Menjadikan Singapura lebih bersih 'keutamaan segera' kementerian sekitaran baru: Grace Fu
Satu "keutamaan segera" bagi Kementerian Kemampanan dan Sekitaran adalah sebuah Singapura yang lebih bersih di tengah-tengah pandemik COVID-19, kata menterinya Grace Fu pada Jumaat (21 Ogos).
(Gambar hiasan: Roslan Rahman/ AFP)
SINGAPURA: Satu "keutamaan segera" bagi Kementerian Kemampanan dan Sekitaran adalah sebuah Singapura yang lebih bersih di tengah-tengah pandemik COVID-19, kata menterinya Grace Fu pada Jumaat (21 Ogos).
Bercakap kepada para wartawan dalam satu wawancara secara maya, Cik Fu berkata bahawa antara lain, kemampanan juga termasuk meningkatan piawai kebersihan awam.
Cik Fu yang sebelum ini merupakan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia kini menerajui Kementerian Kemampanan dan Sekitaran, yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Sekitaran dan Sumber Air.
"Bagi saya, kemampanan melibatkan ciri-ciri yang lebih cekap, lebih kuat, lebih berbudi, tetapi yang paling penting, keutamaan segera saya adalah untuk menjadikan Singapura lebih bersih," katanya kepada para wartawan.
"Sedang kita mengharungi COVID, saya rasa ia benar-benar satu peringatan bagi kita bahawa amalan penjagaan kebersihan yang betul, kawalan vektor, sanitasi bersih, air bermutu, makanan lebih selamat, semua adalah keperluan asas yang penting dalam kehidupan yang tidak seharusnya kita pandang remeh. Dan saya ingin menangani perkara-perkara ini. "
UNDANG-UNDANG BARU DALAM MASA TERDEKAT
Lantaran itu, undang-undang baru dalam bidang ini akan diperkenalkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan, kata Cik Fu, yang mengambil alih tugas daripada Encik Masagos Zulkifli, yang kini merupakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Ini termasuk pindaan Akta Kesihatan Awam Sekitaran, yang diumumkan awal tahun ini.
"Ini akan membolehkan kami menilai piawai kebersihan yang ada," kata Cik Fu. "Kami bercadang untuk meningkatkan piawai (ini), khususnya di kawasan lebih ramai pengguna yang mudah terdedah kepada risiko. Oleh itu, kami mungkin meneliti tajaka, kemudahan penjagaan warga emas... kami berharap dapat melakukan sesuatu tidak lama lagi."
UBAH MINDA TENTANG PERANAN PEKERJA PEMBERSIHAN
Cik Fu turut menekankan perlunya "tanggungjawab bersama", berbanding bergantung kepada pekerja pembersihan.
Cik Fu menarik perhatian bahawa menjaga kebersihan bukan hanya bergantung kepada berapa kerap pembersihan dilakukan atau jumlah pekerja pembersihan.
Sebaliknya, menjaga kebersihan Singapura juga seharusnya melibatkan "kecekapan" dalam jenis teknologi, peralatan dan sumber yang boleh digunakan.
Singapura pada Februari telah melancarkan kempen SG Clean, yang menurut NEA bertujuan untuk memupuk "budaya menjaga kebersihan kebangsaan".
Piawai kebersihan telah dipertingkat ekoran pandemik COVID-19, kata Cik Fu, sambil memberi contoh bagaimana orang ramai kini mencari sinki basuh tangan dengan sabun di pusat penjaja dan kedai kopi.
KEBAJIKAN PEKERJA PEMBERSIHAN
Cik Fu menambah bahawa warga Singapura juga patut peka tentang kepentingan dan kesihatan pekerja pembersihan, kerana mereka bertugas di barisan hadapan dalam mengatasi pandemik.
"Kita harus menjaga kepentingan dan kesihatan mereka, kerana apabila mereka menemui tisu kotor dan pelitup yang telah digunakan di pusat penjaja - itu sebenarnya tidak adil bagi mereka," kata Cik Fu.
"Oleh itu, saya fikir kami ingin para pengguna lebih bertimbang rasa, bersikap lebih prihatin terhadap pekerja pembersihan dan melaksanakan tanggungjawab individu untuk menjaga kebersihan tempat itu."
"Banyak kerja pembersihan yang perlu dilakukan, dan kami menghadapi masalah untuk mendapatkan lebih ramai pekerja pembersihan. Kerana para pekerja pembersihan semakin meningkat usia, dan kita perlu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja pembersihan asing."
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.