Skip to main content

Singapura

MENDAKI raih lebihan kewangan S$1.5 juta lepas alami defisit

Yayasan MENDAKI meraih lebihan kewangan S$1.46 juta pada tahun lalu, selepas mengalami defisit pada 2013 dan 2014.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yayasan MENDAKI meraih lebihan kewangan S$1.46 juta pada tahun lalu, selepas mengalami defisit pada 2013 dan 2014.

Ini antara lain didorong oleh peningkatan 60 peratus dalam jumlah derma yang diterima badan itu.

Pada tahun lalu, MENDAKI membelanjakan S$37 juta bagi program-program pembangunan masyarakat menerusi pendidikan.

Perangkaan itu diumumkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan MENDAKI, dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan badan itu pagi tadi (11 Jun).

Pada tahun lalu, MENDAKI sudah membantu lebih 73,000 penerima. Sebahagian besar daripada mereka adalah para peserta Skim Tuisyen MENDAKI.

Jumlah pelajar yang dibantu MENDAKI melalui Bantuan Pendidikan & Kewangan meningkat 20 peratus kepada lebih 31,500 pada tahun lalu, berbanding sekitar 25,820 pada tahun 2014.

MENDAKI juga mendekati lebih 14,000 individu melalui enam pusat satelitnya.

Kata Dr Yaacob: "Kita akan memperluaskan lagi untuk mengadakan satu lagi pusat satelit di kawasan barat.

"Dan pada masa yang sama juga, tumpuan kita pada belia juga akan kita mempertingkatkan, dengan tempat-tempat yang baru di ITE.

"Jadi sekaligus, apa yang kita inginkan adalah untuk memperluaskan rangkaian yang kita ada dalam MENDAKI untuk menentukan bahawa setiap individu yang harus ditolong, diberi pertolongan oleh pihak MENDAKI."

MENDAKI akan membuka satu lagi Youth Space @ ITE di Kolej ITE East menjelang suku ketiga tahun ini. Ia sebagai tambahan kepada ruang serupa di Kolej ITE Central yang dibuka pada Oktober lalu.

"Saya rasa usaha yang lebih penting dari pihak MENDAKI ialah bagaimana kita merumuskan program-program yang kita jalankan untuk menentukan bahawa tujuan kita atau tumpuan kita tetap pada pendidikan.

"Dan Alhamdulillah dalam 2015, kita mengaturkan lagi program-program kita untuk mengadakan tiga tunggak iaitu 'Ready for School, 'Perform in School' dan 'Future Ready'," kata Dr Yaacob.

Semasa mesyuarat agung tahunan ini, MENDAKI melantik enam pengarah baru bagi berkhidmat untuk penggal 2016 hingga 2018.

Tiga daripada mereka adalah muka baru:

1. Encik Esfan Rizal Rahwom (4PM)
2. Encik Halil Haji Mansor (LBKM)
3. Encik Mohamed Yunos Mohamed Shariff (Jamiyah Singapura)

Mereka menggantikan tiga pengarah lain yang berundur pada penggal ini:

1. Encik Ismail Pantek (LBKM)
2. Encik Mohamed Ismail Abdul Hakim (4PM)
3. Encik Sayid Shufyan Jasin Amin Sahib (Persatuan Muhammadiyah) 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita