Skip to main content

Singapura

MENDAKI lancar jerayawara ReadySetLearn; bantu ibu bapa sokong pembangunan anak

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Apr 2026 05:47PM Dikemas Kini : 17 May 2026 12:59PM
SINGAPURA: Membantu ibu bapa membina asas kukuh dalam menyokong pembelajaran dan pembangunan anak-anak di rumah.

Ini merupakan teras Jerayawara ReadySetLearn (RSL), anjuran Yayasan MENDAKI, yang dilancarkan buat julung-julung kalinya pada Sabtu (25 Apr).

Daripada reruai interaktif dan sesi pembelajaran berpandu hingga ke zon permainan 'hands-on', acara itu menawarkan pelbagai aktiviti buat seisi keluarga, termasuk sesi pembangunan bahasa dan numerasi serta perkongsian mengenai perkembangan kanak-kanak, kesejahteraan dan keibubapaan positif.
Related article image
Anggota Lembaga Yayasan MENDAKI, Encik Azriman Mansor; Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Encik Feroz Akber; Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran, yang juga Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad; dan Naib Pengerusi M³@Punggol, Dr Erlyani Hamind berinteraksi bersama kanak-kanak di Jerayawara ReadySetLearn. (Gambar: Yayasan MENDAKI)

Seramai 2,500 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan jerayawara tersebut, yang berlangsung selama dua hari pada Sabtu dan Ahad (25-26 Apr) di One Punggol.

Jerayawara itu merupakan sebahagian daripada enam siri RSL yang akan dianjurkan di seluruh Singapura sepanjang tahun ini, sekali gus mendekatkan sokongan pembelajaran dan keibubapaan kepada masyarakat.

Inisiatif tersebut melibatkan kerjasama lebih 20 rakan kongsi nasional dan masyarakat, antaranya Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Persatuan Kanak-kanak Singapura (SCS) dan Iyad PERDAUS.

Menekankan kepentingan anjuran jerayawara RSL sedemikian, Pengerusi MENDAKI, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran Zaqy Mohamad, yang hadir untuk melancarkan inisiatif itu berkata bahawa anak-anak akan dapat permulaan yang lebih baik apabila keluarga dibantu dengan lebih awal.

Related article image
Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran, yang juga Pengerusi MENDAKI, Encik Zaqy Mohamad (kiri) dan pemain bola sepak profesional Singapura, Hariss Harun (kanan) menyertai cabaran “Soccer Challenge Kick-Off” di Jerayawara RSL. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
"RSL menggunakan pendekatan berteras keluarga. Kami menyokong ibu bapa sejak awal. Kami menyediakan alat yang praktikal. Kami menguatkan lagi pembelajaran di rumah," jelas Encik Zaqy dalam ucapannya.

Ia sejajar dengan matlamat Pelan Kerja MENDAKI 2030 untuk menyediakan persekitaran rumah yang lebih stabil dan menyokong, di samping memperkukuh penglibatan ibu bapa secara awal dan berterusan.

TUMPUAN JERAYAWARA RSL KEPADA PENGUASAAN BAHASA, NUMERASI

Jerayawara RSL tahun ini turut memberi penekanan kepada literasi bahasa serta pembinaan asas kukuh dalam konsep numerasi.

Pendekatan itu berdasarkan dapatan kajian MENDAKI terhadap program KelasMateMatika (KMM), yang dilancarkan pada 2018 bagi membantu ibu bapa mempersiapkan anak-anak ke Darjah 1 serta menyokong pembelajaran matematik di rumah.

Sepanjang lima tahun, program itu melibatkan lebih 2,100 kanak-kanak dan 2,000 ibu bapa.

Malah, sembilan daripada sepuluh kanak-kanak yang mengikuti KMM didapati bersedia untuk ke sekolah dan tidak memerlukan sokongan pembelajaran tambahan.

Lantas, MENDAKI turut memperkenalkan program RSL Maths Explorer, yang sebelum ini dikenali sebagai KMM, di acara yang sama.

Program itu bertujuan menyokong ibu bapa dan kanak-kanak melalui aktiviti numerasi yang menyeronokkan dan bersesuaian dengan usia, sekali gus membantu membina keyakinan serta pengalaman pembelajaran positif dalam Matematik sejak peringkat awal.

Menariknya, Jerayawara RSL sulung itu turut menampilkan sesi khas sempena Bulan Kesedaran Autisme, yang memberi panduan praktikal untuk mengenali tanda-tanda awal autisme, intervensi serta laluan sokongan untuk kanak-kanak berkeperluan pendidikan khas.

IBU BAPA REBUT PELUANG TIMBA TIP PERKASA PERKEMBANGAN ANAK-ANAK

Antara pengunjung, Cik Maryam Dzinnira, 37 tahun, ibu kepada dua anak, berkata beliau meraih pelbagai panduan berguna daripada jerayawara tersebut.

Related article image
Cik Maryam Dzinnira bersama anak lelakinya, 9 tahun, dan anak perempuannya, 7 tahun, menyertai aktiviti permainan sensori secara hands-on di Jerayawara ReadySetLearn. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
"Cabaran yang paling utama untuk saya dan suami adalah untuk membantu mereka kekal fokus dalam pembelajaran mereka dan dalam dunia yang terdedah kepada skrin.

"Dalam Jerayawara RSL ini, saya dapat melihat bagaimana elemen yang mudah boleh dijadikan bahan yang menarik untuk pembelajaran anak anak," jelasnya.

Seorang lagi pengunjung, Cik Norliza Md Yusop, 43 tahun, turut berkongsi pandangan serupa.

"(Ia) adalah sesuatu yang amat menarik dan amat interaktif untuk para ibu bapa untuk mendapatkan sebanyak ilmu, motivasi dengan pelbagai reruaiyang ada."

Jerayawara RSL seterusnya dijangka berlangsung pada 23 dan 24 Mei di Kelab Masyarkat Hong Kah North.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita