Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI perkenal 3 skim dermasiswa baru bagi pelajar peringkat posmenengah

Yayasan MENDAKI hari ini (23 Mac) memperkenalkan tiga skim dermasiswa baru di bawah Dana Amanah Pendidikan (ETF) bagi menggalak para pelajar Melayu/Islam melanjutkan pelajaran pada peringkat posmenengah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yayasan MENDAKI hari ini (23 Mac) memperkenalkan tiga skim dermasiswa baru di bawah Dana Amanah Pendidikan (ETF) bagi menggalak para pelajar Melayu/Islam melanjutkan pelajaran pada peringkat posmenengah.

Skim-skim baru itu diperkenalkan hasil pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MOU) - iaitu dengan Global Radiance Group of Maritime Companies (GRG) dan pengarah pengurusan syarikat itu sendiri.

Pemeteraian MOU dengan GRG akan memberi manfaat khususnya kepada para belia yang mempunyai minat dalam industri maritim.

SKIM BANTUAN ETF-GRG

Di bawah MOU dengan GRG, dermasiswa bernilai S$5,000 diperuntukkan khusus bagi mereka yang mengikuti Program Latihan Nautika Tiga Pihak (TNTA) atau Latihan Kejuruteraan Perikatan Tiga Pihak (TETA).

Dua program ditawarkan Akademi Maritim Singapura dan Institut Maritim Wavelink itu memberi pelajar pendedahan kepada pengetahuan dan kemahiran maritim.

Sesiapa sahaja boleh mengikuti program itu, asalkan mereka memenuhi kriteria ditetapkan seperti lulus subjek-subjek Peringkat 'N' atau selesai mengikuti program Nitec Lanjutan.

Subsidi disediakan tetapi pelajar lazimnya perlu membayar 10 peratus yuran yang mencecah sekitar S$5,000.

Namun, mereka dari keluarga kurang berkemampuan tidak lagi perlu khuatir kerana dermasiswa di bawah Skim ETF-GRG akan menampung kos itu.

"Kami rasa mungkin ada yang tidak mengikuti program kerana mereka tidak dapat bayar 10 peratus itu. Kami tidak mahu mereka melepaskan peluang ini. Ia menjanjikan masa depan cerah," kata Pengarah Pengurusan GRG, Encik Abdul Lateef Siddiqui.

Permohonan akan dibuka dari pertengahan Ogos hingga September tahun ini.

GRG SEDIA MENTOR

Di bawah MOU sama, GRG akan menyediakan mentor yang akan memberi peluang kepada para belia untuk memahami lebih baik operasi-operasi dalam industri berkenaan.

Pihak GRG juga akan turut terlibat dalam siri seminar dipanggil 'Future of Series' (FOS) atau 'Siri Masa Hadapan', selain membolehkan lawatan pembelajaran dilakukan ke syarikat tersebut.

"Saya berharap melalui program mentor ini, kita juga melibatkan lebih ramai karyawan dari sektor maritim supaya mereka dapat memberi pengalaman dan pendedahan kepada anak-anak kita. Golongan belia juga akan dapat memahami apakah peluang-peluang tersedia dalam sektor maritim," kata Menteri Negara Tenaga Manusia yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI, Encik Zaqy Mohamad.

Encik Zaqy menyaksikan sendiri pemeteraian MOU dengan GRG yang berlangsung di Wisma MENDAKI hari ini (23 Mac).

DERMASISWA BAGI PELAJAR PFP, NITEC

MOU kedua dimeterai atas ihsan Encik Siddiqui sendiri.

Dua dermasiswa ditawarkan di bawah MOU ini, iaitu Dermasiswa Program Asas Politeknik (PFP) ETF-Siddiqui dan Dermasiswa NITEC ETF-Siddiqui.

Dermasiswa bagi pelajar PFP bernilai S$1,000. Ia akan diberikan kepada tiga pelajar bagi setiap Tahun Akademik.

Permohonan bagi dermasiswa ini dibuka dari 30 Mac hingga 3 Mei.

Dermasiswa bagi pelajar NITEC pula bernilai S$2,000. Bagaimanapun, jumlah itu akan diagihkan mengikut tempoh pengajian pelajar. Ini bermakna, penerima akan menerima S$1,000 setiap tahun.

Dermasiswa NITEC ETF-Siddiqui akan diberikan kepada tiga pelajar setiap tahun dan permohonan bagi dermasiswa ini sudahpun dibuka.

KRITERIA KELAYAKAN

Semua dermasiswa baru yang diumumkan Yayasan MENDAKI hanya bagi para pelajar Melayu/Islam.

Bagi pemohon, pendapatan bersih keluarga tidak boleh lebih S$1,800 sebulan, atau pendapatan per kapita keluarga tidak boleh lebih S$450.

Sebagai tambahan kepada skim-skim baru, Encik Siddiqui juga menderma S$3,000 setiap tahun kepada skim Kos Pemula ITE ETF.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan