Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mengapa penting untuk ibu bapa fahami pelbagai perubahan kurikulum MOE - Maliki

Anggaran Waktu Membaca:
Mengapa penting untuk ibu bapa fahami pelbagai perubahan kurikulum MOE - Maliki

Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman.

SINGAPURA: Menteri Kedua Pendidikan (MOE) Dr Mohamad Maliki Osman menekankan pentingnya ibu bapa Melayu memahami pelbagai perubahan yang diumumkan MOE semalam, serta memahami juga apakah minat serta aspirasi anak masing-masing.

Ini beliau tegaskan dalam satu wawancara susulan bersama BERITAmediacorp berhubung perbahasan peruntukan belanjawan kementeriannya di Parlimen pada Isnin (7 Mac).

"Saya harap masyarakat Melayu kita sedar... dan akur bahawa masa depan anak-anak mereka akan begitu berbeza daripada masa hari ini. Itu sebabnya saya rasa penting untuk mereka memahami mengapa kita membuat perubahan-perubahan ini," ulas Dr Maliki.

Beberapa perubahan diumumkan dalam sidang parlimen semalam (7 Mac). Antaranya, Peperiksaan Pertengahan Tahun akan dimansuhkan bagi semua sekolah rendah dan menengah bermula tahun depan.

Menyentuh tentang pengumuman ini, Dr Maliki menegaskan bahawa perubahan itu bertujuan memberi generasi muda lebih banyak masa untuk mencari tahu apakah sebenarnya minat mereka.

"Kita memberi para penuntut kita ruang untuk mencari minat mereka, apakah aspirasi mereka dalam konteks sekolah menengah misalnya. Pembelajaran kendiri ini adalah satu konsep baru kerana dalam suasana masa depan diri mereka apabila mereka memasuki alam pekerjaan, mereka diharapkan akan mempunyai kemahiran untuk berfikir secara sendirian. Ini satu kecekapan abad ke-21," jelas Dr Maliki.

Beliau seterusnya menerangkan bahawa sekolah-sekolah akan tetap menjalankan penilaian terhadap pelajar pada setiap penggal sekolah.

(Gambar fail: Lee Hsien Loong/Facebook)

"Penilaian ini bukan untuk memberi tekanan kepada anak-anak ini tetapi hanya untuk memastikan bahawa guru-guru tahu sama ada apa yang dipelajari dapat diterapkan ataupun apa yang diajar dapat diterapkan oleh para penuntut ini," katanya lagi.

PILIHAN ANTARA JC, POLI & ITE

Dr Maliki turut mengulas tentang perubahan bagi pendidikan posmenengah. Ada beberapa perkembangan baru yang boleh mempengaruhi pemilihan sekolah para pelajar.

Misalnya, lebih banyak tempat akan disediakan di bawah pengambilan masuk secara langsung ke maktab rendah (DSA-JC) sementara salah satu syarat untuk layak masuk Program Asas Politeknik (PFP) dilonggarkan.

ITE pula akan memperhebat usahanya untuk menjalin kerjasama dengan rakan-rakan industri supaya tawaran kursus di bawah diploma teknikal (TD) dan diploma bekerja sambil belajar (WSDip) dapat diperluaskan lagi.

Jadi intinya, kata Dr Maliki, ada pelbagai laluan yang tersedia bagi para pelajar.



"Setiap sekolah memberi peluang yang agak berlainan yang agak berbeza bagi setiap penuntut. Ibu bapa harus faham... apakah minat, apakah aspirasi anak-anak mereka. Dan bagaimana minat, bakat dan aspirasi ini secocok dengan sekolah yang mereka pilih. Ataupun yang mereka ingin anak mereka ceburi. Ini penting," tambahnya.

Lebih daripada itu, Dr Maliki memberi jaminan bahawa semua pelajar akan mendapat sokongan yang membina daya tahan mental untuk mengharungi cabaran-cabaran yang dihadapi.

"Kita akan memastikan bahawa program ataupun sokongan kesihatan mental bukan sahaja tertumpu kepada kanak-kanak di sekolah menengah atau di sekolah rendah sahaja. Sokongan ini akan berlarutan atau berlanjutan kepada ITE, politeknik dan universiti.

"Jadi apa kita harapkan ialah kurikulum di MOE, di sekolah-sekolah kita bukan sahaja tertumpu kepada pendidikan sahaja tetapi kepada kesihatan mental mereka, keyakinan mental mereka," kata beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan