Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Menteri akan jawab 'tuduhan palsu' kononnya FTA beri bakat asing 'kebebasan' bekerja di S'pura

Para menteri akan menjawab "tuduhan palsu" bahawa perjanjian perdagangan bebas membenarkan karyawan asing "kebebasan" untuk tinggal dan bekerja di Singapura, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Khamis (1 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri akan jawab 'tuduhan palsu' kononnya FTA beri bakat asing 'kebebasan' bekerja di S'pura

(Gambar: Parliament of Singapore/Facebook)

Diterbitkan : 01 Jul 2021 06:51PM Dikemas Kini : 01 Jul 2021 06:54PM

SINGAPURA: Para menteri akan menjawab "tuduhan palsu" bahawa perjanjian perdagangan bebas membenarkan karyawan asing "kebebasan" untuk tinggal dan bekerja di Singapura, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Khamis (1 Jul).

Dalam catatan di Facebook pada Khamis, Encik Ong berkata dua kenyataan menteri akan disampaikan di Parlimen minggu depan untuk menjelaskan "betapa pentingnya" FTA kepada Singapura dan bagaimana ia berfungsi.

Kenyataan tersebut akan disampaikan oleh Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Tan See Leng dan Encik Ong, yang merupakan mantan perunding dagangan. Kenyataan tersebut kemudian akan dibahaskan.

Encik Ong juga merujuk kepada dua kejadian "serangan lisan dan fizikal terhadap orang India" baru-baru ini, yang disifatkan oleh beliau sebagai "amat membimbangkan dan tidak mencerminkan budi bicara warga Singapura".

Tanpa menyebut perinciannya, Encik Ong berkata kejadian-kejadian itu berlaku di tengah-tengah "sentimen negatif terhadap pendatang dari India sejak dua tahun lalu".

"Ada kebimbangan yang dilahirkan warga Singapura yang perlu ditangani, tetapi rasa tidak puas hati juga sebahagiannya didorong oleh tuduhan palsu oleh Parti Kemajuan Singapura (PSP) tentang bagaimana Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Singapura-India (CECA) telah memberikan PME rakyat India kebebasan untuk datang bekerja di sini,” tulisnya dalam catatan tersebut.

Menyusuli kejadian-kejadian itu, Encik Ong berkata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam semasa sidang parlimen Mei tahun ini meminta PSP untuk membentangkan usul perbahasan mengenai FTA dan CECA.

Ini supaya Parlimen dapat mengadakan perbahasan yang berhemah mengenai masalah ini, membincangkan apa yang dipertaruhkan untuk Singapura, dan "memberi penerangan tentang kenyataan yang tidak benar tentang CECA", kata Encik Ong.

"Menjelang usul PSP itu, kami telah menerima banyak soalan Parlimen mengenai hal tersebut, termasuk banyak daripada PSP," katanya, sambil menambah bahawa tujuan kenyataan menteri adalah untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan tersebut.

S'PURA AKAN GAGAL JIKA UNSUR PERKAUMAN, XENOFOBIA DIBENARKAN BERLELUASA: SHANMUGAM

Encik Shanmugam menegaskan di Parlimen pada 11 Mei bahawa Singapura akan gagal sekiranya negara ini membiarkan isu-isu berbaur perkauman dan xenofobia berleluasa.

Beliau menjawab pertanyaan Encik Murali Pillai (PAP-Bukit Batok), yang merujuk kepada satu kejadian pada minggu sebelumnya melibatkan seorang wanita 55 tahun berketurunan India yang didakwa ditendang di bahagian dada dan dilontarkan kata-kata berbaur perkauman kerana tidak memakai pelitup semasa berjalan pantas.

Akur perlu dilakukan siasatan sebelum kesimpulan dapat dibuat, Encik Shanmugam berkata serangan itu nampaknya berbaur perkauman berdasarkan dakwaan mangsa. Tingkah laku seperti itu patut dikutuk, tambahnya.

Encik Shanmugam juga merujuk ke laman-laman tertentu yang bersifat anti pemerintah - yang katanya adalah "baik-baik saja" - tetapi juga sengaja mengapi-apikan unsur perkauman, dengan komen yang menggambarkan orang India dengan kata-kata menghina.

Tingkah laku berbaur perkauman seperti itu tidak boleh dibenarkan hanya dengan alasan "orang India berkelakuan buruk" atau menyalahkan dasar Pemerintah seperti CECA.

"Ada beberapa desas-desus tentang CECA, yang disebarkan oleh kempen untuk merosakkan reputasi," katanya, sambil menambah bahawa mana-mana anggota parlimen yang percaya perjanjian perdagangan itu adalah satu masalah boleh mengemukakan usul untuk dibahaskan.

Beliau secara khusus merujuk kepada Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi Leong Mun Wai (PSP), yang sebelum ini pernah berkata beliau "sangat kecewa" bahawa Bank DBS tidak mempunyai ketua eksekutif "anak jati". PSP juga telah meminta agar perjanjian seperti CECA disemak semula.

"Saya sedang memandang anda, Encik Leong. Saya menjemput anda untuk mengemukakan usul untuk membahaskan CECA. Anda tahu bahawa kebanyakan yang dikatakan mengenai CECA adalah palsu,” kata Encik Shanmugam.

SINGAPURA HARUS "SANGAT PRIHATIN" TENTANG INSIDEN PERKAUMAN

Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Jumaat berkata Singapura harus "prihatin" terhadap kejadian-kejadian berunsur perkauman kerana akan "sentiasa ada risiko kita akan mundur, dan kita bergerak ke belakang." dalam isu berkaitan dengan kaum.

Dalam sesi dialog di mana Dr Shashi Jayakumar dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) menjadi moderator, Encik Wong menjawab pertanyaan tentang sama ada Singapura "menuju ke arah yang betul" dalam isu kaum.

Beliau telah bercakap dalam sesi dialog selepas menyampaikan ucapan di forum yang dianjurkan bersama oleh Institut Kajian Dasar (IPS) dan RSIS.

Kenyataan Encik Wong itu dibuat setelah beberapa insiden mencetuskan perbahasan awam mengenai kaum dan isu perkauman. Beliau berkata walaupun Singapura telah "mencapai keadaan lebih baik" berhubung isu perkauman berbanding 20, 30 tahun lalu, perkauman masih wujud di negara ini.

"Memang, kejadian baru-baru ini adalah satu keprihatinan," kata Encik Wong. "Kita harus benar-benar prihatin tentang ini kerana kita tidak boleh menganggap bahawa kemajuan akan sentiasa bergerak dalam satu arah. Akan selalu terdapat risiko kita akan mundur, dan kita bergerak ke belakang." 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan