Menteri Kanan Tharman, Menteri Josephine Teo, S Iswaran sertai Forum Ekonomi Dunia di Davos
(Gambar: Gian Ehrenzeller/Keystone/AP)
DAVOS, Switzerland: Menggiatkan semula perjalanan dan pelancongan, keselamatan siber dan kerjasama digital adalah antara beberapa isu yang akan dibincangkan oleh tiga menteri Singapura di Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) minggu depan.
Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial Tharman Shanmugaratnam, Menteri Pengangkutan yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan S Iswaran dan Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo, akan melakukan lawatan empat hari ke Davos, Switzerland mulai Isnin (23 Mei).
Demikian menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada Jumaat (20 Mei).
Mereka akan menemui pemimpin pemerintah dan perniagaan dari pelbagai negara di WEF.
Encik Tharman, Cik Teo dan Encik Iswaran akan diiringi oleh pegawai dari PMO dan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan serta Kementerian Perhubungan dan Penerangan.
Pegawai dari Agensi Keselamatan Siber Singapura dan Lembaga Kemajuan Ekonomi juga akan menyertai rombongan itu.
Encik Tharman akan berada di Geneva selama dua hari mulai 21 Mei bagi mesyuarat antarabangsa yang lain.
Selepas WEF, beliau akan ke Sweden untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat Lembaga Penasihat Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Multilateralisme Berkesan.
Encik Tharman dilantik menganggotai lembaga pengarah itu oleh setiausaha agung PBB Antonio Guterres pada Mac tahun ini.
Lembaga itu mempunyai 12 anggota terdiri daripada pemimpin global, pegawai dan pakar, bertanggungjawab untuk membuat cadangan bagi aturan pelbagai hala yang lebih berkesan meliputi pelbagai isu.
Saranan yang diusulkan lembaga itu bertujuan untuk menggariskan hala tuju perbincangan negara anggota PBB di acara Sidang Puncak Masa Depan yang bakal diadakan tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.