Skip to main content

Singapura

MENDAKI, SUTD jalin kerjasama perkukuh usaha perkasa masyarakat Melayu/Islam dalam AI

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebuah Memorandum Persefahaman (MOU) ditandatangani oleh MENDAKI dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) bagi menjalin kerjasama untuk memperkukuh usaha mempersiapkan masyarakat Melayu/Islam menghadapi masa depan yang dipacu pendigitalan.

Kerjasama tersebut merangkumi inisiatif kecerdasan buatan (AI), reka bentuk dan pembelajaran berasaskan aplikasi.

Ia ditandangani oleh Timbalan Presiden merangkap Ketua Pegawai Inovasi & Perusahaan SUTD, Profesor Tai Lee Siang dan Ketua Pegawai Eksekutif, MENDAKI, Encik Feroz Akber pada Rabu (18 Mac).

Menurut MENDAKI, kerjasama tersebut menyokong Pelan Kerja MENDAKI 2030 dalam membina tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan, serta menyumbang kepada Langkah Digital, satu inisiatif M³ yang diterajui oleh MENDAKI, bagi menggalakkan penggunaan AI dan literasi digital dalam komuniti.

Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Feroz Akber berkata kerjasama tersebut mencerminkan komitmen MENDAKI untuk memperkasa masyarakat.

"Penandatanganan hari ini menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama antara institusi kita. Lebih penting lagi, ia mencerminkan komitmen bersama kita untuk memperkasa komuniti melalui pendidikan, inovasi dan kemahiran masa hadapan," kata Encik Feroz.

"Di MENDAKI, usaha kami dipandu oleh pelan kerja lima tahun kami, yang memberi tumpuan kepada memperkukuh pencapaian pendidikan, membina keupayaan untuk ekonomi masa depan, dan menyokong pembelajaran sepanjang hayat dalam komuniti," tambahnya lagi.

MOU GARIS TIGA BIDANG UTAMA KERJASAMA

Menurut beliau lagi, di bawah MOU selama tiga tahun ini, MENDAKI dan SUTD akan bekerjasama dalam beberapa bidang utama.

Pertama, menyediakan peluang latihan dan pembangunan kemahiran dalam bidang AI dan reka bentuk bagi memperkukuh keupayaan kakitangan MENDAKI serta masyarakat.
Related article image
(Gambar: MENDAKI)
Kedua, meneroka peluang penyelidikan dan pembangunan bersama serta pertukaran pengetahuan untuk meningkatkan laluan pendidikan dan kesiapsiagaan tenaga kerja.

Ketiga, menyokong inisiatif-inisiatif oleh pelajar yang membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan kepada situasi dunia sebenar serta menyumbang idea inovatif kepada masyarakat.

Tetamu Kehormat, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran, serta Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad yang menyaksikan kerjasama itu dimeterai, menyifatkan persefahaman ini sebagai suatu langkah yang strategik.

"Jadi bagi kami, inilah satu daya MENDAKI yang agak strategik oleh kerana kita mahu membawa masyarakat bersama untuk memahami penggunaan AI supaya ia dapat menolong kita mendapatkan peluang pekerjaan atau peluang perniagaan ataupun bagaimana kita menggunakan AI dalam hidup seharian kita," kata Encik Zaqy.

"Dan saya rasa ini adalah satu-satunya di mana kita mahu memberi mereka keyakinan supaya mereka dapat menggunakan AI dengan baik serta menggunakan kursus dan kepakaran teknikal daripada SUTD untuk kita membawa servis yang lebih baik kepada masyarakat melalui MENDAKI," tambahnya lagi.

Menurut beliau, persefahaman ini akan dapat mendorong pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam serta masyarakat untuk terus mendakap AI.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita