MENDAKI pertingkat program tuisyen dengan AI, pergiat usaha libatkan karyawan sokong masyarakat: Zaqy
SINGAPURA: MENDAKI akan mempertingkatkan lagi program Program Tuisyen MENDAKI (MTP) dengan menyepadukan sistem Kecerdasan Buatan (AI) dalam kurikulum untuk mempersiapkan para pelajar dengan lebih baik lagi bagi masa depan yang didorong AI.
Untuk itu, MENDAKI bakal menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama dua institusi yang akan bekerjasama dengannya dalam usaha itu.
Demikian dikongsikan Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan, Zaqy Mohamad dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) bagi Ehwal Masyarakat Islam di parlimen pada Isnin (10 Mac).
"Pertama, kita akan bekerjasama dengan Perikatan Singapura-MIT bagi Kajian dan Teknologi (SMART) untuk menyediakan para pelajar dengan akses kepada alat-alat AI yang akan membantu mereka memahami topik-topik Matematik seperti geometri dengan lebih baik lagi, dan meningkatkan keberkesanan para tutor relawan kami," kata Encik Zaqy yang juga merupakan Timbalan Pengerusi MENDAKI.
"Kedua, menerusi kerjasama kami dengan Yayasan Quantedge dan Yayasan Temasek, kami akan merintis satu sistem pembelajaran individu dengan kuiz-kuiz diagnostik dan aktiviti interaktif untuk pendampingan pelajar dan hasil akademik yang lebih baik," tambahnya.
PROGRAM MTP SUDAH DIPERLUAS KEPADA 100 PUSAT

Encik Zaqy turut memberi kemas kini tentang peningkatan-peningkatan yang sudah dilaksanakan bagi MTP.
Program itu sudah diperluaskan kepada 100 pusat di merata Singapura dengan hampir 9,700 pelajar didaftarkan pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 35 peratus sepanjang lima tahun lalu.
Ia juga sudah diselaraskan dengan perubahan-perubahan dalam sistem pendidikan seperti Skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB).
Bagi program KelasMateMatika (KMM) pula, Encik Zaqy berkongsi bahawa lebih 12,000 ibu bapa dan anak mereka sudah meraih daripada program tersebut dalam tempoh lima tahun lalu sejak 2020.
Ia merupakan satu program intervensi awal untuk memperkukuh penghargaan kanak-kanak terhadap konsep angka dan kemahiran ibu bapa dalam menyokong pembelajaran anak mereka.
"KMM membina asas awal untuk para pelajar menunjukkan prestasi baik dalam Matematik, yang membuka lebih banyak kerjaya pendidikan bagi mereka. Hari ini, 90 peratus daripada pelajar kita yang sudah mendaftar dalam KMM memasuki sekolah rendah tanpa memerlukan sokongan-sokongan tambahan," ujar Encik Zaqy.
"MENDAKI akan terus bekerjasama rapat dengan M³@Bandar dan Agensi-Agensi Khidmat Sosial untuk pendekatan lebih khusus bagi keluarga muda," tambahnya.
USAHA MENDAKI MEMBUAHKAN HASIL
Meluaskan peranan MENDAKI dalam memenuhi keperluan pendidikan masyarakat merupakan antara tiga tunggak yang digariskan Encik Zaqy untuk meningkatkan keupayaan masyarakat Melayu/Islam.
Ini bagi meneruskan usaha MENDAKI dalam mencatat kejayaan dan pencapaian masyarakat Melayu dalam bidang pendidikan dan pekerjaan.
"Dari 2000 hingga 2020, lebih daripada seganda belia Melayu meraih kelayakan posmenengah atau lebih tinggi, meningkat daripada sekitar 30 peratus kepada sekitar 80 peratus. Dalam kalangan warga dewasa Melayu, peratusan graduan universiti juga meningkat lima kali ganda daripada 2.1 peratus kepada 10.8 peratus. Lebih banyak orang Melayu kini memegang jawatan PMET dengan kenaikan daripada 23 peratus kepada 40 peratus pada 2020," ujar Encik Zaqy.
Beliau menambah ini merupakan kesan daripada usaha badan-badan bantu diri menerusi MENDAKI untuk melengkapi sistem pendidikan Singapura.
Dua lagi tunggak ialah membangunkan masyarakat dan pemimpin industri masa depan serta menyokong belia untuk memasuki alam pekerjaan dan menggalak pembelajaran sepanjang hayat mahupun peningkatan kemahiran.
FA4 LENGKAPI USAHA NASIONAL; SUDAH SOKONG 25,000 PEKERJA MELAYU/ISLAM

Dengan perkembangan teknologi dan inovasi yang pesat, Encik Zaqy menekankan perlunya untuk para pekerja sentiasa meningkatkan dan memperbaharui kemahiran mereka supaya dapat maju seiring dengan keperluan pekerjaan dan meraih pendapatan yang lebih tinggi.
Beliau memberikan dua contoh di mana pemerintah akan membolehkan lebih ramai pekerja meningkatkan kemahiran secara berterusan.
Antaranya menerusi Program Peningkatan SkillsFuture untuk rakyat Singapura berusia 40 tahun ke atas yang dipertingkatkan tahun ini, serta Skim Bantuan Kemahiran Daya Kerja (Level Up) bagi pekerja bergaji rendah berusia 30 tahun ke atas, yang diberikan elaun latihan bulanan yang serupa bagi kursus-kursus separuh dan sepenuh masa yang terpilih.

"Di peringkat masyarakat, Bidang Tumpuan 4 (FA4) M³, yang diketuai Encik Fahmi Aliman, saling melengkapi usaha-usaha nasional dalam pembelajaran sepanjang hayat dan membantu para pekerja kekal berdaya saing sedang tuntutan pekerjaan meningkat," jelas Encik Zaqy.
"Melalui kerjasama dengan NTUC dan beberapa pertubuhan masyarakat, FA4 telah menyokong sekitar 25,000 pekerja Melayu/Islam melalui pameran kerjaya, pemadanan pekerjaan, program peningkatan kemahiran dan pementoran sepanjang tiga tahun lalu," tambahnya.
Begitu juga dengan usaha untuk menyokong dan mempersiapkan golongan belia untuk alam pekerjaan.
Misalnya, program mentor MENDAKI kata Encik Zaqy bukan sahaja bertujuan memberi motivasi untuk belia terus kekal di sekolah, bahkan untuk meningkatkan kesedaran tentang peluang kerjaya dan pendidikan yang tersedia untuk mereka.
"Pada 2024, program-program #amPowered MENDAKI sudah memadankan hampir 1,400 pelajar kepada lebih 400 mentor iaitu seganda daripada jumlah mentor yang terlibat berbanding 2022," menurut Encik Zaqy.
RANGKAIAN KARYAWAN MENDAKI BANTU BELIA

Kejayaan program-program mentor itu juga adalah hasil sokongan daripada para karyawan Melayu/Islam.
Selain peranan sebagai mentor, mereka juga membentuk Rangkaian Karyawan MENDAKI untuk membantu belia dan membuka laluan kerjaya untuk mereka raih manfaat daripada pelaburan Singapura dalam sektor-sektor berkembang maju.
Antaranya, Program Literasi Kewangan yang dianjurkan oleh Rangkaian Karyawan MENDAKI bagi Perbankan dan Kewangan untuk lebih 80 pelajar, yang menyediakan mereka peluang membina rangkaian dengan karyawan industri pada 2024.
Berkat sokongan golongan karyawan, rangkaian itu sudah berkembang dan naik seganda jumlahnya.
"Rangkaian Karyawan kini meliputi 13 industri berbeza dengan anggota yang berkembang, yang sudah naik seganda kepada lebih 850 pada tahun lalu. Daripada anggota ini, sekitar 60 peratus sudah menyumbang secara aktif menerusi program-program dan inisiatif masyarakat MENDAKI," ujar Encik Zaqy.
"Saya gembira bahawa usaha-usaha ini sudah merangsang lebih ramai untuk tampil ke hadapan dan saya menggalak semua karyawan kita untuk terus menghulurkan tangan dalam dalam apa jua kapasiti untuk memberi manfaat kepada masyarakat," tambahnya.
Untuk melengkapi usaha-usaha Rangkaian Karyawan, rakan-rakan korporat MENDAKI seperti Yayasan Micron turut menyokong program-program MENDAKI menerusi pelbagai cara termasuk tawaran biasiswa yang sudah membuka pintu untuk peluang pekerjaan bagi pelajar selepas tamat pengajian.
Ini juga membolehkan MENDAKI memberikan sekitar 45 biasiswa untuk menyokong pendidikan posmenengah para penuntut.
KOHORT KEDUA TUNAS BERSAMA M³ RANGKUMI PESERTA DARI INDUSTRI, PERTUBUHAN LEBIH PELBAGAI
Encik Zaqy turut berkongsi visi MENDAKI untuk menarik karyawan Melayu/Islam yang berjaya untuk melahirkan pemimpin masyarakat dan industri masa depan.
Ini dilakukan menerusi program latihan kepimpinan Tunas Bersama M³ yang dimulakan pada Mei 2022.
Encik Zaqy berkata: "Untuk meluaskan jangkauan, MENDAKI sudah memanfaatkan inisiatif seperti Rangkaian Karyawan untuk menyokong belia dengan potensi kepimpinan daripada spektrum masyarakat yang lebih luas dan industri yang berbeza."
"Kohort kedua iaitu 23 peserta, melibatkan bukan sahaja wakil pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO) malah Pengerusi M³@Bandar dan Pemimpin daripada Rangkaian Karyawan. Program ini membolehkan pemimpin muda untuk membina kerjasama dan pendedahan yang lebih baik," jelasnya.
Kohort kedua yang mula menyertai program itu pada Jun 2024 dijangka akan menamatkan program itu pada Disember 2025.
"Saya mempunyai harapan bahawa inisiatif-inisiatif seperti Tunas dan Rangkaian Karyawan kita dapat membantu memupuk barisan pemimpin masyarakat dan industri yang lebih kukuh untuk masyarakat Melayu/Islam, dengan harapan untuk persada negara dan antarabangsa juga," ujar Encik Zaqy.
13 peserta dari kohort pertama sudah menamatkan program itu pada April 2024 dan terus menyumbang dalam peringkat negara dan masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.