Skip to main content

Singapura

Menteri Luar S'pura, M'sia bertemu 8 Jan berhubung pertikaian ruang udara, maritim

Menteri-menteri Ehwal Luar Singapura dan Malaysia akan bertemu dengan di Singapura pada 8 Jan. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Jan 2019 10:23PM Dikemas Kini : 02 Jan 2019 09:51PM

SINGAPURA: Menteri-menteri Ehwal Luar Singapura dan Malaysia akan bertemu dengan di Singapura pada 8 Jan. Demikian menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) pada Selasa (1 Jan).

Pertemuan itu menyusuli pertikaian berhubung perairan dan ruang udara antara kedua-dua negara.

"Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean dan Menteri Kewangan Heng Swee Keat melawat Putrajaya, Malaysia pada 31 Dis, 2018 bagi menyampaikan pesanan kepada Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad, bagi pihak Perdana Menteri Lee Hsien Loong," menurut seorang jurucakap MFA dalam satu respons kepada pertanyaan media.

MFA menambah bahawa terdapat beberapa rancangan bagi kedua-dua menteri pengangkutan negara untuk berjumpa dalam masa terdekat ini.

Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan sebelum ini berkata bahawa Singapura sedang membuat persiapan bagi perbincangan berhubung isu maritim itu pada Januari dan merancang untuk berunding "secara baik".

Menteri Luar Negara Malaysia Saifuddin Abdullah berkata bahawa mesyuarat pada 8 Jan turut akan menyentuh mengenai isu-isu ruang udara.

Bernama menukil Encik Saifuddin dengan mengatakan bahawa pertikaian ruang udara merupakan antara isu-isu yang dibincangkan ketika mesyuarat antara Dr Mahathir dan DPM Teo pada Isnin.

"Kunjungan (saya) ke Singapura adalah sebagai sambungan kepada pertemuan semalam. Ada beberapa isu (yang dibincangkan semalam), tapi isu yang perlu disegerakan ialah rancangan Singapura berhubung Lapangan Terbang Seletar yang akan melalui ruang udara Pasir Gudang, Johor. 

“Saya yakin isu ini boleh dibincangkan dengan baik dalam mencari situasi menang-menang kepada kedua-dua negara," kata Encik Saifuddin kepada pemberita.

"Kami membantah dan mengisytiharkan ruang udara itu sebagai kawasan terlarang, dan ini akan menimbulkan satu masalah kepada Singapura. Saya yakin bahawa isu itu akan dibincangkan dengan baik agar dapat meraih hasil yang baik bagi kedua-dua pihak," tambahnya.

Di bawah peraturan sekarang, pengurusan ruang udara di selatan Johor diberikan kepada Singapura, bermakna bahawa Singapura menawarkan khidmat kawalan trafik udara di ruang udara tersebut.

Peraturan itu dipersetujui pada 1973 oleh Malaysia, Singapura dan negara-negara serantau yang lain, dan kemudian diluluskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Satu perjanjian dua hala dimeterai antara Malaysia dengan Singapura pada 1974.

Bagaimanapun, Malaysia menyatakan bahawa pihaknya mahu mengambil balik "ruang udara yang diperuntukkan" itu dengan Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke menukil beberapa kebimbangan mengenai kedaulatan dan kepentingan negara.

Menurut Encik Khaw, Malaysia seakan-akan menggunakan "alasan teknikal" untuk mengubah peraturan ruang udara di selatan johor. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita