Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI tinjau faktor-faktor yang pengaruh laluan kerjaya masyarakat Melayu/Islam

Yayasan MENDAKI sedang menjalankan satu kajian untuk mengenal pasti faktor-faktor yang boleh mempengaruhi laluan kerjaya para anggota masyarakat Melayu/Islam.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yayasan MENDAKI sedang menjalankan satu kajian untuk mengenal pasti faktor-faktor yang boleh mempengaruhi laluan kerjaya para anggota masyarakat Melayu/Islam.

Ini didedahkan Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad semasa beliau menyampaikan ucapan di dialog tahunan MENDAKI bersama Institut Kajian Dasar (IPS) pada Sabtu (30 Okt).

"Kajian ini akan membolehkan MENDAKI, agensi-agensi kebangsaan dan pihak-pihak berkepentingan dalam masyarakat mengenal pasti jurang dan cabaran yang dihadapi masyarakat kita. (Ini akan) membantu kita melakar pelbagai inisiatif dan dasar untuk menyokong para pekerja Melayu/Islam," kata Encik Zaqy yang juga merupakan Timbalan Pengerusi MENDAKI.

Beliau akur bahawa masyarakat Melayu sudah mencatat kemajuan besar sepanjang sedekad lalu. Misalnya, Banci Penduduk menunjukkan 39 peratus masyarakat Melayu merupakan golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen. Perangkaan itu tambahan 11 peratusan mata berbanding 2010.

Namun, ada beberapa trend lain yang juga menarik perhatian MENDAKI.

"Banci Penduduk 2020 menunjukkan bahawa kemungkinan wanita dalam masyarakat kita bekerja, (khususnya mereka) yang mempunyai tiga anak atau lebih, agak tipis," jelas Encik Zaqy.

Ketua Kumpulan Jabatan Kajian dan Rekaan MENDAKI, Encik Faisal Aman turut merujuk kepada data di mana satu dalam setiap dua wanita Melayu berusia 15 tahun dan ke atas, tidak bekerja. Peratusan ini lebih rendah berbanding purata nasional.

"Kami juga difahamkan daripada dapatan Banci Penduduk 2020 bahawa bilangan kaum lelaki yang cuma lulus sehingga peringkat diploma bertambah. Kami ingin mereka melanjutkan pengajian kerana ada potensi untuk mereka tingkat kemahiran mereka," kata Encik Faisal.

TINJAUAN LIBATKAN 1,000 RESPONDEN

Menurutnya lagi, kajian terbaru MENDAKI ini dimulakan sejak 1 Oktober lalu dan ia akan dijalankan selama setahun. Tinjauan badan bantu diri itu akan melibatkan 1,000 responden warga Melayu/Singapura berusia antara 15 dengan 55 tahun.

Dapatannya pula akan didedahkan dalam dialog tahunan MENDAKI dengan IPS pada tahun depan.

Bagi dialog yang diadakan tahun ini, isu tuntutan pekerjaan dikupas secara mendalam di mana para peserta dapat mendengar pelbagai perspektif daripada barisan panelis.

Dialog itu sekali gus menggulung kempen Raikan Ilmu MENDAKI - yang sejauh ini berjaya menarik lebih 11,000 penyertaan dan tontonan bagi sekitar 70 acara yang dianjurkan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan