Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI lancar pusat satelit ketujuh di Choa Chu Kang, dekati penduduk di barat daya

Yayasan MENDAKI merintiskan pendekatan pembangunan masyarakat berasaskan aset, atau ABCD, bagi pusat satelit terbarunya yang bertempat di Blok 813A Choa Chu Kang Avenue 7.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yayasan MENDAKI merintiskan pendekatan pembangunan masyarakat berasaskan aset, atau ABCD, bagi pusat satelit terbarunya yang bertempat di Blok 813A Choa Chu Kang Avenue 7.

MENDAKI@Choa Chu Kang merupakan pusat ketujuh badan bantu diri itu dan akan membawa program dan perkhidmatan MENDAKI lebih dekat kepada masyarakat di kawasan barat daya Singapura.

Perasmiannya hari ini (23 Sep) oleh Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara, Zaqy Mohamad, sekali gus menghubungkan penduduk di sekitar pusat itu kepada pelbagai program dan sumber yang ditawarkan MENDAKI.

Acara di kolong blok tersebut turut dihadiri Datuk Bandar CDC Barat Daya, Low Yen Ling dan Ketua Pegawai Eksekutif CEO) MENDAKI, Cik Rahayu Buang.

Di ruang 'Makerspace'. (Gambar: Fariza Abdul Aziz)

Di ruang 'Makerspace'. (Gambar: Fariza Abdul Aziz)

Dengan pendekatan ABCD, MENDAKI berharap dapat menghidupkan budaya yang mana setiap penduduk berpeluang menyumbang kemahiran kepada pembangunan dan ikatan masyarakat.

Bagi mencapai tujuan itu, MENDAKI sudah mula menganjurkan sesi-sesi perbincangan fokus bersama para penduduk di estet Choa Chu Kang untuk mengenal pasti sokongan khidmat serta program yang diperlukan.

Langkah itu dibuat di samping menarik kumpulan relawan untuk berkongsi kemahiran dan kepakaran mereka menerusi barisan program yang dilakarkan.

Encik Zaqy, yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI, berkata ABCD adalah satu pendekatan baik yang memanfaatkan sewajarnya bakat-bakat para penduduk untuk menjana program-program bermutu bagi kemaslahatan masyarakat.

"Kita mahu menggunakan tenaga relawan juga untuk menolong mereka yang mungkin kurang berupaya, yang berkebolehan dan menjalankan program-program yang boleh menolong keluarga yang memerlukan misalnya.

Jadi saya yakin dengan pendekatan ini, kita dapat mengukuhkan lagi konsep masyarakat yang bersatu," ujar Encik Zaqy.

Selain menyediakan kemudahan untuk membuat pendaftaran bagi khidmat bantuan seperti Dana Amanah Pendidikan (ETF) dan Skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS), para penduduk juga boleh mengikuti kursus-kursus pengayaan serta peningkatan diri mahupun bengkel-bengkel keibubapaan di pusat satelit baru tersebut.

Program Tuisyen Kolaboratif (CTP) dan MENDAKI Homework Cafe juga bakal ditawarkan mulai tahun depan.

MENDAKI@Choa Chu Kang merupakan kemudahan terbesar di kalangan pusat-pusat satelit MENDAKI yang lain dengan keluasan 250 meter persegi.

Ia menampung sebuah sudut membaca, ruang kreatif 'Makerspace', dua bilik latihan serta sebuah studio tarian yang boleh diubah untuk menjadi bilik-bilik kegiatan.

Pusat-pusat satelit MENDAKI yang lain terletak di Pasir Ris, Woodlands serta di empat masjid merata negara - Masjid Al-Ansar, Masjid Al-Muttaqin, Masjid Assyakirin dan Masjid Jamiyah Ar-Rabitah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan