Skip to main content

Singapura

Menteri Besar Johor usul khidmat feri dari Puteri Harbour ke Tuas bagi kurangkan kesesakan laluan Linkedua

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Besar Johor usul khidmat feri dari Puteri Harbour ke Tuas bagi kurangkan kesesakan laluan Linkedua

(Gambar: Onn Hafiz Ghazi/Facebook)

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor bersama Singapura menjadikan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura sebagai keutamaan bersama.

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi berkata kata sepakat itu dicapai menerusi lawatan rasminya ke Singapura selepas pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Singapura, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan Singapura, S Iswaran, pada pagi Selasa (14 Feb).

"Ia penting dalam usaha meningkatkan kesalinghubungan, yang bukan sahaja penting untuk logistik perniagaan, tetapi juga hubungan sesama rakyat kedua-dua negara.

"Saya menyambut baik cadangan beliau (Iswaran) agar dalam kita memantau secara dekat perkembangan projek infrastruktur tersebut, kita juga perlu menetapkan sasaran jangka masa pendek dan sederhana, supaya kemajuan projek kekal dalam landasan yang ditetapkan," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin, menurut Astro Awani.

Jelas Encik Onn Hafiz, pihaknya mengulangi komitmen yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berhubung penambahan laluan motosikal untuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Katanya ini kerana Tambak Johor-Singapura adalah antara laluan darat tersibuk di dunia, dengan lebih 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, berulang-alik setiap hari dari Johor Bahru.

"Saya juga berkongsi keterbukaan YAB Anwar untuk melihat kepada cadangan melebarkan laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) ke Johor. Sudah semestinya hasrat ini, jika direalisasikan, dapat memberi manfaat kepada komuniti perniagaan di Singapura yang ingin melabur di Malaysia.

"Tidak ketinggalan, cadangan perkhidmatan feri baru dari Puteri Harbour ke Tuas, yang bertujuan sebagai antara solusi dalam mengurangkan kesesakan laluan di Laluan Kedua (SecondLink) Malaysia–Singapura.

"Saya sekali lagi menzahirkan tekad Kerajaan Negeri Johor dalam segala usahasama antara Johor-Singapura pada masa akan datang. Keakraban ini begitu signifikan untuk kedua belah pihak," katanya lagi, lapor Astro Awani.
Sumber : Agensi berita/SS/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita