Mengapa SG perlu bersiap sedia hadapi jerebu tahun ini?
(Gambar: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Lebih tiga tahun selepas kali terakhir Singapura mengalami jerebu rentas sempadan, pemerintah memberi amaran ia mungkin kembali melanda pada tahun ini.
Asap jerebu di Singapura disebabkan oleh kebakaran hutan di rantau ini, yang timbul apabila pembakaran terbuka digunakan untuk membersihkan tanah bagi kegunaan pertanian, menurut, laman web Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Ia biasanya lebih teruk pada musim kemarau apabila angin bertukar arah dan kurang hujan.
Pasukan bertindak jerebu pemerintah sedang membuat persiapan dan Jabatan Kaji Cuaca (Met Service) Singapura menasihatkan orang ramai supaya bersiap sedia.
MENGAPA RISIKO LEBIH TINGGI TAHUN INI?
Menurut Met Service, musim kemarau di rantau ini mungkin lebih "panas dan berpanjangan" jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini kerana ia menjangkakan cuaca El Nino dan Dipol Lautan Hindi (IOD) akan berlaku.
Musim itu yang biasanya berlaku antara Jun hingga September mungkin berlarutan hingga Oktober.
El Nino adalah corak iklim semula jadi yang berlaku setiap tiga hingga lima tahun. Ia dikaitkan dengan perubahan di lautan dan atmosfera di bahagian Lautan Pasifik berhampiran khatulistiwa.
Terdapat 70 hingga 80 peratus kemungkinan El Nino berlaku tahun ini dan ia akan menjejas curahan hujan di Singapura.
Dipol Lautan Hindi (IOD) yang positif juga biasanya membawa curahan hujan yang lebih rendah di rantau ini kerana suhu permukaan laut di timur Lautan Hindi lebih sejuk, mengakibatkan pembentukan awan yang berkurangan.
APA KAITAN EL NINO DAN SUHU?
Cuaca El Nino biasanya menyebabkan suhu meningkat, menurut Met Service.
"Keadaan yang lebih kering dan lebih panas kondusif untuk pembangunan tanah gambut dan kebakaran tumbuh-tumbuhan," dedah Met Service.
"Maka itu, jumlah tompok panas boleh meningkat mulai Jun 2023 dalam tempoh cuaca kering yang berpanjangan, terutamanya di kawasan-kawasan yang mudah terdedah kepada kebakaran."
BAGAIMANA KITA HARUS BERSEDIA MENGHADAPI JEREBU?
Semasa Singapura terjejas oleh jerebu pada 2019, Kementerian Kesihatan (MOH) mengingatkan institusi-institusi jagaan kesihatan untuk menggunakan pembersih udara, kipas dan penyejuk udara mudah alih.
Prasekolah turut dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar darjah apabila mutu udara mencecah paras yang tidak sihat dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyarankan kepada para majikan supaya mengurangkan kerja yang berpanjangan atau kerja berat untuk pekerja yang sihat.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) antara 101 dan 200 disifatkan sebagai tidak sihat. Indeks tersebut mengukur enam jenis pencemar dan digunakan sebagai penanda mutu udara.
SIAPA LEBIH MUDAH TERDEDAH?
Kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan mereka yang mengalami penyakit paru-paru atau jantung kronik lebih mudah terdedah, menurut laman web jerebu NEA.
Apabila mutu udara berada dalam julat yang tidak sihat, sesiapa saja yang menghidap penyakit paru-paru atau jantung kronik tidak seharusnya terlibat dalam aktiviti fizikal luar yang berpanjangan atau berat. Kanak-kanak, warga emas dan wanita hamil harus mengurangkan kegiatan sedemikian, manakala individu yang sihat juga harus mengurangkan senaman di luar rumah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.