Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI tawar 20 kursus digital didik, asah kemahiran 2,000 anggota masyarakat Melayu/Islam

Yayasan MENDAKI akan menawarkan 20 kursus digital di bawah program DigiSmart kendaliannya bagi mendidik dan menajamkan kemahiran 2,000 anggota masyarakat Melayu/Islam sepanjang tempoh dua tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
MENDAKI tawar 20 kursus digital didik, asah kemahiran 2,000 anggota masyarakat Melayu/Islam

Seramai 15 peserta warga emas, berusia 50 tahun dan ke atas, mempelajari cara bagaimana untuk melindungi diri mereka daripada terjebak dalam penipuan online dengan mengikuti program DigiSmart anjuran MENDAKI pada 30 Mac 2022. (Gambar: MENDAKI)

SINGAPURA: Yayasan MENDAKI akan menawarkan 20 kursus digital di bawah program DigiSmart kendaliannya bagi mendidik dan menajamkan kemahiran 2,000 anggota masyarakat Melayu/Islam sepanjang tempoh dua tahun.

Demikian diumumkan pertubuhan itu menerusi satu kenyataan media pada Rabu (30 Mac).

Program DigiSmart MENDAKI bertujuan mendidik masyarakat Melayu/Islam setempat untuk mendakapi huraian digital dalam kehidupan seharian mereka. Ia dibiayai oleh Program Digital Sepanjang Hayat Penguasa Pembangunan Infokom dan Media (IMDA).

Dengan menjalani program itu, para peserta akan dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran siap digital.

MENDAKI menganjurkan kelas awam DigiSmart yang pertamanya pada pagi Rabu, dengan menumpukan perhatian kepada ancaman dan gejala penipuan online.

Seramai 15 peserta warga emas, berusia 50 tahun dan ke atas, mempelajari cara-cara bagaimana untuk melindungi diri mereka daripada terjerat dan menjadi mangsa penipuan online. Mereka juga diajar untuk mengenal pasti taktik yang biasa digunakan oleh para penipu serta ancaman-ancaman keselamatan siber yang lain.

Sewaktu sesi tersebut, yang diadakan dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Melayu, para peserta membawa pulang tip keselamatan siber seperti menetapkan kata laluan yang kukuh selain mengaktifkan Pengesahan Data Tahap Kedua (2FA).

Menjangkaui topik-topik keselamatan siber, program DigiSmart juga menawarkan kursus digital bersasar di pelbagai peringkat kemahiran untuk memenuhi keperluan yang berbeza-beza dalam kalangan masyarakat. Antaranya termasuk Pembiayaan Digital, Celik Digital dan Digital untuk Kehidupan Seharian.

Di peringkat lanjutan pula, topik-topik seperti teknologi kewangan (FinTech), Analisis Data dan Kecerdasan Buatan (AI) akan diterapkan.

Program DigiSmart juga, menurut MENDAKI, menyusun kandungan khusus buat warga senja, golongan ibu bapa, pendidik, karyawan serta usahawan yang baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Sejak Februari lalu, sekitar 200 peserta sudahpun meraih manfaat daripada program DigiSmart.

"Saya berbesar hati program DigiSmart disambut baik sejak ia dilancarkan pada bulan lalu," kata Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI Zuraidah Abdullah.

"Ia mencerminkan tekad masyarakat kita untuk menimba kemahiran baru, membangunkan kecekapan dan membina keupayaan serta mempelajari lebih banyak lagi tentang bagaimana untuk melindungi diri kita dengan lebih baik dalam era digital ini.

"Kami akan terus menyediakan program-program yang relevan dan bersasar bagi masyarakat Melayu/Islam kita supaya mereka dapat lebih mudah menyesuaikan diri, berdaya usaha dan terbuka untuk merebut peluang dalam sektor-sektor berkembang," tambah beliau.

MENDAKI akan menjangkaui bandar-bandar M³ serta pertubuhan Melayu/Islam lain untuk membawa program DigiSmart lebih dekat dengan para penerima bantuan.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan