Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Menteri, lebih 100 pegawai awam SG jadi mangsa emel peras ugut dengan gambar 'deepfake'

Lebih 100 kakitangan pemerintah Singapura daripada lebih 30 agensi pemerintah telah menerima emel peras ugut sejak Selasa (26 Nov), dengan beberapa menteri juga terlibat, kata Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada Khamis.

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri, lebih 100 pegawai awam SG jadi mangsa emel peras ugut dengan gambar 'deepfake'

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 28 Nov 2024 11:06PM Dikemas Kini : 28 Nov 2024 11:10PM
SINGAPURA: Lebih 100 kakitangan pemerintah Singapura daripada lebih 30 agensi pemerintah telah menerima emel peras ugut sejak Selasa (26 Nov), dengan beberapa menteri juga terlibat, kata Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada Khamis.

Emel tersebut dihantar kepada pemegang jawatan politik, pegawai awam dan sebilangan agensi, menuntut 50,000 USDT (AS$50,000) atau sekitar S$67,140, sebagai balasan untuk tidak menerbitkan video yang boleh menjejas reputasi mereka.

Emel tersebut mengandungi gambar yang dikatakan sebagai petikan skrin daripada video yang dimaksudkan, dengan gambar yang dimanipulasi yang jelas menunjukkan wajah kakitangan pemerintah yang terlibat, menurut MDDI.

Kesemua kandungan dan gambar dalam emel tersebut adalah sama, dengan perbezaan hanya pada wajah pemegang jawatan politik atau pegawai awam dalam gambar tersebut. Gambar-gambar tersebut kelihatan seperti diambil daripada sumber terbuka seperti LinkedIn, tambah MDDI.

Menteri-menteri yang terlibat termasuk Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan Chee Hong Tat, serta Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang Edwin Tong.

MDDI menarik perhatian bahawa para anggota Majlis Perundangan Hong Kong juga telah menerima emel serupa pada 23 November.

"Pemerintah mengambil pendirian toleransi sifar terhadap penggunaan 'deepfake' bagi tujuan peras ugut atau gangguan. Pegawai awam yang menerima emel tersebut telah dinasihatkan untuk melaporkannya kepada pihak polis dengan segera," jelas MDDI.

Pada Khamis, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata beberapa kakitangan dari institusi jagaan kesihatan awam Singapura telah menerima emel peras ugut yang mengandungi gambar-gambar lucah palsu diri mereka.

Gambar yang telah dipalsukan itu gambar wajah mangsa yang dipaparkan pada petikan skrin lucah seorang lelaki dan seorang wanita yang "dikatakan berada dalam situasi intim dan memalukan", menurut MOH.

MOH menyatakan pihaknya telah dimaklumkan tentang insiden itu pada Selasa.

"Emel tersebut dihantar dari beberapa alamat emel dan mengancam untuk mendedahkan gambar-gambar tersebut, melainkan wang tebusan diberikan," menurut kementerian itu.

"Semua individu yang terlibat telah dinasihatkan untuk membuat aduan polis. Tiada kerugian kewangan dilaporkan oleh individu-individu yang terlibat."

MOH telah memberi amaran kepada semua institusi jagaan kesihatan awam, badan berkanun dan kakitangan untuk melaporkan emel peras ugut serupa kepada polis jika mereka menerimanya.

"MOH dan kelompok jagaan kesihatan kami mengambil pendirian toleransi sifar terhadap sebarang bentuk gangguan dan penderaan terhadap kakitangan, dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan berniat jahat ini terhadap pekerja kesihatan kami dan keluarga mereka," tambah kementerian itu.

Dalam kenyataan media yang berasingan pada Rabu, polis menyatakan terdapat kes-kes terbaharu mengenai emel peras ugut, dengan gambar yang dimanipulasi dengan cara yang serupa.

Polis menerima lebih daripada 20 aduan sedemikian pada hujung bulan November, termasuk aduan daripada pekerja jagaan kesihatan awam.

Emel tersebut memberi amaran mengenai "padah yang buruk" melainkan mangsa memindahkan 50,000 USDT ke akaun e-dompet kripto yang diberikan dalam emel tersebut.

"Berdasarkan kes-kes semasa, emel tersebut dihantar ke alamat emel kerja mangsa," tambah polis.

"Berdasarkan siasatan awal, maklumat mangsa, seperti gambar dan alamat emel kerja, dipercayai diperoleh daripada sumber terbuka di internet."

Siasatan polis sedang dijalankan.

Ini bukan kali pertama surat atau emel seumpama itu dilaporkan.

Pada awal tahun ini, beberapa Anggota Parlimen (AP) antara puluhan orang yang menerima surat peras ugut dengan gambar yang dimanipulasi.

Menteri Luar Vivian Balakrishnan, serta AP Tan Wu Meng, Yip Hon Weng dan Edward Chia berkata pada bulan April bahawa mereka telah menerima surat tersebut dan membuat aduan polis.

Dr Balakrishnan menulis dalam catatan Facebook bahawa surat tersebut mengandungi "gambar palsu yang tidak menyenangkan disertai dengan ancaman".

Encik Yip memberitahu Mediacorp bahawa gambar yang dipalsukan itu adalah dalam kualiti rendah dan hitam putih.

Polis menyatakan pada 19 April bahawa lebih daripada 70 aduan mangsa yang menerima surat peras ugut tersebut telah dibuat sejak Mac lalu.

Surat-surat tersebut juga memberi amaran tentang padah yang buruk, melainkan mereka menghubungi alamat emel yang diberikan.

"Dengan kemajuan teknologi penyuntingan foto dan video, termasuk penggunaan alat berkuasa kecerdasan buatan (AI), gambar, video dan petikan skrin yang dimanipulasi mungkin semakin banyak digunakan untuk peras ugut," menurut polis pada Rabu.

Mangsa yang menerima emel atau surat seperti ini dinasihatkan untuk tetap tenang dan tidak mengendahkan sebarang arahan untuk memulakan hubungan atau memindahkan wang atau mata wang kripto.

Memindahkan wang atau menghubungi penjenayah "akan memberi dorongan" kepada mereka untuk terus memeras ugut mangsa, jelas polis.

Mereka harus melaporkan perkara tersebut kepada polis dengan segera dan memberikan salinan emel tersebut.

"Jangan pernah berkongsi gambar/video/petikan skrin diri anda secara online atau melalui aplikasi sembang kerana ia mungkin jatuh ke tangan yang salah," tambah polis.
Sumber : CNA/IM/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan