Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI perkenal #amPowered@ITE demi perkukuh program pementoran

MENDAKI hari ini mengumumkan beberapa langkah baru untuk memperkukuh program pementorannya. 

Anggaran Waktu Membaca:
MENDAKI perkenal #amPowered@ITE demi perkukuh program pementoran

MENDAKI perkenal #amPowered@ITE demi perkukuh program pementoran. (Gambar Fail: TODAY)

SINGAPURA: MENDAKI hari ini mengumumkan beberapa langkah baru untuk memperkukuh program pementorannya. 

Antaranya, Program Pemerkasaan@ITE kendaliannya akan dirombak menjadi program #amPowered@ITE.

Menerusi #amPowered@ITE, para pelajar mendapat bimbingan yang berperingkat-peringkat secara unik berdasarkan keperluan individu mereka dan menyokong perjalanan mereka untuk lulus sijil NITEC.

Demikian diumumkan Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI, Zaqy Mohamad, semasa ucapannya dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan di Parlimen hari ini (10 Mac). 

Program Pemerkasaan itu dirintis pada 2019 untuk mewujudkan sistem-sistem sokongan dan membantu para pelajar ITE mendapatkan kemahiran hidup, membina keyakinan dan mengembangkan potensi mereka.

(Gambar Fail: TODAY) 

"Program Pemerkasaan ini sudah memberi manfaat kepada lebih 2,000 menti sejak diperkenalkan. Menerusi program ini, MENDAKI berjaya menyertakan satu daripada setiap lima pelajar NITEC Melayu/Islam pada 2021.

"Program ini ternyata berjaya. 96 peratus peserta Program Pemerkasaan pada 2021 kekal bersekolah dan maju ke tahun kedua (NITEC)," kata Encik Zaqy. 

Kini, bagi membantu lebih ramai lagi pelajar, program #amPowered itu juga akan secara beransur-ansur disediakan di bawah Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) dan di bandar-bandar M³.

“Tahun ini, kami akan menyediakan lebih banyak sokongan untuk para belia kita di ITE untuk melengkapi usaha-usaha pemerintah mempertingkatkan lagi aplikasi pendidikan di Singapura,” ucap Encik Zaqy.

“Kami percaya bahawa para belia kami dapat meraih manfaat daripada seorang mentor di luar bilik darjah - satu model peranan yang mereka kagumi, mendapatkan nasihat dan pelajari daripada mereka untuk merealisasikan aspirasi mereka. Pada masa yang sama, kami juga ingin menyediakan peluang kepada mereka yang sudah pun berjaya untuk menyumbang kepada masyarakat,” tambah beliau lagi. 

Selain itu, Encik Zaqy bersetuju dengan pendapat Encik Fahmi Aliman dan Encik Sharael Taha bahawa para pelajar boleh meraih manfaat dari bimbingan kerjaya yang berstruktur, terutama sekali dalam sektor-sektor pembangunan seperti informasi dan komunikasi, khidmat kewangan dan insurans, serta khidmat profesional.

Lantaran itu juga, MENDAKI akan menempatkan Pegawai Penasihat MENDAKI, atau ‘Care Advisors’ di setiap Ruang Belia di tiga kolej ITE, serta di lima pusat satelit MENDAKI, untuk memberi khidmat kepada masyarakat Melayu/Islam secara umum. 

“Peranan mereka adalah untuk membimbing para pelajar berhubung laluan-laluan pendidikan yang boleh dicuba, menghubungkan mereka kepada usaha kemahiran atau peluang-peluang untuk penempatan pekerjaan,” kongsi Encik Zaqy. 

Beliau menambah bahawa usaha ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat Melayu tentang kegiatan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh SkillsFuture Singapore. 
 
Ia juga memberi pelajar akses kepada aktiviti-aktiviti yang dapat memperkukuh kemahiran kehidupan kritikal serta inisiatif-inisiatif Future Ready anjuran MENDAKI. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan