MENDAKI rintis program baharu bagi 200 pelajar cemerlang, hubungkan pelajar dengan rangkaian mentor, pendedahan kepada peluang kerjaya
Yayasan MENDAKI sedang merintis sebuah program pementoran baharu bagi sekitar 200 pelajar menengah 1 dan 2, Maktab Rendah dan Politeknik yang terdiri daripada kelompok 10 peratus hingga 20 peratus pelajar terbaik dalam kohort kebangsaan PSLE dan GCE peringkat O.
- MENDAKI has introduced a new mentoring programme for about 200 high-achieving secondary school and polytechnic students in Singapore.
- The programme aims to guide students in exploring fields of study, new careers and scholarship opportunities through connections with mentors.
- The Supporting My Child's Journey Masterclass and Dialogue event at Yale-NUS College Hall also involved parents and students, with about 350 people attending.
- MENDAKI now has greater capacity and a broader network to support students across different levels of achievement, including high performers.
- MENDAKI memperkenalkan program pementoran baharu untuk sekitar 200 pelajar menengah dan politeknik yang cemerlang di Singapura.
- Program ini bertujuan membimbing pelajar meneroka bidang pengajian, kerjaya baharu dan peluang biasiswa melalui hubungan dengan mentor.
- Acara Supporting My Child's Journey Masterclass and Dialogue di Yale-NUS College Hall turut melibatkan ibu bapa dan pelajar, dengan kehadiran sekitar 350 orang.
- MENDAKI kini mempunyai keupayaan dan rangkaian lebih besar untuk menyokong pelajar dari pelbagai tahap pencapaian, termasuk mereka yang berprestasi tinggi.
SINGAPURA: Yayasan MENDAKI sedang merintis sebuah program pementoran baharu bagi sekitar 200 pelajar menengah 1 dan 2, Maktab Rendah dan Politeknik yang terdiri daripada kelompok 10 peratus hingga 20 peratus pelajar terbaik dalam kohort kebangsaan PSLE dan GCE peringkat O.
Demikian dikongsi oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, di sebuah acara anjuran MENDAKI pada Sabtu(5 Sep).
Menurut Encik Zaqy, program itu bertujuan membantu pelajar yang sudah menunjukkan prestasi cemerlang untuk terus maju, meneroka bidang pengajian dan kerjaya baharu serta memahami peluang yang tersedia.
"Jadi hari ini kita akan menjalankan program baharu untuk kita memberi pementoran kepada 200 anak Melayu kita, yang hari ini dikatakan mempunyai prestasi yang lebih tinggi dan ingin melanjutkan pelajaran mereka, dan ingin meneroka kerjaya baru, ataupun memahami akan peluang yang ada. Dan inilah MENDAKI sedang membantu - termasuk membantu yang memerlukan sokongan di bawah dan mereka yang mempunyai prestasi baik supaya kita menolong seluruh lapisan anak muda kita untuk mencapai aspirasi mereka,"kata Encik Zaqy.
Di bawah program tersebut, para pelajar tersebut akan dihubungkan dengan para mentor, rangkaian serta peluang selain lebih pendedahan kepada biasiswa yang tersedia juga laluan kerjaya dan industri berbeza.
Encik Zaqy berkata langkah itu dapat dilaksanakan kerana MENDAKI kini mempunyai keupayaan dan rangkaian yang lebih besar untuk menyokong pelajar daripada pelbagai tahap pencapaian.
Menurut beliau, walaupun MENDAKI sering dikaitkan dengan program yang membantu pelajar yang memerlukan lebih banyak sokongan, badan itu kini turut mempunyai ruang untuk membantu mereka yang sudah menunjukkan prestasi tinggi melangkah lebih jauh.
“Kita mempunyai ahli karyawan, iaitu lebih daripada 1,300 di antara mereka yang hari ini ingin memberi kembali kepada masyarakat dan ada di antara mereka hari ini sedang membantu yang memerlukan.
“Kita mempunyai lebih banyak modal sosial dalam masyarakat kita hari ini jika dibandingkan dengan sedekad dua lalu,” kata Encik Zaqy.
Dinamakan Supporting My Child's Journey Masterclass and Dialogue, acara yang diadakan di Yale-NUS College Hall itu bertujuan melengkapkan ibu bapa dengan sumber dan strategi praktikal untuk menyokong pembelajaran serta aspirasi anak-anak mereka.
Salah seorang peserta ialah Aniq Haziq Muhammad Firdaus, seorang pelajar Institusi Raffles (RI), yang berkongsi manfaat daripada sesi pementoran yang turut diadakan pada pagi itu.
“Mentor kami berkongsi tentang pekerjaan mereka. Mentor saya adalah seorang saintis. Dia menasihati kami bahawa jika kami menghadapi masalah, kami mesti jangan berputus asa dan terus mencuba untuk menyelesaikan masalah itu,” kata Aniq.
Bapanya, Encik Muhammad Firdaus Mohamed Idros, berkata program pementoran baharu MENDAKI itu dapat membantu pelajar merancang hala tuju mereka dengan lebih jelas, selain membina keyakinan diri.
“Program pementoran baru yang MENDAKI akan adakan ini akan membantu anak saya dan para pelajar memiliki keyakinan diri dan akan memberi mereka hala tuju apabila mereka sudah tamat pembelajaran masing-masing,” katanya.
Sesi dialog itu dihadiri sekitar 350 orang, termasuk ibu bapa serta pelajar Menengah 1 dan 2, Maktab Rendah dan politeknik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.