Skip to main content

Singapura

Menteri Luar M'sia yakin isu dua hala bersama SG dapat terus dibincang dalam konteks membina

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Luar M'sia yakin isu dua hala bersama SG dapat terus dibincang dalam konteks membina

(Gambar: MFA)

Diterbitkan : 30 Jan 2023 10:05AM

SINGAPURA: Menteri Luar Malaysia Zambry Abdul Kadir yakin isu-isu dua hala melibatkan Malaysia serta Singapura akan dapat terus dibincangkan dalam “konteks yang konstruktif dan secara produktif".

Ia sangat penting untuk kedua-dua negara mengadakan sesi perbincangan atau rundingan yang boleh memberikan keputusan yang baik “bukan untuk sebelah pihak tetapi kedua-dua belah pihak".

Encik Zambry berkata demikian ketika ditemui media Malaysia di sesi ‘Meet and Greet’ paa lewat Ahad malam (29 Jan) sejurus melakukan pertemuan bersama rakan sejawatnya di Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Beliau berada di Singapura sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Singapura pada Isnin (30 Jan). Encik Anwar dijangka tiba sekitar pukul 9.30 pagi.

Menurut Encik Zambry, pertemuan antara beliau dengan Dr Balakrishnan adalah bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan hubungan dua hala dan juga persiapan awal untuk kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan pada hari ini.

“Kami turut berbincang beberapa hal yang berkaitan dengan isu-isu yang melibatkan kedua-dua negara yang memerlukan persefahaman bersama untuk kita selesaikan.

“Daripada segi isunya tidaklah begitu banyak yang memerlukan langkah-langkah segera untuk kita selesaikan, namun ia melibatkan beberapa perkara penting untuk dilihat secara bersama dan membuat keputusan bersama,” katanya.

Antara isu berkaitan termasuklah persetujuan berhubung Pembatasan Sempadan Maritim, Rantau Maklumat Penerbangan dan juga melibatkan beberapa hal lain daripada segi perjanjian bersama yang telah dibuat selama ini.

Menteri itu berkata Malaysia dan Singapura selama ini mempunyai persamaan dan harapan sama untuk melihat rantau ini berada dalam keadaan yang baik.

“Dalam erti kata lain, perbincangan atau rundinggan begini perlulah diteruskan atas semangat hubungan kejiranan yang baik dengan niat yang baik dan matlamat yang benar-benar baik untuk kita selesaikan pelbagai isu.

“Ia supaya setiap perkara yang dibincangkan itu tidak akan menyebelahi satu pihak sahaja tetapi ia hendaklah dapat mencapai satu keputusan secara menang-menang dan yang akan boleh membawa hasil daripada keputusan yang dibuat itu untuk kita melangkah ke hadapan secara lebih baik di masa akan datang,” jelasnya.

Malaysia, kata Encik Zambry, mengharapkan sebarang bentuk perbincangan atau rundingan yang dibuat kelak tidak akan mendatangkan keadaan kalah menang. 

“Kita ingin mendapatkan keputusan yang benar-benar konstruktif. Ini juga melibatkan hal yang berkaitan dengan sempadan laut yang selama ini mungkin menjadi isu dan juga perhatian di peringkat Malaysia,” katanya.

Dalam rangka lawatan satu hari pada Isnin, jadual padat menunggu Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang turut dijangka melakukan pertemuan empat mata bersama rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong, di Istana.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita