Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI & NTUC meterai MOU pertingkat prospek bagi pekerja Melayu/Islam

Satu memorandum persefahaman (MOU) dimeterai antara Yayasan MENDAKI dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada Khamis (24 Feb) untuk mempertingkatkan usaha bagi memperbaiki prospek pekerjaan dan daya kerja para pekerja Melayu/Islam.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu memorandum persefahaman (MOU) dimeterai antara Yayasan MENDAKI dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada Khamis (24 Feb) untuk mempertingkatkan usaha bagi memperbaiki prospek pekerjaan dan daya kerja para pekerja Melayu/Islam.

Menurut kedua-dua badan itu dalam kenyataan media bersama hari ini (25 Feb).

Majlis pemeteraian MOU itu dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Agung NTUC Chee Hong Tat; Menteri Negara Kanan Kementerian Pertahanan merangkap Tenaga Manusia yang juga Timbalan Pengerusi MENDAKI Zaqy Mohamad; Pengarah NTUC dan Datuk Bandar Daerah Tenggara Mohd Fahmi Aliman; Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI Zuraidah Abdullah.

Perjanjian itu juga bertujuan mempertingkat sokongan dan memperkukuh keupayaan tenaga kerja dan menjamin peluang pekerjaan bagi lebih ramai pekerja Melayu/Islam dalam sektor-sektor baru dan berkembang.

Ia adalah sebahagian daripada strategi utama Bidang Tumpuan Keempat M³ (FA4) untuk memperkasakan masyarakat.

Bidang tumpuan itu akan terus menyasarkan pelbagai pemohon kerja dari pemohon kerja matang (40 tahun dan ke atas), pemohon kerja dalam kalangan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), lulusan baru, pekerja muda dan masyarakat am (termasuk golongan bekerja sendiri, mudah terjejas dan pekerja bergaji rendah).

Di bawah MOU itu, MENDAKI akan bertindak sebagai penghubung utama untuk menggalak masyarakat dan tenaga kerja Melayu/Islam menyertai program-program pekerjaan dan daya kerja kebangsaan.

Selain itu, MENDAKI juga akan menjalin kerjasama dan merujuk individu-individu Melayu/Islam kepada Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC dan NTUC Learning Hub untuk menjalani latihan dan program-program penempatan pekerjaan melalui penghantaran khidmat terakhir oleh Penasihat Jagaan MENDAKI dan program-program Sedia Masa Depan.

Mulai tahun ini, kesemua Pusat Satelit MENDAKI dan Ruang Belia boleh diakses oleh para pemohon kerja dengan lebih mudah bagi mendapatkan sumber dan khidmat bimbingan kerjaya.

NTUC akan bekerjasama dengan MENDAKI untuk memanfaatkan pusat-pusat dan ruang tersebut sebagai ruang yang mungkin digunakan untuk mengendalikan usaha pendampingan bersasar dan ruang latihan.

Sebagai pertubuhan pemimpin bagi Pasukan Bertindak Bidang Tumpuan Keempat M³, NTUC akan mengendalikan kegiatan berkaitan dengan meningkatkan kemahiran, latihan, pameran kerjaya dan menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat untuk menawarkan peluang penempatan pekerjaan dalam sektor baru dan berkembang.

NTUC juga akan menjalin kerjasama dengan program-program Sedia Masa Depan MENDAKI bagi golongan belia dan PMET bersama Young NTUC, NTUC LearningHub dan NTUC e2i.

"Kos sara hidup kekal sebagai keprihatinan utama para pekerja. Pendekatan terbaik adalah untuk membolehkan para pekerja mendapatkan akses kepada pekerjaan lebih baik, meraih pendapatan lebih baik dengan kemahiran lebih baik.

"Kerjasama NTUC-MENDAKI ini adalah contoh bagaimana NTUC terus mempertingkatkan usaha kami dari sisi ini, dengan menjalin kerjasama dengan rakan-rakan kongsi berpangkalan dalam masyarakat dan pertubuhan bantu diri untuk meningkatkan jangkauan kami kepada para pekerja dan masyarakat yang akan meraih manfaat daripada sumber-sumber peringkat nasional dalam latihan dan penempatan pekerjaan," kata Pengarah NTUC, Mohd Fahmi Aliman.

Menurut CEO MENDAKI, Zuraidah Abdullah, kerjasama antara NTUC dengan MENDAKI itu dapat "memperkukuh keupayaan daya kerja golongan pekerja Melayu/Islam".

"Menerusi kerjasama ini, NTUC dan MENDAKI dapat memanfaatkan kekuatan dan sumber masing-masing untuk menawarkan bantuan holistik dan bersasar kepada para pekerja kami.

"Ini dapat mengukuhkan keupayaan daya kerja Melayu/Islam dan memberikan mereka persediaan untuk menyertai sektor baru dan berkembang," kata Cik Zuraidah.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan