Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mengapa ahli keluarga berdiam diri dan tidak cegah orang tersayang dera pembantu rumah?

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sangat mengerunkan. Ia menunjukkan pembantu rumah yang tidak dapat melihat setelah bertubi-tubi diserang oleh majikannya sedang ahli keluarga yang lain tidak mengendahkannya.

Pada satu ketika, Cik Sugiyem Samad Radimah sedang membersihkan lantai apabila dia tersentuh suami majikannya secara tidak sengaja.

Dia kemudian naik berang. Seorang kanak-kanak kecil yang sedang makan di meja makan langsung tidak mengendahkan kejadian itu.

Cik Sugiyem mengalami pelbagai kecederaan dan berat badannya susut 20 kilogram selepas didera selama berbulan-bulan oleh majikannya, Ummi Kalsum Ali.

Ummi kemudian tergamak meninggalkan Cik Sugiyem yang berkerusi roda di Lapangan Terbang Changi untuk mencari jalan pulang ke Indonesia.

Pengalaman yang menyayat itu adalah salah satu kes baru daripada beberapa kes penderaan pembantu rumah yang terbongkar di Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Selepas pendera ditangani oleh undang-undang, satu soalan secara konsisten timbul dalam kalangan orang ramai: Mengapa ahli keluarga tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan penderaan itu, malah bagi sesetengah kes, mereka juga mengambil bahagian dalam penganiayaan tersebut?

"PERBEZAAN KUASA"

Pakar psikologi, Dr Joseph Leong dari Promises Healthcare merujuk kepada "perbezaan kuasa" di mana pelaku yang mendera pembantu rumah biasanya adalah ketua keluarga.

Ahli keluarga yang lain mungkin takut dengan pendera itu atau takut akan kesannya jika mereka melaporkan penderaan tersebut kepada pihak berkuasa, menurut pakar psikologi klinikal Lysia Tan dari khidmat konsultasi Mind What Matters.

Para ahli psikologi juga menyebut fenomena itu sebagai "bystander effect."

Ia merujuk kepada seorang individu yang mungkin tidak akan masuk campur dalam kecemasan seperti itu yang kemungkinan besar adalah jenayah, jika orang lain berada di sekelilingnya.

Contoh biasa adalah apabila orang ramai sanggup berhenti di tempat kemalangan semata-mata untuk merakam video dan memetik gambar tetapi tidak pula membantu mangsa.

Dr Annabelle Chow dari Annabelle Psychology berkata ini boleh menjadi faktor di mana orang yang berada di tempat kejadian setakat berdiri di situ dalam situasi seperti penderaan pembantu rumah.

Dr Chow berkata seseorang mungkin akan menilai terlebih dahulu jika penderaan itu benar-benar serius atau memerlukan campur tangan mereka dan jika tanggungjawab ada pada mereka untuk campur tangan.

Ini bergantung kepada peranan individu dan pendera dalam keluarga dan pandangan mereka terhadap mangsa.

"Ahli keluarga mungkin tidak akan campur tangan jika ciri-ciri personaliti (pendera) bersifat mendominasi dan memerintah," kata Dr Chow.

"Ataupun jika mangsa dianggap tergolong dalam taraf yang berbeza, biasanya lebih rendah".

Sesetengah pakar psikologi bagaimanapun menyatakan bahawa walaupun "bystander effect" lazimnya berlaku di depan khalayak ramai, penderaan pembantu rumah biasanya berlaku secara tertutup.

Ini membolehkan pelaku mengugut mangsa untuk menghalang mereka daripada memberitahu orang lain atau bagi mendapatkan bantuan.

KANAK-KANAK BOLEH TERBIASA DENGAN PENDERAAN

Apabila ditanya sama ada mereka yang tidak cenderung untuk mendera boleh dipengaruhi oleh orang tersayang untuk melakukan sedemikian, pakar psikologi merujuk kepada beberapa faktor.

Cik Tan berkata individu boleh menganggap tindakan mendera sebagai satu perkara biasa dalam keluarga mereka manakala pasangan mungkin mendera pembantu rumah mereka secara bersama-sama kononnya sebagai "tanda bersatu hati".

Kanak-kanak kecil juga boleh terpengaruh untuk melakukan perkara sama.

Dr Leong, mantan Timbalan Ketua Pakar Psikiatri Masyarakat di Institut Kesihatan Mental (IMH) berkata, "Jika anda adalah seorang kanak-kanak yang membesar dalam keluarga sedemikian dan ia menjadi satu kebiasaan dan anda tidak mempunyai ahli keluarga lain untuk dicontohi
kecuali jika anda menganggotai keluarga ain dan melihat cara berbeza mereka melayan pembantu rumah."

Dr Chow menambah: "Kajian menunjukkan bahawa penderaan boleh membawa kesan kepada psikologi dan fisiologi kedua-dua mangsa dan orang yang melihat kejadian berlaku dalam jangka pendek dan dalam kehidupan mereka seterusnya."

MENANGANI PENDERAAN PEMBANTU RUMAH

Cik Tan berkata orang ramai boleh membantu meredakan situasi dengan cuba menenangkan pendera atau mengalih keluar apa-apa barang yang mungkin berbahaya atau boleh menyebabkan kecederaan.

Pendera juga mungkin terlalu fokus kepada mangsa ketika itu dan anda boleh mengalihkan tumpuannya dengan membuat mereka lebih sedar tentang kelakuan mereka, tambah Cik Tan.

Ia boleh dilakukan dengan menggunakan bunyi kuat seperti menekan loceng pintu, membunyikan loceng, menelefon telefon bimbit atau memanggil nama pendera dan mengasingkan kedua-dua individu itu ke dalam bilik atau tempat yang berbeza.

Dr Leong berkata jiran tetanga juga boleh campur tangan jika mereka mengesyaki seorang pembantu rumah didera.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan