MENDAKI meterai dua MOU, perluas peluang kemahiran dan kerjaya masyarakat Melayu/Islam
SINGAPURA: Yayasan MENDAKI memeterai dua lagi Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Sekolah Pendidikan Berterusan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Universiti Nasional Singapura (NUS SCALE) dan syarikat teknologi NCS, menjadikan jumlah kerjasama strategiknya kepada 11 MOU tahun ini.
Kedua-dua MOU itu bakal membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat Melayu/Islam untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kebolehpasaran, daripada golongan belia hingga pekerja dewasa, dalam menghadapi landskap pekerjaan yang semakin berubah.
Kerjasama itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MENDAKI dalam memperkukuh keupayaan masyarakat Melayu/Islam, selaras dengan Pelan Kerja MENDAKI 2030 yang menggariskan pembangunan modal insan, pembelajaran sepanjang hayat serta masyarakat yang lebih bersedia menghadapi era Kecerdasan Buatan (AI).
Berucap pada acara Wacana Kita anjuran MENDAKI di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada Sabtu (11 Jul), Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran yang juga Pengerusi MENDAKI, Encik Zaqy Mohamad, berkata masyarakat Melayu/Islam kini melangkah ke fasa baharu pembangunan.
"Selama 40 tahun, naratif masyarakat kita banyak tertumpu kepada memenuhi keperluan. Hari ini, saya berharap kita dapat mengubah naratif itu kepada keupayaan, sumber dan rangkaian yang kita miliki, serta bagaimana kita menggunakannya untuk memberi manfaat dan membawa perubahan kepada masyarakat," kata Encik Zaqy.
Justeru, usaha membangunkan masyarakat tidak lagi hanya tertumpu kepada memenuhi keperluan asas, sebaliknya memberi penekanan kepada usaha memperkasa individu agar dapat memanfaatkan keupayaan serta peluang yang ada untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
Beliau berkata usaha memperkasa masyarakat menjadi semakin penting memandangkan dunia pekerjaan sedang berubah dengan pesat akibat perkembangan teknologi.
"AI akan mengubah cara kita bekerja seperti yang kita kenali hari ini," katanya sambil menambah bahawa masyarakat perlu terus bersedia menghadapi perubahan, selain memastikan tiada sesiapa yang tercicir.
Beliau berkata usaha itu tidak boleh dipikul MENDAKI sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan daripada rangkaian profesional, rakan korporat, pertubuhan masyarakat serta para mentor bagi membuka lebih banyak peluang kepada generasi akan datang.
KERJASAMA BAHARU PERLUAS PELUANG PEMBELAJARAN DAN PEMBANGUNAN KERJAYA
Menurut Encik Zaqy, komitmen itu diterjemahkan menerusi rangkaian kerjasama strategik yang terus diperkukuh MENDAKI sepanjang tahun ini.
"Tahun ini, MENDAKI telah memeterai 11 MOU. Empat daripadanya untuk membiayai biasiswa dan dermasiswa, manakala lima lagi bagi melengkapkan masyarakat dengan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI)," kata beliau.
Antara kerjasama terbaharu itu ialah MOU bersama NCS.
Menerusinya, pelajar daripada peringkat sekolah rendah hingga universiti akan diberi peluang mengikuti pelbagai inisiatif termasuk bengkel AI, pengekodan dan teknologi baharu, lawatan pembelajaran, bimbingan daripada karyawan industri serta program kesiapsiagaan kerjaya.
Kedua-dua pihak juga akan meneroka peluang latihan amali, penempatan industri, jawatan siswazah dan sesi rangkaian profesional, selain mendekatkan teknologi kepada masyarakat menerusi bengkel, acara dan pameran.
Sementara itu, MOU bersama NUS SCALE pula akan membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat Melayu/Islam untuk mengakses pembelajaran sepanjang hayat, meningkatkan kemahiran serta memanfaatkan laluan pembangunan dan kemajuan kerjaya.
Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada bidang seperti kecerdasan buatan (AI), inovasi, analitik data, keusahawanan, kemampanan dan pembangunan kepimpinan, di samping menyediakan laluan pembelajaran berasaskan kemahiran menerusi pensijilan profesional, khidmat nasihat akademik serta peluang pengayaan.
Masyarakat Melayu/Islam akan berpeluang meningkatkan kemahiran menerusi kursus jangka pendek dalam bidang keusahawanan, reka bentuk produk dan pemasaran digital, selain mengikuti program pembangunan kepimpinan, pembangunan belia serta pembelajaran berterusan bagi sektor jagaan kesihatan.
Selain itu, MENDAKI dan NUS SCALE akan menjalankan penyelidikan bersama berkaitan pembangunan tenaga kerja, trend pekerjaan dan jurang kemahiran bagi memperkukuh pembelajaran sepanjang hayat, kebolehpasaran serta inovasi dalam masyarakat Melayu/Islam.
Mengulas kepentingan kerjasama sedemikian, Encik Zaqy berkata kejayaannya bergantung kepada sokongan seluruh masyarakat.
"Sebab itu, sebagai pemimpin masyarakat, kita perlu berganding bahu untuk membantu semua, khususnya mereka yang tidak bersama kita hari ini. Mereka perlu yakin bahawa sokongan sentiasa ada dan peluang sentiasa terbuka untuk mereka," jelasnya.
Usaha memperkukuh keupayaan masyarakat menerusi jalinan kerjasama strategik itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Encik Feroz Akber, memerlukan komitmen pelbagai pihak.
Dalam ucapan alu-aluannya, beliau menegaskan: "Masa hadapan masyarakat kita tidak boleh dibentuk oleh satu institusi, seorang pemimpin atau satu generasi sahaja."
Turut hadir ialah Presiden Tharman Shanmugaratnam sebagai tetamu terhormat.
Semasa acara, beliau turut menyempurnakan gimik tenunan songket yang melambangkan jalinan kerjasama serta kekuatan masyarakat dalam menghadapi cabaran masa depan.
Acara Wacana Kita, yang dahulunya dikenali sebagai Persidangan Masyarakat Gemilang, menghimpunkan sekitar 300 pemimpin masyarakat dan belia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.