Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI lanjutkan tarikh permohonan Elaun Sementara pelajar ITE

Yayasan MENDAKI sudah menerima 800 permohonan bagi Elaun Sementara dari para pelajar ITE yang hilang kerja sambilan mereka akibat COVID-19. Tarikh permohonannya kini juga dilanjutkan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yayasan MENDAKI sudah menerima 800 permohonan bagi Elaun Sementara dari para pelajar ITE yang hilang kerja sambilan mereka akibat COVID-19.

Tarikh permohonannya kini juga dilanjutkan.

Bagi para penuntut politeknik, ITE dan Akademi BCA pula, sekitar 5 peratus daripada pemohon Skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS), memohon semula untuk kadar subsidi yang lebih tinggi memandangkan pendapatan keluarga mereka terjejas akibat pandemik COVID-19.

Sejak berusia 16 tahun lagi, Haikal Abdullah sudah bekerja secara sambilan bagi menampung keperluan hariannya selain membantu perbelanjaan keluarga.

Tinggal dengan datuk dan neneknya yang sudah lanjut usia, penuntut tahun kedua ITE berusia 19 tahun ini bekerja secara sambilan lima hari seminggu bagi meraih pendapatan bulanan sehingga S$1,200 sebulan.

Namun semua itu kini terjejas.

"Saya terjejas dengan COVID-19 ini, saya diberhentikan kerja. Saya dapat kerja dua hari sebagai pegawai logistik di Changi Air Freight. Selepas saya diberhentikan kerja, saya tidak ada cukup wang untuk menampung perbelanjaan harian saya," menurut pemohon bantuan Haikal Abdullah.

Melihat kesukaran yang ditanggung para pelajar ITE seperti Haikal, MENDAKI memulakan inisiatif untuk memberi elaun sementara sebanyak S$10 bagi setiap hari persekolahan, demi membiayai keperluan sekolah mereka.

Bagi Haikal, walaupun elaun yang diberikan tidak sebanyak gaji yang boleh diterimanya, ia dapat menampung keperluan hariannya di sekolah, iaitu S$8 sehari.

"Bantuan MENDAKI - Elaun Sementara ini - dapat membantu saya dalam banyak perkara seperti membayar bil rumah, membeli barang sekolah dan juga menampung tambang pengangkutan dan makanan saya seharian. Saya juga dapat menggunakan duit itu menolong bil-bil rumah saya dan bil saya sendiri," kata beliau lagi.

MENDAKI menerima 800 permohonan bagi bantuan Elaun Sementara sejauh ini.

Dan kini tarikh untuk memohon bantuan tersebut dilanjutkan sehingga 20 Mei bagi membolehkan lebih ramai pelajar ITE yang terjejas mendapat bantuan.

Permohonan bagi lebih banyak subsidi TTFS juga digalakkan.

"Setakat ini kita telah menerima lebih daripada 2,600 permohonan TTFS daripada pelajar-pelajar ITE, politeknik dan juga Akademi BCA dan bagi mereka yang telah membuat permohonan semula untuk mendapatkan tahap yang lebih tinggi, kita telah menerima lebih daripada 120 permohonan setakat ini," kata Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad.

"Saya sarankan, saya menggalakkan mereka membuat permohonan bantuan lebih tinggi."

Bagi para pelajar di NAFA, LASALLE dan universiti tempatan, tarikh permohonan bagi TTFS akan dilanjutkan kepada tarikh 15 Julai dan 31 Julai. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan