Skip to main content

Singapura

Menteri Luar SG adakan panggilan telefon dengan rakan sejawatan dari Palestin, Israel; sahkan semula huraian dua negara, bantuan kemanusiaan untuk Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Luar SG adakan panggilan telefon dengan rakan sejawatan dari Palestin, Israel; sahkan semula huraian dua negara, bantuan kemanusiaan untuk Gaza

Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan (tengah) telah berbincang dengan rakan sejawatannya dari Palestin Varsen Aghabekian Shahin (kiri) dan rakan sejawatannya dari Israel Gideon Moshe Sa'ar (kanan). (Gambar: REUTERS, AFP)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 10 Sep 2025 10:39PM Dikemas Kini : 10 Sep 2025 10:43PM
SINGAPURA: Menteri Luar Vivian Balakrishnan mengadakan panggilan telefon secara berasingan dengan rakan-rakan sejawatan dari Israel dan Palestin, mengesahkan semula sokongan Singapura bagi gencatan senjata, bantuan kemanusiaan ke Gaza dan huraian dua negara, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Rabu (10 Sep).

Pada Selasa (9 Sep), Israel melancarkan serangan udara yang menyasarkan pemimpin Hamas di Doha.

Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani berkata serangan itu mengancam untuk menggagalkan rundingan damai yang diusahakan oleh Qatar sebagai pengantara, antara Hamas dengan Israel.

Serangan itu dikecam oleh beberapa negara, termasuk Singapura, yang sebelum ini menyifatkan serangan itu sebagai "pelanggaran terang-terangan" ke atas kedaulatan Qatar.

Dr Balakrishnan menerima panggilan secara berasingan dari Dr Varsen Aghabekian Shahin, Menteri Ehwal Luar dan Ekspatriat Penguasa Palestin (PA) dan Encik Gideon Moshe Sa'ar, Menteri Ehwal Luar Israel masing-masing pada Selasa dan Rabu.

Diplomat kanan Singapura itu mengadakan "perbualan spontan dan terbuka" berhubung situasi di Timur Tengah bersama kedua-dua menteri, menurut MFA.

Dalam panggilan itu, Dr Balakrishnan mengulangi "keprihatinan besar Singapura terhadap krisis kemanusiaan yang teruk di Gaza" dan keperluan supaya gencatan senjata segera dilaksanakan serta semua tebusan dibebaskan serta-merta dan tanpa syarat.

Beliau juga "menegaskan pendirian teguh Singapura bahawa huraian dua negara yang dirundingkan, selaras dengan ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang relevan, adalah satu-satunya laluan yang berdaya maju untuk mencapai penyelesaian yang komprehensif, adil dan berkekalan kepada konflik yang sudah lama berlarutan".

"Menteri Balakrishnan menyatakan harapan agar Israel dan PA akan kembali berunding ke arah huraian dua negara," menurut MFA.

Dalam panggilan telefon bersama Menteri Ehwal Luar Palestin Aghabekian, Dr Balakrishnan menyatakan sokongan "sekian lama" Singapura supaya penduduk Palestin mempunyai hak untuk menentukan nasib mereka dan negara mereka sendiri.

Singapura juga komited memainkan peranan dalam usaha antarabangsa bagi mengurangkan penderitaan penduduk Palestin di Gaza, kata Dr Balakrishnan kepada Dr Aghabekian.

Dr Balakrishnan menarik perhatian bahawa Singapura sudah menyumbang sembilan pusingan bantuan bernilai lebih S$22 juta, serta beberapa operasi penghantaran bantuan kemanusiaan yang digugurkan dari udara ke Gaza, termasuk pengerahan pesawat pengangkutan C-130 Angkatan Udara Republik Singapura ke Jordan pada bulan lalu.

"Menteri Aghabekian merakamkan penghargaan atas bantuan kemanusiaan Singapura, serta sokongan Singapura terhadap usaha pembinaan keupayaan PA, untuk menyediakan penduduk Palestin apabila ia meraih status kenegaraan," menurut MFA.

Usaha-usaha demikian termasuk inisiatif sedia ada Singapura di bawah Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat bernilai S$10 juta untuk membantu Penguasa Palestin (PA) bersiap sedia apabila ia mencapai kenegaraan, termasuk latihan oleh pegawai Palestin dalam topik-topik seperti perancangan dan pembangunan bandar, dan kewangan awam dan dasar fiskal.

Dalam panggilan Dr Balakrishnan bersama rakan sejawatannya dari Israel pada Rabu, beliau menyampaikan "keprihatinan serius" Singapura mengenai peluasan operasi tentera Israel di Gaza, menurut MFA.

Dr Balakrishnan menekankan bahawa walaupun Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri sebagai tindak balas kepada serangan pengganas Hamas pada 7 Oktober 2023, "tindakan ketenteraan yang berlebihan sejak itu memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sudah teruk dan memanjangkan penderitaan orang awam yang tidak bersalah di Gaza".

Beliau menggesa Israel supaya memastikan "penyampaian bantuan kemanusiaan untuk orang awam dengan segera, pantas dan tanpa halangan" di Gaza.

"Menteri Balakrishnan juga menggesa Israel supaya tidak mengambil sebarang tindakan unilateral untuk mengubah status quo yang akan menjejas prospek huraian dua negara," menurut MFA.

Dr Balakrishnan juga mengulangi pandangan Singapura bahawa serangan udara Israel ke atas Doha adalah "pelanggaran terang-terangan ke atas kedaulatan Qatar dan menjejas usaha berterusan untuk mencapai gencatan senjata dan membebaskan tebusan di Gaza".
Sumber : CNA/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita