Skip to main content

Singapura

MENDAKI lancar Program ASPIRASI, tingkat sokongan bagi pelajar Peringkat 'A'

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 30 May 2026 06:27PM Dikemas Kini : 20 Jun 2026 03:33AM
SINGAPURA: Yayasan MENDAKI melancarkan Program ASPIRASI MENDAKI hari ini (30 Mei), satu inisiatif online yang menawarkan sokongan pendidikan khusus untuk pelajar maktab rendah.

Program tersebut bertujuan memperkukuh pemahaman konsep, meningkatkan penguasaan subjek serta mempertingkatkan persiapan pelajar menjelang peperiksaan GCE Peringkat 'A'.

Ia merupakan kali pertama Yayasan MENDAKI menganjurkan program online bagi menyokong pelajar Peringkat 'A'.

Seramai 82 pelajar telah mendaftar bagi program itu, yang terbuka untuk semua pelajar Melayu/Islam yang bakal menduduki peperiksaan tersebut.

Program yang ditanggung sepenuhnya oleh MENDAKI itu bermula pada 30 Mei hingga November 2026, dan diadakan pada setiap Sabtu selama satu setengah jam.

Setiap subjek akan dikendalikan untuk tiga minggu.

Di antara subjek yang ditawarkan termasuk Kertas Am, Ekonomi, Matematik, Fizik, Kimia, Sejarah dan Kesusasteraan Bahasa Inggeris.

Para pelajar yang menghadiri sesi tersebut akan menerima nota pelajaran dan rakaman kelas selepas setiap sesi.

Mereka juga boleh mengemukakan soalan melalui borang online sebelum atau semasa sesi dijalankan, supaya tutor dapat menjelaskan sebarang pertanyaan.
Related article image
PLATFORM PEMBELAJARAN KHUSUS

Satu platform pembelajaran khusus oleh pengendali, Ren Education, juga disediakan untuk pelajar.

Melalui platform tersebut, setiap pelajar mempunyai papan pemuka pembelajaran peribadi yang menjejaki perkembangan mereka mengikut sesi, subjek dan latihan yang diselesaikan.

Setiap latihan akan dinilai untuk menemukan sebarang jurang pembelajaran, supaya tutor dapat membantu pelajar memperbaiki kekurangan dalam pelajaran.

Pelajar juga mempunyai akses kepada platform latihan berkuasa Kecerdasan Buatan (AI), yang dapat memberi maklum balas semasa pembelajaran.
Related article image
Van Massena El Muwaehib Mas'udin, kiri. (Gambar: Van Massena El Muwaehib Mas'udin)
PROGRAM ASPIRE PERKUKUH PELAJARAN

Bagi seorang pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, program tersebut dapat mengukuhkan lagi pelajaran, serta berfungsi sebagai ulangkaji apa yang dipelajarinya di dalam kelas.

"Program ini dapat membantu saya kerana ia memberi ruang untuk saya mengukuhkan pemahaman yang sedia ada dan menambah ilmu baharu," kata Van Massena El Muwaehib Mas'udin.

Menurut Muwaehib, 18 tahun, program itu turut disesuaikan berdasarkan keperluannya, khususnya dalam memberi tumpuan kepada kelemahannya.

Ia juga memberi saya peluang untuk berlatih lebih, mendapat nasihat dan maklum balas peribadi daripada tutor saya," tambahnya.

Muwaehib turut berkongsi bahawa dia akan menduduki peperiksaan GCE Peringkat 'A' bagi empat mata pelajaran iaitu Kertas Am , Bahasa Melayu, Syariah Islamiah dan Teologi Islam (Tauhid).
Related article image
(Gambar: MENDAKI)
SOKONGAN DI PERINGKAT 'A' SEMAKIN PENTING: ZAQY MOHAMAD

Menerusi satu rakaman, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran, Zaqy Mohamad, pencapaian pendidikan belia Melayu telah meningkat dengan ketara.

Encik Zaqy, yang juga Pengerusi Yayasan MENDAKI, turut menekankan bahawa sokongan di peringkat 'A' menjadi semakin penting.

"ASPIRASI bukan hanya untuk pelajar yang memerlukan bantuan tambahan tetapi juga untuk pelajar berpotensi tinggi yang ingin mengasah kebolehan mereka.

"Kita juga akur bahawa kejayaan tidak datang melalui satu laluan sahaja. Ramai juga mencapai kejayaan melalui Politeknik, ITE atau laluan kerja sambil belajar," katanya.

Oleh itu, MENDAKI akan terus memperkukuh usaha agar tiada pelajar yang ketinggalan, tambah Encik Zaqy.

"ASPIRASI itu bukan sekadar mimpi. Ia adalah satu usaha bersama untuk masa depan generasi kita," jelasnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita