Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI puji kepimpinan "cemerlang" Razak Maricar, ucap tahniah kepada Esa Masood

Yayasan MENDAKI menghulurkan sekalung budi kepada Ketua Eksekutif (CE) Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Abdul Razak Hassan Maricar, di atas kepimpinan beliau,

Anggaran Waktu Membaca:
MENDAKI puji kepimpinan "cemerlang" Razak Maricar, ucap tahniah kepada Esa Masood

Ketua Eksekutif MUIS, Abdul Razak Maricar. (Gambar: MUIS)

SINGAPURA: Yayasan MENDAKI menghulurkan sekalung budi kepada Ketua Eksekutif (CE) Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Abdul Razak Hassan Maricar, di atas kepimpinan beliau menerajui badan agama itu serta sokongan beliau kepada MENDAKI sendiri.

Badan bantu diri itu turut mengucapkan tahniah kepada Timbalan CE MUIS Encik Esa Han Hsien Masood, yang akan mengambil alih pucuk pimpinan majlis tersebut berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Encik Abdul Razak akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Eksekutif (CE) MUIS apabila beliau bersara daripada Perkhidmatan Awam pada 31 Disember tahun ini. Encik Abdul Razak sudah berkhidmat sebagai CE MUIS sepanjang lima tahun, sejak 7 Ogos 2013.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkannya hari ini (4 Dis), MENDAKI memuji Encik Abdul Razak di atas "kepimpinannya yang cemerlang" semasa mengemudi MUIS dan "dedikasinya kepada pembaikan masyarakat Muslim".

Di bawah kepimpinan Encik Abdul Razak, MUIS menjadi rakan penting kepada agensi-agensi masyarakat seperti MENDAKI dan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam lain.
Encik Abdul Razak juga menjadi anggota Lembaga Pengarah MENDAKI sejak tahun 2014.,

Menerusi sokongan beliau, program-program serta khidmat yang ditawarkan MENDAKI dapat dimanfaatkan oleh masyarakat melalui pusat-pusat satelit yang ditempatkan di empat buah masjid.

MUIS juga banyak menyokong program-program yang bertujuan untuk membangunkan para belia Muslim menerusi pendidikan. Majlis tersebut juga membuat sumbangan besar kepada Dana Amanah Pendidikan (ETF), yang membantu para pelajar dari keluarga-keluarga kurang bernasib baik melalui subsidi, dermasiswa serta bantuan kewangan.

MUIS, MENDAKI dan Kelab MENDAKI kini terus bekerjasama mendampingi para belia menerusi program-program Kesediaan Masa Depan seperti Cabaran Teknologi Masjid (Mosque Tech Challenge). MENDAKI menyatakan, kerjasama-kerjasama seperti itu akan bertambah kukuh dengan terbentuknya sinergi M³ - MUIS, MENDAKI dan MESRA.

Merujuk kepada Encik Esa Masood pula, MENDAKI melahirkan harapan untuk terus meluaskan dan memperkukuh lagi kerjasamanya dengan MUIS.

"Kami yakin bahawa di bawah kepimpinan Encik Esa, MUIS akan menempa kejayaan yang lebih tinggi lagi dalam membina sebuah masyarakat Muslim cemerlang," menurut MENDAKI lagi dalam kenyataan tersebut. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan