MENDAKI sasar kumpul dana S$40j untuk pertingkatkan program masyarakat
(Gambar: Syawal Yusoff)
SINGAPURA: MENDAKI menyasarkan untuk mengumpul S$40 juta untuk mempertingkat dan memperluas program-program sedia ada serta melaksanakan inisiatif-inisiatif baru untuk membantu masyarakat Melayu/Islam.
Pemerintah akan memadankan jumlah tersebut berdasarkan sumbangan sedolar bagi setiap dolar yang dikumpulkan.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan demikian semasa di majlis sambutan Ulang Tahun ke-40 MENDAKI
di Pusat Budaya Universiti (UCC) Universiti Nasional Singapura (NUS) hari ini (1 Okt).
“Pemerintah menyokong usaha ini dan akan memadankan dana yang dikumpul MENDAKI, berdasarkan sumbangan sedolar bagi setiap dolar, sehingga S$20 juta. Jadi jika MENDAKI boleh mengumpulkan S$20 juta menerusi usahanya sendiri, ia boleh mencapai sasaran sebanyak S$40 juta.
“Saya gembira beberapa penderma sudahpun tampil memberikan dana. Pada masa yang sama, saya gembira masyarakat bukan Melayu/Islam juga membuat sumbangan. Saya mengalu-alukan mereka yang berkemampuan untuk menyokong usaha ini,” kata PM Lee.
Buat julung-julung kalinya, Anugerah Sanjungan Budi yang mengiktiraf sumbangan besar para individu mereka dalam pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat bersama MENDAKI, selama sekurang-kurangnya 20 tahun turut disampaikan.
Tiga penerima tahun ini adalah Encik Haider Mohamedally Sithawalla, Encik Sallim Abdul Kadir dan Dr Sharifah Mariam Aljunied.
REKOD TERTINGGI PENERIMA IJAZAH KELAS PERTAMA; TERTINGGI DI KOHORT
REKOD TERTINGGI PENERIMA IJAZAH KELAS PERTAMA; TERTINGGI DI KOHORT
Lebih 400 pelajar menerima pengiktirafan atas kecemerlangan mereka dalam bidang akademik dan kemasyarakatan.
Tahun ini juga, MENDAKI turut menyaksikan rekod tertinggi jumlah penerima bagi dua anugerahnya dalam masa empat dekad.
Ia adalah Anugerah Cemerlang MENDAKI yang mengiktiraf 89 pelajar yang mendapat Ijazah Kelas Pertama dan 44 pelajar yang menerima Anugerah Pencapaian Akademik kerana muncul sebagai terbaik dalam kohort mereka.
Acara hari ini dihadiri seramai 700 tetamu.
MENDAKI hari ini turut melancarkan bulan Raikan Ilmu yang akan berlangsung sehingga 29 Oktober.
Ini merupakan tahun keempat bulan Raikan Ilmu diadakan, untuk menggalak pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.