Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mengapa rakyat & PR masih boleh didakwa sekembalinya ke S'pura jika ambil dadah di luar negara?

Pengambilan dadah di luar negara - baik di Phuket mahupun Ibiza - boleh menyebabkan anda ditangkap sekembalinya ke tanah air Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Mengapa rakyat & PR masih boleh didakwa sekembalinya ke S'pura jika ambil dadah di luar negara?

Seorang lelaki menunjukkan tunas dadah untuk meraikan pembenaran ganja di pesta 'Thailand: 420 Legalaew!' di wilayah Nakhon Pathom pada 11 Jun 2022. (Gambar: Lillian SUWANRUMPHA / AFP)

Diterbitkan : 04 Sep 2022 10:21PM Dikemas Kini : 04 Sep 2022 10:35PM
SSINGAPURA: Pengambilan dadah di luar negara - baik di Phuket mahupun Ibiza - boleh menyebabkan anda ditangkap sekembalinya ke tanah air Singapura.

Jaguh renang Olimpik Joseph Schooling, 27 tahun, menggemparkan negara baru-baru ini setelah membuat pengakuan bahawa dia mengambil ganja ketika berada di luar negara pada Mei lalu.

Rakan senegara, perenang Amanda Lim, 29 tahun, juga disiasat atas penggunaan ganja.

Sampel air kencing kedua-dua perenang negara itu diuji negatif, namun mereka mengakui sudahpun mengambil dadah sebelumnya, menurut pihak berkuasa dan agensi-agensi berkaitan.
Meskipun komen berhubung kes ini berbelah bagi antara simpati dengan seruan agar mereka diberi layanan adil, sesetengah pihak pula mempersoalkan mengapa tindakan jenayah seorang penduduk yang dilakukan di luar negara boleh dikenakan dakwaan di Singapura.

Mediacorp bertanya tentang sifat undang-undang dadah Singapura yang di bawah bidang kuasa luar wilayah.

Bila dan mengapa Singapura menangani kelemahan yang menjadi jalan keluar untuk mengambil kesempatan daripada undang-undang ini?

Meskipun undang-undang Singapura secara amnya tidak dikenakan ke atas penduduk yang melakukan jenayah di luar negara, sesetengah undang-undang tertentu, termasuk Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, mendukung sifat undang-undang yang di bawah bidang kuasa luar wilayah. Yakni, ia tertakluk kepada rakyat dan Penduduk Tetap (PR) Singapura yang melakukan kesalahan di luar negara.

Di bawah Akta tersebut, Seksyen 8A menyatakan seorang rakyat atau Penduduk Tetap yang mengambil dadah di luar negara "boleh ditangani dengan cara seolah-olah kesalahan itu dilakukan di Singapura".

Berucap di Parlimen semasa bacaan kedua Rang Undang-Undang Penyalahgunaan Dadah (Pindaan) pada 1 Jun 1998, Menteri Ehwal Dalam Negeri ketika itu, Wong Kan Seng, berkata Pemerintah perlu menangani "jurang kesamaran" tersebut.

Lebih ramai rakyat Singapura mengambil dadah apabila melakukan perjalanan ke luar negara, dengan jumlah orang yang diuji positif dadah di pusat pemeriksaan meningkat sebanyak 26 peratus dari tahun 1994 sehingga 1997, kata Encik Wong.

Ketika itu, Biro Narkotik Pusat (CNB) tidak boleh mendakwa mereka yang mengambil dadah di luar negara sekalipun jika individu berkenaan diuji positif di pintu masuk imigresen.

"Dengan lebih ramai rakyat Singapura melancong ke luar negara, akses mudah kepada dadah di negara-negara jiran dan usul hukuman yang lebih berat ke atas penagih tegar, adalah bijak untuk menangani kelemahan ini," terang Encik Wong.

"Jika tidak, penagih tempatan akan dengan sengaja keluar Singapura untuk melancong ke negara-negara jiran bagi melepaskan ketagihan mereka demi mengelak daripada ditangkap serta didakwa di Singapura dan mempersendakan undang-undang dadah kita."

Peruntukan itu berkuat kuasa 20 Julai 1998 dan menyatakan bahawa seorang individu yang didapati menghisap, menggunakan ke atas dirinya atau mengambil dadah terkawal mahupun dadah tertentu - sama ada di luar atau dalam Singapura - melalui ujian air kencing akan ditangani dengan cara seolah-olah dia melakukan kesalahan tersebut di Singapura.

Undang-undang itu dikenakan ke atas DJ Debbie Valerie Tenashar Long yang mengambil dadah semasa melancong ke Amsterdam.

Long diberkas di dewan ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Changi pada 28 Oktober 2015 dan sampel air kencingnya didapati mengandungi kesan dadah.

Selain dadah, rasuah juga satu lagi kesalahan di mana rakyat Singapura boleh berdepan pendakwaan - di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1960 - sekalipun ia dilakukan di luar negara.

Peraturan lain, seperti Akta Sekuriti dan Dagangan Hadapan 2001, Akta (Langkah Tindakan Balas) Campur Tangan Asing 2021 dan Akta Pasport 2007, juga mendukung aspek bidang kuasa luar wilayah.

Peguam Amarjit Singh Sidhu dari Amarjit Sidhu Law Corporation menarik perhatian bahawa di bawah Kanun Keseksaan, mengadakan seks dengan budak bawah umur 18 tahun di luar Singapura juga adalah satu kesalahan.

Kanun Keseksaan juga meliputi perbuatan memudahkan lawatan ke luar Singapura bagi tujuan seks komersil dengan budah bawah umur 18 tahun.

Selain ujian air kencing, adakah cara lain yang boleh digunakan penguasa untuk menguji penggunaan dadah?

Kaedah lain, seperti ujian rambut, boleh digunakan untuk menguji bagi pengambilan dadah.

CNB mula menggunakan kaedah ujian rambut pada 2013 untuk mengesan pengguna dadah.

Hasil ujian positif boleh diperolehi daripada sampel rambut walau sudah berbulan-bulan lamanya sejak dadah diambil.

Bagaimanapun, meskipun hasil ujian rambut yang positif boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah terhadap mereka yang mengambil dadah di dalam negeri, ia tidak boleh digunakan untuk mendakwa seseorang yang pulang ke tanah air dari luar negara, kata Encik Wilson Foo dari Fervent Chambers.

Encik Foo menjelaskan ini mungkin kerana kesan dadah kekal pada rambut buat jangka waktu yang lebih panjang dan ia berkemungkinan tidak boleh membuktikan sama ada individu berkenaan sudah mengambil dadah baru-baru ini.

Hasil positif daripada ujian rambut akan menjadi "bukti utama bahawa subjek sudahpun mengambil bahan terlarang" seperti ganja, amfetamin, kokain dan opiat, kata peguam Shashi Nathan dari Withers KhattarWong.

Ujian rambut jarang sekali digunakan sebagai bukti tetapi ia boleh menjadi rujukan penyiasatan yang berguna bagi CNB, tambah Encik Nathan. Encik Sidhu bagaimanapun berkata beliau belum pernah mendengar akan kes perbicaraan dadah di mana pendakwaan mengemukakan rambut sebagai bukti.

Bagaimana individu yang didapati mengambil dadah di luar negara akan dihukum?

"Pihak berkuasa mempunyai budi bicara untuk tidak mendakwa pesalah kali pertama atau pesalah muda atas pengambilan (dadah) dan boleh merujukkan mereka ke Pusat Pemulihan Dadah (DRC) bagi pemulihan," kata Encik Nathan.

Beliau menambah pihak berkuasa mungkin memilih untuk meletakkan pesalah di bawah rejim ujian air kencing yang diselia, seperti yang dikenakan ke atas Schooling.

"Ini akan memberi subjek peluang untuk membuktikan bahawa pengambilan itu dilakukan sekali sahaja dan tiada masalah penagihan yang timbul."

Encik Foo menambah keputusan sama ada untuk mendakwa atau mengeluarkan amaran kepada pesalah yang terletak pada budi bicara pihak berkuasa yang mendakwa.

"Pihak berkuasa boleh mempertimbangkan faktor-faktor seperti amaran yang dikeluarkan sebelumnya, rekod jenayah atau atas sifat belas kasihan."
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan