Skip to main content

Singapura

MENDAKI, Yayasan Tanoto jalin kerjasama perkukuh pembangunan pemimpin Melayu/Islam, 21 pemimpin sertai Tunas 3.0

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Sep 2026 04:28PM Dikemas Kini : 17 Sep 2026 09:02AM
SINGAPURA: Usaha untuk memperkukuh kepimpinan dalam masyarakat Melayu/Islam akan diperkasakan menerusi kerjasama tiga tahun antara Yayasan MENDAKI dan Yayasan Tanoto.

Kedua-dua pihak telah memeterai Memorandum Persetujuan (MoA) bagi menyokong pembangunan pemimpin menerusi program Tunas Bersama M³+, sebuah program pembangunan kepimpinan bagi memupuk dan membangunkan generasi pemimpin masyarakat yang seterusnya.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MENDAKI, Feroz Akber dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Tanoto, Benny Lee.

Ia disaksikan oleh Pengerusi Yayasan MENDAKI, Zaqy Mohamad dan Naib Pengerusi RGE Pte Ltd merangkap Anggota Lembaga Penasihat Yayasan Tanoto, Bey Soo Khiang.

Kerjasama itu akan menyokong Tunas 3.0 dan Tunas 4.0, dengan Tunas 3.0 berlangsung dari Ogos 2026 hingga Julai 2027, manakala Tunas 4.0 berlangsung dari Ogos 2028 hingga Julai 2029.

Kerjasama itu turut merangkumi platform pembelajaran dan jaringan untuk peserta serta alumni, termasuk sesi bual bicara, dialog kepimpinan dan peluang berinteraksi dengan pemimpin kanan.

Program itu adalah usaha untuk membina jaringan pemimpin yang mampu melihat melangkaui bidang masing-masing dan memahami keperluan masyarakat.

Mereka juga digalakkan menghubungkan pelbagai sektor serta menggunakan pengalaman dan pengetahuan untuk membawa perubahan yang memberi manfaat kepada masyarakat Melayu/Muslim dan Singapura secara lebih luas.

21 PEMIMPIN MASYARAKAT DARIPADA PELBAGAI SEKTOR

Bagi Tunas 3.0, seramai 21 pemimpin masyarakat daripada pelbagai sektor kini memulakan perjalanan kepimpinan selama setahun.

Mereka terdiri daripada wakil masjid, pertubuhan Melayu/Islam, M³@Bandar, Rangkaian Profesional MENDAKI, Kelab MENDAKI serta kesatuan sekerja.

Bagi kohort ketiga ini, perjalanan kepimpinan mereka bukan sekadar tertumpu kepada pembelajaran dalam bilik darjah.

Mereka akan melalui latihan formal, pembelajaran berasaskan pengalaman, bimbingan mentor serta peluang berinteraksi dengan pemimpin kanan.

Mereka juga akan mendalami aspek seperti kepimpinan kendiri, kerjasama dengan pihak berkepentingan, pembangunan pemimpin lain serta cara memperluaskan dan mengekalkan impak kepada masyarakat.

Antara peserta tahun ini ialah Naib Presiden PPIS, Nur Liyana Mohamed Sinwan.

“Program Tunas Bersama M³+ ini satu inisiatif yang baik kerana ia memberi kami para peserta peluang untuk bertukar pendapat dan juga pengalaman antara satu sama lain dan juga menimba ilmu daripada pemimpin masyarakat yang lebih mapan dan berpengalaman.

“Dan ia juga memupuk kerjasama dan meningkatkan keupayaan para peserta, lantas mendorong kami untuk terus berganding bahu bersama masyarakat, agar sama-sama kita menjadi masyarakat yang lebih utuh dan berdaya tahan," kata Cik Liyana.

Dengan peserta Tunas 3.0 yang datang daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman, Cik Liyana melihat kepelbagaian perspektif sebagai satu kekuatan dalam perjalanan pembelajaran mereka.

“Setiap peserta adalah berbeza dari segi latar belakang, pengalaman hidup dan sebagainya. Jadi sama juga, sebagai wanita, perspektif dan pengalaman yang kami sumbangkan semestinya berbeza.

“Justeru ini memerlukan penekanan pada nilai empati, keterbukaan kepada pelbagai pandangan berbeza, dan memerlukan daya pemikiran atau analisis yang lebih kritikal," kata Cik Liyana.

Beliau berharap program tersebut dapat membuka ruang untuk lebih banyak idea dan kerjasama antara badan-badan Melayu/Islam dan pihak lain.

"Saya harapkan bahawa program ini akan menjadi landasan untuk memberikan lebih lagi idea, mencetuskan ruang untuk kolaborasi dengan lebih mempertingkatkan lagi antara badan-badan Melayu/Islam dan selainnya.

"Sebagai individu, sebagai seorang pemimpin saya juga berharap untuk mempertingkatkan lagi taraf kepimpinan saya untuk menjadi lebih cekap dan sebagaimana untuk memberi impak yang lebih tinggi kepada organisasi saya PPIS dan juga masyarakat secara am," kata Cik Liyana.
 
Related article image
PERJALANAN PEMBELAJARAN KE INDONESIA BAGI ANGGOTA TUNAS

Selain sesi pembelajaran dan membina rangkaian di Singapura, peserta Tunas 3.0 juga akan mendapat pendedahan serantau menerusi perjalanan pembelajaran ke Pangkalan Kerinci, Riau, Indonesia.

Perjalanan itu akan memberi peserta pengalaman secara langsung tentang kelestarian, pemuliharaan serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

Bagi seorang lagi peserta, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif The Black Hole Group, Mustaffa Kamal, nilai program kepimpinan seperti Tunas Bersama bukan sekadar pada kandungan kursus, tetapi juga peluang untuk peserta belajar daripada pemimpin dan usahawan daripada pelbagai sektor.

“Program ini beri mereka peluang untuk berinteraksi dengan pemimpin dan usahawan dari pelbagai bidang iaitu tadbir urus dan penggubal dasar, sosial, perniagaan, komuniti dan itu penting supaya mereka sentiasa nampak gambaran menyeluruh.”

Menurut beliau, hubungan yang dibina sepanjang program juga boleh menjadi asas kepada kerjasama yang lebih bermakna.

“Rangkaian yang terbina dalam program sebegini selalunya lebih tahan lama daripada rangkaian perniagaan biasa kerana ia dibina atas asas perkhidmatan kepada masyarakat, bukan transaksi semata-mata jadi kepercayaan terbentuk lebih pantas,” kata Encik Mustaffa.

Antara kemuncak program Tunas Bersama tahun ini ialah projek Capstone yang akan dijalankan dari Disember 2026 hingga April 2027.

Peserta kemudian akan membentangkan projek dan cadangan mereka pada Mei 2027 sebelum hasil kerja mereka diketengahkan di acara Raikan Ilmu 2027.

SENARAI PESERTA TUNAS BERSAMA M³+ 3.0 

Wakil Masjid
1.Encik Mohammed Farhan Mohammed Tayib, Setiausaha, Masjid Kampung Siglap

2.Encik Muhammad Haikal Mohamed Harun, Pengerusi, Masjid Kassim

Pertubuhan Melayu/Islam
3.Encik Abu Bakar Sidiq, Pemangku Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung, Indian Muslim Professionals (IMPROF)

4.Encik Mohamed Amir Sahib, Naib Presiden, Singapore Kadayanallur Muslim League (SKML)

5.Encik Muhamad Shahril Samri, Setiausaha Agung Kehormat, Persatuan Membaca Belia Melayu (4PM)

6.Ustaz Muhammad Fizar Zainal, Presiden, Ain Society

7.Cik Nur Liyana Mohamed Sinwan, Naib Presiden PPIS

8.Encik Ridhwan Mohd Basor, Penolong Setiausaha Kehormat, Dana Biasiswa Memperingati Hari Maulidur Rasul (LBKM)

9.Encik Syahiran Rohajat, Naib Presiden, Singapore Malay Chamber of Commerce and Industry (SMCCI)

M³@Bandar
10.Dr Faisal Johandi, Pengerusi, M³@Marsiling-Yew Tee

11.Encik Ibrahim Wu, Pengerusi, M³@Nee Soon
Rangkaian Profesional MENDAKI

12.Encik Hatta Aziz, Ketua Rangkaian Profesional bagi Media & Kreatif

13.Encik Muhammad Ibnur Rashad Zainal Abidin, Ketua Rangkaian Profesional bagi Kelestarian

14.Encik Mustaffa Kamal, Penolong Ketua Rangkaian Profesional bagi Keusahawanan

15.Cik Liyana Fauzi, Ketua Rangkaian Profesional bagi Teknologi

16.Cik Nurraudhah Ridzuan Ajmain, Penolong Ketua Rangkaian Profesional bagi Perkhidmatan Sosial

17.Encik Muhammad Shakir Juanda, Ketua Rangkaian Profesional bagi Sukan

Rangkaian Profesional MENDAKI/ Kelab MENDAKI

18.Encik Danial Hakim, Mantan Presiden, MENDAKI Club

19.Encik Mohamad Saddiq Mohamad Sa’id, Bendahari, MENDAKI Club

Pemimpin Kesatuan
20.Encik Hadis Zulkeplie, Bendahari, Port Union Officer

21.Cik Nur Farahin Salleh, Penolong Bendahari Agung, Singapore Teachers’ Union
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita