Skip to main content

Singapura

MENDAKI PlayDate wujudkan rangkaian untuk ibu bapa saling beri sokongan, tip persiapkan anak ke Darjah 1

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sekitar 1,000 ibu bapa dan keluarga mereka sudah meraih manfaat daripada acara 'Family PlayDate' sejak dilancarkan Yayasan MENDAKI tahun lalu.

Dengan maklum balas baik yang diterima, acara ini diteruskan dengan sekitar 30 keluarga berkumpul di Sekolah Rendah Fuchun pada Ahad (12 Okt) bagi sesi ke-12 acara itu.

Acara itu diadakan untuk berkongsi tip bagi persiapan anak-anak yang akan melangkah ke Darjah 1.

"Kita dah melihat sambutan yang baik dan menggalakkan daripada ibu bapa dan keluarga untuk PlayDate kami di mana kita telah menjalankan lebih daripada 12 sesi PlayDate sejak setahun lalu dan lebih daripada 1,000 ibu bapa dan anak-anak mereka yang telah manfaat daripada program ini," kata pengerusi MENDAKI, Encik Zaqy Mohamad.

"Ini memberi mereka satu asas di mana kita mahu anak-anak kita bersedia apabila memasuki sekolah dan ini penting di mana anak kita hari ini lebih bersedia dan ibu bapa juga mengetahui apa yang diperlukan oleh anak mereka apabila mereka memasuki Darjah 1 di sekolah rendah," tambahnya lagi.
Peserta kanak-kanak dapat mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti seperti lukisan wajah, lukisan karikatur dan seni belon pada acara tersebut. (Gambar: MENDAKI)
Inisiatif ini merupakan acara komuniti yang direka untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan melalui aktiviti interaktif antara ibu bapa dan anak dan memupuk semangat kejiranan.

Di samping itu, ia juga menjadi wadah untuk menghubungkan ibu bapa dengan program dan sumber pendidikan MENDAKI seperti KelasMateMatika (KMM).

Diadakan di kawasan kejiranan, acara ini turut menggalakkan keluarga yang menetap di kawasan berhampiran untuk berkumpul, belajar dan berkembang bersama sebagai sebuah komuniti.

"Bagi kami, pertama sekali, adalah untuk ibu bapa memahami kurikulum sekolah dan keperluan sekolah hari ini. Bagi saya, apa yang penting adalah untuk ibu bapa dapat mengeratkan hubungan bersama anak mereka," kata Encik Zaqy.

"Oleh kerana hari ini ramai di antara ibu bapa mungkin sibuk bekerja atau mempunyai komitmen yang lain tetapi masa dengan anak amat penting di mana mereka dapat bersama dan menggunakan peluang ini untuk bukan saja meluangkan masa bersama anak mereka tetapi juga untuk mereka memberi keyakinan dan motivasi kepada anak mereka untuk menguasai pelajaran mereka," tambahnya lagi.

Para peserta juga dapat menikmati pelbagai aktiviti termasuk permainan 'Matematik di Rumah: Permainan Domino' yang menggalakkan pemikiran strategik dan kemahiran nombor dalam suasana yang menyeronokkan dan interaktif.

Bagi peserta kanak-kanak pula, mereka dapat mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti seperti lukisan wajah, lukisan karikatur dan seni belon.
Kehadiran ibu bapa turut menunjukkan sokongan terhadap usaha ini yang membolehkan mereka bertukar-tukar pengalaman dan memberikan dorongan sesama sendiri. (Gambar: MENDAKI)
Ibu bapa yang hadir turut mengalu-alukan usaha sedemikian untuk mereka berkongsi pengalaman dan memberi sokongan antara satu sama lain.

"Saya melihat ini satu peluang untuk saya meluangkan masa dengan anak-anak saya pada hujung minggu," kata seorang peserta, Muhammad Syarifuddin Daud.

"Apa yang dapat saya pelajari adalah kepentingannya untuk kita memberi perhatian sepenuhnya untuk memerhati anak kita. Apa yang dia suka apa yang dia tak suka, apa yang buat dia datang minat untuk beberapa aktiviti dan sebagainya sebelum kita dapat masukkan pelajaran dalam setiap aktiviti," tambahnya lagi.

Family PlayDate ini juga mencerminkan komitmen MENDAKI dalam menyokong keluarga melalui penglibatan akar umbi yang bermakna dan program yang mudah diakses.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita