Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mengapa ada sanggup hantar anak ke prasekolah privet dan bayar sehingga S$3,000?

Anggaran Waktu Membaca:
Mengapa ada sanggup hantar anak ke prasekolah privet dan bayar sehingga S$3,000?

Kanak-kanak bermain di taman permainan prasekolah Maple Bear di Mediapolis pada 7 Sept 2023. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

SINGAPURA: Menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA), kadar pelibatan di prasekolah bagi kanak-kanak kelahiran Singapura adalah 97 peratus pada 2022.

Namun yuran sekolah yang dibayar berbeza-beza. Kos bagi program di prasekolah yang disokong pemerintah adalah sekitar S$160 sebulan. Pada sisi lain, yuran di sekolah-sekolah yang dikendalikan pengendali privet boleh mencecah sehingga S$3,000 sebulan.

Bagi kanak-kanak berumur bawah lima tahun, yuran bulanan di sekolah yang disokong pemerintah lebih tinggi, iaitu S$734, walaupun harga sebenar biasanya lebih rendah - S$300 selepas subsidi.

Perbezaan ketara ini menimbulkan persoalan... Mengapa ibu bapa memilih untuk mendaftarkan anak-anak mereka ke dalam prasekolah yang "lebih mahal"? Apa pula perbezaan utama antara sekolah privet dengan sekolah yang disokong pemerintah?
KELEBIHAN KURIKULUM 'SEMUA-DALAM-SATU'

Mediacorp bertanya dengan golongan ibu bapa tentang sebab mereka mendaftarkan anak masing-masing ke dalam prasekolah privet yang lebih mahal dan ramai menyebut tentang bagaimana sekolah pilihan mereka menawarkan pelbagai kegiatan luar kurikulum dalam waktu sekolah.

Encik Sebastian Goh, 34 tahun, mendaftarkan anaknya ke sebuah prasekolah privet di Farrer Park dan yuran yang dibayar adalah sekitar S$1,800 sebulan selepas subsidi.

Memandangkan sekolah itu menawarkan pelbagai kegiatan luar kurikulum, beliau tidak lagi perlu menghantar anak lelakinya ke kelas pengayaan lain. Ini membolehkan mereka sekeluarga meluangkan lebih banyak masa bersama-sama pada hujung minggu.

"Jadi pada hujung minggu, kami dapat keluar dan bermain-main, berjalan-jalan dan meneroka benda lain. Pergi ke taman, pergi ke tempat-tempat yang dia biasanya tidak dapat pergi bila waktu sekolah."

Ibu bapa lain yang ditemui Mediacorp, seperti seorang guru bernama Sandra Lim, 40 tahun, bersetuju bahawa masa tambahan daripada meluangkan masa dengan anak-anaknya pada hujung minggu adalah satu faktor penting semasa memilih sekolah, walaupun harga yang perlu dibayar lebih tinggi.

Anaknya, yang berusia dua setengah tahun, mengikuti program MindChamps di cawangan Midview City.

"Kami tidak perlu keluar mencari tahu apa lagi yang tersedia. Pihak sekolah sudah mengatur semuanya di luar kurikulum... jadi secara tidak langsung ia memudahkan kami," kata Cik Lim.
(Gambar: Nuria Ling/TODAY)
SAIZ KELAS LEBIH KECIL

Satu lagi sebab yang membuat sesetengah ibu bapa sanggup membayar yuran lebih tinggi adalah saiz kelas yang lebih kecil.

Walaupun ECDA sudahpun menetapkan nisbah mandatori mengikut peringkat umur murid di prasekolah, sebilangan pengendali privet memutuskan untuk mempunyai nisbah lebih kecil.

Misalnya, MapleBear menetapkan nisbah 1 guru kepada 10 murid bagi program tadikanya sedangkan ECDA menetapkan nisbah 1 guru kepada 20 murid bagi peringkat Tadika 1 dan 1 guru kepada 25 murid bagi peringkat Tadika 2.

Ibu bapa juga berkata nisbah guru kepada murid juga ada kesan dari segi keselamatan.

Guru akan dapat bertindak lebih pantas jika berlaku kecemasan. Di samping itu, mereka akan dapat melaporkan tentang perkembangan murid-murid kepada ibu bapa dengan lebih kerap, kata Cik Loo, seorang konsultan khidmat kewangan berusia 42 tahun.
PERBEZAAN ANTARA SEKOLAH PRIVET DENGAN SEKOLAH DISOKONG PEMERINTAH?

Sungguhpun ada kepercayaan bahawa prasekolah privet menyediakan khidmat yang lebih "premium", pakar-pakar dalam industri berkata perbezaan antara sekolah privet dengan sekolah disokong pemerintah sebenarnya tidak begitu ketara kebelakangan ini berikutan peningkatan dari segi pendanaan dan piawai kawal selia pemerintah.

Kegiatan luar kurikulum seperti memasak, bermain peralatan muzik dan sebagainya mungkin faktor yang memikat ibu bapa untuk memilih pengendali privet tetapi inisiatif sebegini turut ditawarkan sekolah-sekolah disokong pemerintah.

Dengan lebih banyak dana daripada pemerintah, banyak pengendali utama yang sekolahnya terletak di kawasan lebih luas, bahkan mempunyai persekitaran lebih membina buat kanak-kanak, kata Cik Melissa Goh-Karssen, seorang zamil ECDA dan pensyarah kanan program pendidikan awal kanak-kanak di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Prasekolah yang disokong pemerintah juga boleh menawarkan kegiatan luar kurikulum pada hari biasa, selepas waktu sekolah.

Atas sebab-sebab ini, beberapa ibu bapa memilih sekolah yang disokong pemerintah dan memberitahu Mediacorp mereka tidak berasa "ketinggalan".

Namun, sentimen tetap ada dalam masyarakat bahawa program yang ditawarkan pengendali privet lebih menyeluruh.
Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan