MENDAKI tubuh Jawatankuasa Syarikat Pemula, demi sokong syarikat pemula Melayu/Islam
Sebuah Jawatankuasa Syarikat Pemula ditubuhkan di bawah Yayasan MENDAKI bagi membantu dan memberi sokongan kepada kumpulan dan syarikat pemula Melayu/Islam.
Cik Nurul Jihadah Hussein (kanan) akan pengerusikan Jawatankuasa Syarikat Pemula yang ditubuhkan Mendaki (Gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)
SINGAPURA: Sebuah Jawatankuasa Syarikat Pemula ditubuhkan di bawah Yayasan MENDAKI bagi membantu dan memberi sokongan kepada kumpulan dan syarikat pemula Melayu/Islam.
Dengan tujuh anggota sekretariat, jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Pengasas The Codette Project, Cik Nurul Jihadah Hussein.
Sementara itu, mantan menteri serta Pengerusi MENDAKI, Dr Yaacob Ibrahim, pula dilantik selaku penasihat jawatankuasa itu, bersama Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh Encik Saktiandi Supaat yang dilantik sebagai Penasihat Bersama. Encik Saktiandi juga merupakan salah seorang daripada anggota Lembaga Pentadbir MENDAKI.
Diasaskan pada tahun lepas, jawatankuasa itu sudah menganjurkan sebanyak empat sesi berbeza dalam mendekati serta melihat kepada pembangunan syarikat pemula dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.
Sesi-sesi yang dianjurkan juga menggalak kolaborasi silang sektor dalam kalangan kumpulan pemula.
INGIN MENJADI TEMPAT RUJUKAN
Diibaratkan seperti ‘perpustakaan bergerak’, Jawatankuasa Syarikat Pemula MENDAKI ingin menjadi tempat rujukan kepada mereka yang berminat dalam industri yang sama. Ini agar kumpulan pemula dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam dapat berkongsi ilmu dan pengalaman, serta amalan terbaik sebelum mereka memulakan atau menceburi syarikat pemula.
Bagi memenuhi objektif inisiatif tersebut, sebuah sesi perkongsian dianjurkan hari ini (15 Nov) dihadiri para Penasihat Jawatankuasa tersebut.
Mengulas lanjut tentang inisiatif baru di bawah MENDAKI itu, Encik Saktiandi berkata rangkaian itu penting dalam membina sebuah kumpulan masyarakat yang “bersiap bagi masa depan”, dengan menggunakan sepenuhnya modal sosial.
Usaha itu lebih genting lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini.
PELAN 2020
Memandang ke hadapan Jawatankuasa Syarikat Pemula MENDAKI akan menganjurkan tiga lagi sesi rangkaian kerja pada tahun depan.
Sesi-sesi tersebut akan dianjurkan mengikut tiga tema berbeza iaitu (a) mempersiapkan pengasas dan syarikat pemula, (b) menyokong pengasas dalam membina rangkaian kerja dan mentorship, serta (c) memperkasa perniagaan serta peluang di luar negara.
Sesi itu dihadiri 30 anggota syarikat pemula Melayu/Islam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.