Skip to main content

Singapura

Menteri Masagos Zulkifli pengerusikan Panel Penasihat Kolej Islam SG, Abdullah Tarmugi pimpin Lembaga Pengelola

Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli akan mengetuai Panel Penasihat Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) dan Lembaga Pengelolanya pula akan dipimpin oleh Encik Abdullah Tarmugi.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli akan mengetuai Panel Penasihat Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) dan Lembaga Pengelolanya pula akan dipimpin oleh Encik Abdullah Tarmugi.

Encik Abdullah, 80 tahun merupakan mantan Speaker Parlimen.

Beliau juga pernah menggalas tanggungjawab selaku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam selama 9 tahun hingga 2002.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Lembaga Pengelola SCIS akan mengemudi kolej itu ke arah visi dan misinya serta memelihara integriti SCIS.

Ini dari segi pematuhan dan mencapai matlamat penyelidikan dan pendidikan SCIS.

“Saya sangat berbesar hati untuk memperkukuh pengajian Islam di Singapura. Bersama-sama Lembaga Tadbir Urus kami dan bimbingan mereka dalam standard akademik dan tadbir urus, kami akan teruskan kecemerlangan Singapura dari segi pendidikan bagi Pengajian Islam,” kata Encik Abdullah.

“Visi kami bersama adalah untuk memupuk kecendekiawan keagamaan yang sejajar dengan cabaran kontemporari, memperkukuh daya tahan keagamaan masyarakat kita dan menyumbang secara bermakna kepada masa depan kepimpinan keagamaan kita dan kehidupan sosioagama yang cemerlang bagi Muslim di Singapura,” tambahnya.

Menurut Encik Masagos, peranan itu akan digalas Encik Abdullah untuk tempoh tiga tahun.

Sehubungan dengan itu, MUIS juga mengumumkan senarai anggota Panel Penasihat yang diterajui Encik Masagos.

Mereka terdiri daripada para pemimpin institusi-institusi dalam dan luar negara.

Panel tersebut akan menumpukan kepada peluang-peluang penyelidikan antarabangsa dan perkembangan dalam bidang pendidikan yang sejajar dengan keperluan SCIS dan masyarakat Muslim Singapura.

Sebelum ini, Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir sudah diumumkan sebagai ketua Jawatankuasa Pemandu projek SCIS.

Senarai Anggota Panel Penasihat SCIS:

Pengerusi: Masagos Zulkifli, Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam

Anggota:
1. Dr Nazirudin Mohd Nasir, Mufti Negara
2. Profesor Tan Tai Yong, Pengerusi SUSS
3. Profesor Lily Kong, Presiden, Universiti Pengurusan Singapura (SMU)
4. Dr Nazir Mohamed Ayyad, Mufti Besar Mesir
5. Profesor Dr Salama Dawood, Presiden, Universiti Al-Azhar
6. Profesor Driss Fassi Fihri, Naib-Presiden, Universiti Al Qarawiyyin
7. Profesor Dr. Abdul Rahman Alkilan, Dekan Sekolah Shariah, Universiti Jordan
8. Profesor Koutoub Moustapha Sano, Setiausaha Agung, Akademi Islam Fiqh Internasional
9. Profesor Mona Siddiqui, Profesor Islam dan Pengajian Antara Agama
Sumber : BERITA Mediacorp/SY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita