Skip to main content

Singapura

Menjamin prospek pekerjaan lebih baik keutamaan NTUC dalam Industri 4.0

Menjamin prospek pekerjaan lebih baik kekal sebagai salah satu keutamaan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) di tengah-tengah Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Apr 2019 06:00AM Dikemas Kini : 25 Apr 2019 09:27PM

SINGAPURA: Menjamin prospek pekerjaan lebih baik kekal sebagai salah satu keutamaan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) di tengah-tengah Revolusi Perindustrian Keempat atau Industri 4.0.

Demikian antara intipati mesej Hari Buruh 2019 oleh Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng dan Presiden NTUC Mary Liew hari ini (25 Apr). Ini juga merupakan mesej Hari Buruh pertama oleh Encik Ng sebagai setiausaha agung gerakan itu sejak beliau mengambil alih jawatan tahun lalu.

Menyingkap usaha NTUC sepanjang lima dekad sejak ia membentuk kerjasama tiga pihak dengan masyarakat perniagaan, Encik Ng dan Cik Liew menekankan matlamat gerakan tersebut kekal sama meskipun dengan peredaran masa, iaitu "membantu para pekerja kita mendapatkan gaji lebih baik, kebajikan lebih baik dan prospek pekerjaan lebih baik".

Mereka menambah, kenaikan gaji keseluruhan tahunan secara purata yang lebih tinggi bagi pekerja di syarikat berkesatuan kerja berbanding purata kebangsaan adalah antara hasil usaha NTUC selama bertahun-tahun.

Sementara itu, mewajibkan Model Gaji Progresif (PWM), menggalak syarikat melaksanakan aturan kerja fleksibel dan mesra keluarga serta mengendali perusahaan-perusahaan sosial adalah antara usaha berterusan gerakan itu dalam terus membantu golongan pekerja mendapat gaji dan kebajikan yang lebih baik.

JAWATANKUASA LATIHAN SYARIKAT DIBENTUK

Namun demi menghadapi Industri 4.0, Encik Ng dan Cik Liew menekankan peri pentingnya para pekerja terus dilatih supaya dapat terus mengharungi perubahan masa muka.

"Para pekerja mesti dilatih seiringan dengan itu, sebagai Pekerja 4.0, bukan hanya untuk mengikuti perubahan ini, tetapi juga untuk menjamin prospek pekerjaan lebih baik. Seorang Pekerja 4.0 mahir dalam mengharungi perubahan dan memiliki kemahiran-kemahiran mudah suai, teknologi dan teknikal," menurut mereka.

Demi mencapai matlamat ini, NTUC memanfaatkan rangkaian kesatuan sekerja dan syarikat untuk membentuk Jawatankuasa-Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) untuk merancang dan melaksanakan program-program latihan.

Sejauh ini, 18 firma sudah menyuarakan komitmen kepada daya usaha terbaru itu. Dalam masa tiga tahun, diharapkan 1,000 syarikat akan menyertainya supaya sekitar 330,000 pekerja boleh meraih manfaat.

Berikut adalah teks penuh mesej Hari Buruh oleh Encik Ng dan Cik Liew:

Tahun 2019 menandakan tahun ke-50 sejak NTUC menganjurkan “Seminar Kesatuan Sekerja mengenai Pemodenan Pergerakan Buruh”. Seminar itu adalah titik penting dalam sejarah Pergerakan Buruh kita dan Singapura. Ketika itu, Singapura sedang melalui tahun-tahun awal kemerdekaan yang penuh dengan ketidaktentuan, dengan kadar pengangguran tinggi dan pihak British mengumumkan niat untuk mengundurkan tenteranya. Kesemua ini membawa kesan hebat ke atas ekonomi Singapura. Semasa Seminar Pemodenan, Pergerakan Buruh kita bersama-sama Pemerintah PAP, mengambil langkah sebagai rakan kongsi untuk membentuk model Kerjasama Tiga Pihak kita yang unik dan secara usaha sama dengan komuniti perniagaan.

Hari ini, matlamat Pergerakan Buruh kita tetap sama – untuk membantu para pekerja kita mendapatkan gaji lebih baik, kebajikan lebih baik dan prospek pekerjaan lebih baik. Tahun lalu, Pergerakan Buruh kita bekerjasama dengan rakan-rakan tiga pihak untuk mewajibkan Model Gaji Progresif (PWM) bagi para teknisyen lif, dengan memberi kenaikan gaji yang dikaitkan dengan tangga kemahiran kepada para teknisyen lif. Bonus yang diwajibkan juga diumumkan untuk para pekerja pembersihan dan landskap di bawah PWM. Melalui rundingan kolektif, kita membantu para pekerja mencapai kenaikan gaji lebih tinggi. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kenaikan gaji keseluruhan tahunan secara purata bagi para pekerja biasa di syarikat-syarikat berkesatuan sekerja adalah lebih tinggi berbanding purata nasional.

Pergerakan Buruh terus menggalak pihak syarikat melaksanakan aturan kerja fleksibel dan skim cuti mesra keluarga agar para wanita boleh kekal bekerja sambil memenuhi peranan mereka sebagai pengasuh. Selain itu, Perusahaan-Perusahaan Sosial NTUC kita – yang ditubuhkan sebagai satu hasil Seminar Pemodenan – terus membantu para pekerja menangani kos sara hidup. NTUC FairPrice telah menerajui usaha memastikan harga barangan keperluan asas akan kekal rendah. Pemerolehan Kopitiam akan meluaskan lagi keupayaan NTUC untuk menyediakan masakan bermutu pada harga berpatutan dan lebih mudah didapati. MoneyOwl oleh NTUC juga didirikan untuk memberi nasihat kewangan pada kos rendah untuk keperluan perancangan kewangan para pekerja. Kesemua ini memenuhi kebajikan para pekerja.

Menjamin prospek pekerjaan lebih baik untuk para pekerja adalah satu keutamaan penting memandangkan revolusi industri keempat, atau Industri 4.0 sedang berlaku. Para pekerja mesti dilatih seiringan dengan itu, sebagai Pekerja 4.0, bukan hanya untuk mengikuti perubahan ini, tetapi juga untuk menjamin prospek pekerjaan lebih baik. Seorang Pekerja 4.0 mahir dalam mengharungi perubahan dan memiliki kemahiran-kemahiran mudah suai, teknologi dan teknikal. Pergerakan Buruh kita akan memanfaatkan rangkaian kesatuan sekerja dan syarikat kita untuk membentuk Jawatankuasa-Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) untuk merancang dan melaksanakan program bagi membantu para pekerja dan pihak perniagaan kita menjalani perubahan. Usaha ini telah mula membuahkan hasil awal. Kesatuan-kesatuan sekerja kita, bersama rakan-rakan pihak pengurusan daripada sekumpulan 18 syarikat, telah menubuhkan CTC-CTC untuk melaksanakan latihan bagi mencapai hasil yang menguntungkan pihak perniagaan dan juga para pekerja.

Pergerakan Buruh juga melakukan inovasi agar ia kekal relevan dan berperwakilan. Misalnya, Kesatuan Pekerja-Pekerja Rantaian Bekalan dibentuk untuk mewakili para pekerja di semua peringkat, termasuk golongan PME, dalam industri logisitik. Persatuan Pegawai-Pegawai Bank Singapura telah disusun semula sebagai Kesatuan Sekerja Perbankan dan Perkhidmatan Kewangan untuk berkhidmat kepada semua pekerja industri itu dan membantu mereka mengharungi kesan gangguan. Pergerakan Buruh kita juga mengalu-alukan penyertaan Persatuan Teknologi Kewangan Singapura sebagai rakan U Associate pertama yang menjadi anggota kerabat Pergerakan Buruh, untuk membantu para karyawan perbankan dan perkhidmatan kewangan agar sentiasa bersiap sedia dan relevan di sebalik perubahan industri. Dua persatuan anggota kerabat baru juga dibentuk – Perhimpunan Bakat Teknologi untuk mengukuhkan jangkauan para karyawan teknologi infokom serta memudahkan usaha mereka meningkatkan kemahiran, dan Persatuan Pengajar dan Jurulatih Nasional untuk menjaga kepentingan para jurulatih bebas sepenuh masa.

Setiap pekerja adalah pekerja penting, dan setiap perkara yang penting kepada pekerja, adalah perkara penting bagi kita. Seiringan dengan itu, Pergerakan Buruh beriltizam untuk meneruskan asas kukuh yang telah dibina sepanjang tempoh kerjasama tiga pihak selama 50 tahun dan terus mengutamakan para pekerja dalam segala usaha kita, agar generasi-generasi masa depan akan menerima manfaatnya.

Selamat Hari Buruh!

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita