayakan kes,jika seseorang pelanggan mengeluarkan dana dari deposit tetap bank, mereka tidak akan menerima potensi faedah yang diraih.

"Meskipun dengan mengubah kaedah perkiraan boleh menyebabkan pembayaran faedah CPF lebih tinggi, ciri-ciri yang saya bentangkan sudah menawarkan pencarum CPF dengan kadar faedah lebih tinggi dan peningkatan yang banyak kepada simpanan CPF mereka," kata menteri itu.

Beliau menambah Lembaga CPF sering menyemak kiraan faedah CPF untuk terus mengoptimumkan pulang bagi para pencarum untuk mengambil kira ketidaktentuan geopolitik.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan