Skip to main content

Singapura

MENDAKI tawarkan biasiswa pertama peringkat sarjana dalam bidang AI, hasil sumbangan Juzar Motiwalla

Anggaran Waktu Membaca:
 MENDAKI tawarkan biasiswa pertama peringkat sarjana dalam bidang AI, hasil sumbangan Juzar Motiwalla
Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani oleh Encik Juzar Motiwalla (dua dari kiri) dan COE Yayasan MENDAKI, Feroz Akber (dua dari kanan) (Gambar: MENDAKI) 
SINGAPURA: Yayasan MENDAKI melancarkan biasiswa pertama peringkat sarjananya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) hasil kerjasama dengan usahawan teknologi dan ahli akademik, Juzar Motiwalla.

Biasiswa itu dilancarkan menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MOA) antara MENDAKI dengan Encik Motiwalla.

Di bawah MOA tersebut, Encik Motiwalla menyumbang sejumlah S$51,000 bagi tempoh dua tahun hingga 2027.

BIASISWA DAN DERMASISWA BERNILAI S$51,000 UNTUK SISWAZAH DAN PENUNTUT PASCASISWAZAH DALAM BIDANG STEM

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis (22 Jan), MENDAKI menyatakan bahawa Biasiswa MENDAKI – The Saleh and Gato Motiwalla akan menyokong kos pengajian sebanyak S$15,000 untuk seorang penuntut possiswazah yang mengikuti pengajian dalam bidang AI.

Biasiswa tersebut akan diberikan kepada penuntut yang mengikuti program berkaitan AI di Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).

Program yang layak termasuk Ijazah Sarjana Sains dalam Kecerdasan Buatan dan Inovasi di NUS, Ijazah Sarjana Pengkomputeran (Pengkhususan AI) di NUS, Ijazah Sarjana Sains dalam AI di NTU dan Ijazah Sarjana Sains dalam Reka Bentuk dan AI untuk Perusahaan di SUTD.

Biasiswa MENDAKI - The Saleh and Gato Motiwalla juga akan menyokong pengajian sarjana muda untuk dua siswazah sepenuh masa dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang bernilai S$10,000 setiap satu.

Dermasiswa tambahan turut diperkenalkan di bawah Dermasiswa Dana Amanah Pendidikan (ETF) – The Saleh and Gato Motiwalla untuk membantu siswazah peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang STEM.

Dermasiswa bernilai S$4,000 setiap satu itu dan akan diberikan kepada empat siswazah.

Biasiswa dan dermasiswa sarjana muda akan diberikan kepada siswazah NUS, NTU dan SUTD, dalam bidang STEM.

MOA itu dimeterai Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Feroz Akber bersama Encik Motiwalla di ibu pejabat MENDAKI.

MENDAKI menyatakan bahawa kerjasama itu mengukuhkan lagi komitmennya untuk memperluaskan akses pendidikan, khususnya dalam bidang yang akan membentuk ekonomi masa depan negara.

Encik Feroz berkata: "Kami bersyukur untuk memulakan tahun 2026 dengan sokongan kukuh oleh Encik Juzar Motiwalla. Komitmen beliau terhadap pendidikan memperkukuhkan misi kami untuk mempertingkatkan masyarakat Melayu/Islam. Sumbangan beliau membenarkan kita untuk memperkenalkan biasiswa ijazah sarjana dalam AI, sekali gus menyokong kesediaan masyarakat terhadap masa depan yang pesat berubah dan berteraskan teknologi."

"Seiring dengan pelan kerja lima tahun MENDAKI untuk memupuk pelajar yang yakin, kami mengalu-alukan untuk memperluaskan peluang sebegini dan memperkukuhkan impak kami," tambah beliau lagi.

Encik Motiwalla pula berkata: "Kami berharap untuk mendakapi para pemimpin masa depan. Mereka akan mengejar peluang di dalam dunia yang mana ketidaktentuan menghantui kestabilan masa lalu. Kesempitan kewangan tidak boleh menjadi halangan untuk membuka pintu peluang untuk anak-anak muda yang mempunyai hasrat untuk berjaya."

Ini merupakan antara biasiswa baharu dalam pelan kerja 5 tahun MENDAKI untuk meningkatkan jumlah biasiswa dan dermasiswa sebanyak 25 peratus setiap tahun setiap tahun sehingga 2030.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita