MENDAKI luaskan program tuisyen, bantu pelajar raih keputusan lebih baik
SINGAPURA: Yayasan MENDAKI akan meluaskan lagi program tuisyennya bagi membantu para pelajar yang lebih berpotensi mendapat keputusan lebih baik.
Program tersebut akan diperkenalkan dalam suku pertama tahun ini dan dibuka kepada para pelajar darjah 5 dan 6 yang mendapat sekurang-kurangnya gred AL4 atau 75 mata dan ke atas dalam mata pelajaran mereka.
Secara keseluruhannya, 8,500 pelajar mengikuti Program Tuisyen MENDAKI (MTP) tahun ini.
Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI, Zaqy Mohamad juga meluahkan rasa bangga atas pencapaian para pelajar MTP khususnya dalam subjek Matematik.
"Daripada kanak-kanak kita yang memasuki program 'Maths Coaching' kami, pada peringkat PSLE, 65 peratus daripada mereka dapat lulus dalam mata pelajaran Matematik di PSLE.
"Kita melihat pelajar-pelajar kita dalam darjah satu hingga tiga yang mungkin tidak lulus dalam Matematik dan mereka lalui program 'Maths Booster', hampir semua malah kesemua daripada mereka lulus dalam mata pelajaran Matematik di sekolah," jelas Encik Zaqy kepada wartawan Syawal Yusoff.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Encik Zaqy berkongsi perkembangan demikian semasa mengunjungi salah sebuah pusat MTP di Sekolah Menengah Tampines pada Sabtu (20 Jan).
Di samping berinteraksi dengan para pelajar menengah dua hingga empat, beliau berpeluang meninjau program pementoran seperti 'Explore' dan '#amPowered@MTS'.
Ia lebih menumpukan kepada usaha membantu para pelajar memikirkan tentang hala tuju kerjaya mereka menerusi bimbingan para mentor.
"Kita bukan sahaja memberi dorongan daripada segi akademik tetapi hari ini kamu juga gunakan 'social capital' kami daripada masyarakat untuk membantu anak kita mempunyai dorongan yang baik, membuka peluang bagi mereka dan pada masa yang sama kita berharap lah yang di sini, mereka lebih bermotivasi untuk berjaya di sekolah," tambah Encik Zaqy.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Mengulas mengenai antara cara pembelajaran yang dipraktikkan, Muhammad Hafizuddin Al Ashour, 24 tahun salah seorang daripada tutor MTP berkata: "Salah satu teknik yang saya menggunakan ialah gamifikasi. Saya membuat pembelajaran itu seperti permainan. Ada ganjaran, ada 'forfeit'. Dengan teknik itu saya prihatin bahawa murid-murid lebih terlibat dengan kelas saya."
Hafizuddin yang kini sedang melanjutkan pengajiannya di Institut Teknologi Singapura dalam jurusan Fisioterapi sendiri pernah menyertai MTP sewaktu di sekolah rendah.
Sementara itu, seorang lagi tutor MTP, Abdul Rahim Zainol, yang sudah lapan tahun berkhidmat sebagai seorang tutor MTP menarik perhatian bahawa beliau akan cuba meresapkan aktiviti-aktiviti seharian pelajar seperti mengulas tentang hal ehwal semasa serta membiasakan diri mereka untuk menyuarakan perasaan dan idea-idea yang mereka ada.
"Saya sering membuat penilaian pendekatan dan pembelajaran yang saya menggunakan melalui lensa murid-murid sendiri. Sebagai contoh saya akan bertanya kepada diri saya sendiri bagaimana dapat saya membuat murid-murid mencetuskan ataupun membangkitkan semangat belajar dalam diri mereka," ujar Abdul Rahim.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Pendekatan sebegini dirasakan bermanfaat bagi pelajar seperti Wani Nurdini Iswardi, 16 tahun yang mula mengikuti program MTP sejak darjah empat lagi.
"Cita-cita saya apabila saya sudah besar adalah saya ingin menjadi guru pra-sekolah sebab saya suka layan kanak-kanak kecil," kata anak sulung empat beradik itu.
"Guru-guru MTP boleh menolong saya dalam pembelajaran saya kerana saya perlu mendapatkan keputusan yang cemerlang supaya saya dapat pergi ke sekolah politeknik yang saya inginkan," jelasnya.
Beliau akan menduduki peperiksaan GCE 'N' tahun ini dan sekiranya lulus, beliau ingin melanjutkan pengajiannya di Politeknik Temasek.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.