Skip to main content

Singapura

Mengapa Kredit baru SkillsFuture ada tarikh lupus; 2 wanita ini akan segera gunakannya

Jangan tunggu-tunggu. Manfaatkan Kredit SkillsFuture S$500 yang diberikan Pemerintah bermula 1 Oktober ini untuk belajar kemahiran baru, dan gunakanlah tempoh kelembapan ekonomi sekarang untuk berbuat demikian. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jangan tunggu-tunggu. Manfaatkan Kredit SkillsFuture S$500 yang diberikan Pemerintah bermula 1 Oktober ini untuk belajar kemahiran baru, dan gunakanlah tempoh kelembapan ekonomi sekarang untuk berbuat demikian.

Ini lebih-lebih lagi bagi warga berusia 40-60 tahun yang sebenarnya mendapat tokokan SkillsFuture berjumlah S$1,000 tahun ini.

Demikian seruan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa mengumumkan tokokan tersebut dalam Belanjawan 2020 kelmarin (18 Feb).

Tidak seperti kredit pertama SkillsFuture pada 2015 yang tiada tarikh lupus, agihan tahun ini akan lupus dalam tempoh 5 tahun dan akan hangus jika tidak digunakan.

Ini kata DPM Heng, demi mendorong anda supaya “mengambil tindakan segera untuk belajar kemahiran baru”.

SITI ZULAIKHA ZULKIFLI: ALU-ALUKAN TOKOKAN S$500

Antara yang menyahut seruan DPM Heng itu ialah Cik Siti Zulaikha Zulkifli. Beliau sebelum ini sudahpun menggunakan sebahagian besar daripada kredit SkillsFuture pertama bernilai S$500 bagi mendapatkan kemahiran baru seperti mempelajari bahasa Mandarin dan ilmu membuat pastri.

Related article image

Dengan kredit tersebut kini berbaki S$100 sahaja, penolong guru di sekolah antarabangsa bagi kanak-kanak istimewa ini jelas teruja dengan tokokan S$500 yang layak diterimanya untuk terus meningkatkan diri.

"Kursus-kursus yang melibatkan pelajaran agak mahal untuk dibiayai sendiri, jadi adanya kredit SkillsFuture ini, ia dapat membantu sedikit sebanyak dalam kewangan," menurut Cik Siti Zulaikha yang berusia 28 tahun.

Beliau memberitahu BERITAmediacorp, menerusi dana SkillsFuture itu, beliau berharap dapat menghadiri lebih banyak kursus untuk mempertingkatkan ilmunya dalam bidang yang diceburinya sekarang ini.
"Contohnya, kursus seperti yang ada kena-mengena dengan kanak-kanak istimewa," kata beliau.

Cik Siti Zulaikha juga berminat untuk mempelajari bahasa Thailand kerana sering ke negeri Thailand dan "ingin mengenal mereka dalam bahasa mereka".

JURIAH JAHAYA: BAKAL TERIMA TOKOKAN S$1,000 SKILLSFUTURE

Bagi karyawan bernama Juriah Jahaya pula, beliau langsung tiada lagi kredit SkillsFuture kerana sudah digunakan untuk mengikuti program ‘Melatih Jurulatih’ (Train the Trainer) dan kursus pemasaran online.

Related article image

Beliau tersenyum lebar setelah mendengar pengumuman DPM Heng mengenai tokokan murah hati ke akaun SkillsFuture rakyat Singapura yang lebih berumur.

Memandangkan beliau berusia 40 tahun, beliau layak menerima tokokan S$1,000 kesemuanya dari SkillsFuture tahun ini.

Sebelum beralih menceburi bidang latihan Cik Juriah sebenarnya bekerja dalam bidang sumber manusia dan pentadbiran.

"Sebagaimana kita tahu, sekarang terlalu banyak digitalisasi, dan juga kecerdasan buatan adalah gelombang selanjutnya.

"Saya sudah sasarkan kursus yang saya ingin ikuti, yang ditawarkan Politeknik Republik, iaitu Diploma Pakar dalam Kecerdasan Buatan Amali. Insya-Allah itulah di mana saya akan gunakan sebab selepas subsidinya, ia masih di bawah S$1,000. Jadi saya sangat mengalu-alukannya. Tak sabarlah nak gunakan untuk menunggu Oktober ini secepat mungkin," kongsi Cik Juriah kepada BERITAmediacorp.

Cik Juriah berharap dengan kemahiran baru itu, beliau dapat menambah nilai dan membantu anak didiknya mendapat jawatan baru atau kenaikan pangkat.

Semangat seperti inilah yang diinginkan DPM Heng iaitu agar para pekerja sentiasa meningkatkan diri demi kekal relevan.

Sejak dilancarkan pada 2015, lebih setengah juta warga tempatan sudah menggunakan kredit SkillsFuture masing-masing. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita