Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Menteri Lawrence Wong: Untuk hargai warisan S'pura, perlu faham sejarah, budaya Melayu

Menteri Pendidikan Lawrence Wong menekankan bahawa rakyat Singapura harus sentiasa mempunyai perspektif yang seimbang tentang masa lalu, masa kini dan masa hadapan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Pendidikan Lawrence Wong menekankan bahawa rakyat Singapura harus sentiasa mempunyai perspektif yang seimbang tentang masa lalu, masa kini dan masa hadapan.

Ini katanya penting, kerana tanpa pemahaman baik terhadap sejarah misalnya, "kita berisiko hilang identiti kita kerana mudah dipengaruhi pengaruh-pengaruh luar".

"Kita akhirnya akan menjadi ibarat sebatang pokok tidak berakar - tidak boleh tumbuh dan mudah tumbang apabila ribut melanda," kata Encik Wong yang juga merupakan Menteri Kedua Kewangan.

"Pemerintah sendiri tidak boleh membentuk warisan Singapura. Warisan yang kita kongsi bersama nyatanya adalah koleksi memori para individu yang diabadikan dalam sejarah negara. Ia sesuatu yang kita semua boleh sumbangkan."

Beliau berkongsi demikian pada Isnin (14 Dis) semasa berucap di majlis pelancaran buku bertajuk 'Beyond Bicentennial: Perspectives on Malays' (Melangkaui Dwiabad: Perspektif tentang Melayu).

Menerusi 45 esei yang ditulis lebih 40 sarjana dan karyawan Melayu mahupun bukan Melayu, buku itu mengajak para pembacanya menilai semula pelbagai sumbangan masyarakat Melayu kepada pembangunan Singapura sepanjang dua abad lalu.

SEJARAH S'PURA BERKAIT RAPAT DENGAN BUDAYA MELAYU

Mengulas lebih lanjut tentang pentingnya menyelami sejarah, Encik Wong dalam ucapannya berkata, orang ramai hanya dapat melangkah dengan penuh yakin diri dalam keadaan tidak menentu apabila mereka mempunyai pemahaman yang baik tentang sejarah.

"Ia terutama sekali penting bagi generasi muda yang membesar dalam Singapura yang moden. Mereka perlu memahami kehidupan yang dilalui nenek moyang mereka untuk menghargai kekayaan sejarah, selain mempelajari nilai-nilai dan mencontohi sikap-sikap yang membawa kita ke hari ini," jelas Encik Wong.

"Dan untuk menghargai sepenuhnya warisan Singapura, kita perlu faham bahawa sejarah Singapura berkait rapat dengan budaya Melayu."

Encik Wong menyebut tentang bagaimana Singapura merupakan sebahagian dunia Melayu yang terdiri daripada Kepulauan Riau dan Johor sebelum ketibaan Raffles.

"Sedang kita mula berkembang sebagai pusat perdagangan, Singapura menjadi pusat bagi kehidupan dan pembelajaran Islam. Maka itu budaya Melayu adalah cebisan penting dalam sejarah dan warisan kita," tambah Encik Wong.

Ia bahagian penting dalam identiti negara dan kehidupan kita, tegasnya lagi.

BUKU 'PERKENAL' TOKOH-TOKOH KURANG DIKETAHUI SEPERTI CHE SAHORAH

Maka itulah, buku seperti 'Beyond Bicentennial: Perspectives on Malays' memainkan peranan penting kerana ia mengumpulkan perspektif-perspektif berbeza - dari penulis Melayu dan bukan Melayu.

Lebih dari itu, buku tersebut memperkenalkan tokoh-tokoh yang "kurang dikenali tetapi sudah membuat sumbangan bermakna", seperti Che Sahorah - seseorang yang sangat berwawasan.

Che Sahorah memainkan peranan penting dalam memartabatkan kaum wanita di Singapura. Wanita itulah yang pernah menyerahkan petisyen kepada pemerintah satu ketika demi memperjuang hak wanita di tempat kerja. Tuntutannya tidak sia-sia. Pada 1962, pemerintah memberi jaminan bahawa semua perubahan yang diinginkan bakal dipenuhi.

"Semasa Che Sahorah menggalas tugas sebagai AP (Anggota Parlimen) dalam Dewan Undangan Pertama, keseluruhannya ada lima AP wanita. Kini kami ada hampir 30. Ia sesuatu yang baik tetapi boleh diperbaiki. Dan sedang kita memulakan perbincangan dan melakukan semakan lanjut tentang pembangunan wanita dan kesamarataan jantina... kita memberi penghormatan kepada para perintis yang sudah memperjuangkan kesamarataan jantina (selama ini)," kata Encik Wong.

Kisah tentang Che Sahorah terakam dalam buku baru itu dan ditulis oleh Encik Muhammad Suhail Mohd Yazid dari ISEAS - Institut Yusof Ishak.

ANALISIS OBJEKTIF TENTANG SUMBANGAN MELAYU

Buku sempena dwiabad Singapura itu disunting mantan Menteri Negara Kanan Ehwal Luar Zainul Abidin Rasheed, mantan Anggota Parlimen Wan Hussin Zoohri dan Zamil Kanan ISEAS - Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat.

Menteri Pendidikan Lawrence Wong dan Menteri Kedua Pendidikan Maliki Osman menghadiri acara pelancaran buku 'Beyond Bicentennial'. (Gambar: Sarafian Salleh) 

(Gambar: Sarafian Salleh)

Menurut para editor 'Beyond Bicentennial: Perspectives on Malays' itu, memandangkan buku tersebut bertujuan membentangkan sudut pandangan orang Melayu dan juga dari lensa orang bukan Melayu, mereka mengundang para sarjana bukan Melayu dari pelbagai latar belakang untuk menyumbang esei.

"Ia seimbang kerana ia tidak hanya disampaikan oleh penulis-penulis Melayu tetapi sumbangan dari penulis-penulis bukan Melayu. Maknanya perspektif mereka terhadap Orang Melayu dan analisis yang objektif tentang pandangan mereka," terang Wan Hussin.

Semua esei terkumpul pula dibahagikan kepada enam bahagian - pembentukan identiti, penyatuan identiti, institusi, persona, masyarakat umum dan renungan.

Buku 'Beyond Bicentennial' itu berharga S$37 bagi edisi kulit lembut dan S$204 bagi edisi kulit keras. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan