MENDAKI lancar program Ready@Work, meterai MoU untuk perkasa kemahiran AI masyarakat
SINGAPURA: Yayasan MENDAKI melancarkan program Ready@Work (R@W), sebuah inisiatif pembangunan tenaga kerja yang membantu masyarakat Melayu/Islam membuat peralihan kerjaya, meningkatkan kemahiran dan mendapatkan peluang pekerjaan.
Ini lebih-lebih lagi dengan dunia pekerjaan yang semakin dipengaruhi pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI). Ia menuntut pekerja untuk terus meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dengan perubahan.
Dilancarkan oleh Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad pada Sabtu (15 Ogos), R@W menyediakan sokongan kepada individu pada beberapa peringkat kerjaya.
Program itu merangkumi empat kumpulan utama iaitu belia dan pencari kerja muda, karyawan dan pekerja pertengahan kerjaya, pencari kerja serta wanita yang ingin kembali ke alam pekerjaan.
Peserta boleh mendapatkan bimbingan kerjaya, latihan kemahiran digital, pensijilan yang diiktiraf industri, bimbingan profesional serta peluang bertemu majikan melalui sesi industri dan pameran kerjaya.
RESUME DIPERBAIKI, PELUANG TEMU DUGA BERTAMBAH
Sejak dirintis awal tahun ini, hampir 400 individu telah mendapat manfaat daripada program R@W.
Antaranya ialah Muhammad Zhoriif Mohamed Azhar, 26 tahun.
Menurutnya, program R@W membantunya mengatasi cabaran ketika mencari pekerjaan selepas menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Sebelum menyertai program tersebut, beliau telah memohon pekerjaan daripada kira-kira 30 majikan tetapi hanya menerima dua tawaran temu duga.
Melalui R@W, beliau mengikuti sesi memperkemas resume serta persiapan bagi temu duga.
Beliau juga mempelajari cara menggunakan alat berasaskan AI untuk menyesuaikan resume dan permohonan pekerjaan mengikut keperluan majikan.
Katanya, latihan tersebut turut meningkatkan keyakinannya ketika menghadiri temu duga.
“Lepas saya mengambil program ini saya dapat lebih banyak tawaran dan saya dapat ditawarkan kerja,” katanya.
Kini, Encik Zhoriif bertugas sebagai Jurutera Peranti di ST Microelectronics, dalam bidang yang selari dengan latihan kejuruteraannya.
KEMBALI BEKERJA DENGAN KEYAKINAN BAHARU
Bagi Sahidah Shahmat, 36 tahun, cabarannya pula ialah kembali ke alam pekerjaan selepas mengambil masa untuk memberi tumpuan kepada keluarga.
Selepas lebih 15 tahun membina kerjaya, Sahidah meninggalkan pekerjaan pada 2025.
Apabila bersedia untuk kembali bekerja, beliau mendapati dunia pekerjaan telah banyak berubah, khususnya dengan perkembangan pendigitalan dan AI.
“Cabaran terbesar bagi saya adalah membina semula keyakinan diri selepas berehat selama setahun untuk memberi tumpuan kepada keluarga.
"Program R@W menawarkan pelbagai program seperti program bagaimana kita boleh menyunting resume kita untuk menyesuaikannya dengan syarikat tersebut dan juga bagaimana meletakkan diri kita dalam sesi temu duga," kata Cik Sahidah.
Beliau turut tertanya-tanya sama ada pengalaman dan kemahirannya masih relevan dengan keperluan pekerjaan semasa.
Melalui Women@Work di bawah program R@W, Cik Sahidah menerima bimbingan kerjaya, mengikuti bengkel daya kerja dan persiapan bagi temu duga.
Pengalaman itu mengubah perspektifnya tentang kembali bekerja.
“Saya sebenarnya sudah mempunyai pengalaman, kemahiran dan kekuatan tersendiri. Cuma saya perlu belajar bagaimana untuk menyesuaikan kemahiran dan pengalaman saya dengan keperluan pekerjaan masa kini,” katanya.
Cik Sahidah kini mengikuti program pertukaran kerjaya dalam bidang kejururawatan dan telah mendapat pengesahan pekerjaan selepas menamatkan program tersebut.
Beliau menggalakkan wanita lain supaya tidak melihat tempoh berehat daripada kerjaya sebagai satu kelemahan.
“Jangan rasa bahawa kita sudah terlambat untuk merebut peluang bekerja atau belajar lagi,” kata Cik Shahidah.
BINA KEYAKINAN DALAM PERALIHAN KERJAYA
Keprihatinan itu juga jelas dalam maklum balas dan luahan golongan tersebut yang diterima Pengerusi Bersama Jawatankuasa Daya Ekonomi dan Pengarah di Institut Daya Kerja dan Pekerjaan, Dr Wan Rizal Wan Zakariah yang turut hadir di majlis pelancaran R@W.
“Walaupun ada yang sedang mencapai kemajuan, sebahagian yang lain masih bimbang tentang kemampuan mereka untuk mengekalkan kemahiran yang relevan dalam dunia pekerjaan yang berubah dengan pesat, termasuk yang semakin dipengaruhi oleh AI sambil berusaha membina masa depan yang lebih baik untuk diri mereka dan keluarga mereka," kata Dr Wan Rizal.
Justeru, beliau menekankan kepentingan sokongan dan rangkaian yang kukuh bagi pekerja yang melalui perubahan kerjaya.
“Apa yang saya dengar secara konsisten ialah pentingnya mempunyai akses kepada peluang yang baik, sokongan ketika melalui tempoh perubahan serta rangkaian yang diyakini untuk membantu mereka mengharungi cabaran-cabaran ini,” katanya.
Menurut Dr Wan Rizal, kerjasama MENDAKI dengan NTUC’s e2i telah bantu memperluas sokongan tersebut.
Setakat ini, MENDAKI dan e2i telah menjalankan 11 bengkel AI yang memberi manfaat kepada hampir 470 pekerja Melayu/Islam, dengan matlamat membantu mereka membina keyakinan menggunakan teknologi AI.
“Melalui bengkel Job Search Essentials dan sesi bimbingan kerjaya oleh e2i, para peserta dapat membina kemahiran praktikal serta keyakinan untuk mengharungi pasaran pekerjaan hari ini.
"Bengkel ini merupakan langkah pertama yang penting. Ready@Work pula membina asas tersebut dengan membantu para peserta dalam perancangan kerjaya, pencarian pekerjaan dan meningkatkan kebolehgajian mereka,” kata Dr Wan Rizal.
Di bawah usaha Jawatankuasa Daya Tahan Ekonomi (CER), pihaknya sedang meneliti inisiatif baharu termasuk sokongan kesejahteraan mental dan peluang yang menghubungkan golongan muda dengan industri.
Matlamatnya bukan sekadar membantu mendapatkan pekerjaan tetapi membina ekosistem yang menyokong pekerja sepanjang tempoh perubahan.
PERKASA KEMAHIRAN AI, BERI MANFAAT KEPADA 1,000 INDIVIDU
Dalam usaha memperluas sokongan, MENDAKI turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tiga tahun dengan AI Singapore untuk meningkatkan kemahiran AI dan kesediaan kerjaya masyarakat Melayu/Islam.
Kerjasama itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 individu, selain melahirkan kira-kira 120 AI ‘Master Trainers’.
Ini melalui program 'Train-the-Trainers' bagi meningkatkan kefahaman dan keyakinan masyarakat terhadap AI.
Usaha itu bertujuan membina tenaga kerja Melayu/Islam yang lebih berdaya tahan, mudah menyesuaikan diri dan bersedia merebut peluang dalam ekonomi masa depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.