MENDAKI lancar inisiatif pegawai perhubungan di 13 GRC; jumlah sukarelawan naik 40% sejak 2022
SINGAPURA: Jumlah sukarelawan yang menabur bakti menerusi pelbagai program kendalian Yayasan MENDAKI tahun ini melonjak sebanyak 40 peratus sejak tiga tahun lalu.
Bagi menyokong kenaikan jumlah sukarelawan yang "amat memberangsangkan" itu, MENDAKI melancarkan inisiatif bagi menempatkan 13 pegawai perhubungan di setiap Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC), yang berperanan sebagai “penghubung utama” antara MENDAKI, rakan kongsi masyarakat dan penduduk Melayu/Muslim Singapura.
Inisiatif ini bertujuan mengukuhkan lagi usaha MENDAKI bagi menyampaikan khidmat peringkat akhir (last mile service delivery) serta meningkatkan lagi usaha mendekati masyarakat.
Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran Zaqy Mohamad mengumumkan demikian di majlis jamuan teh bagi memberi penghargaan kepada sukarelawan dan rakan kongsi MENDAKI, yang diadakan pada Sabtu (22 Nov) di Forest Lodge di Taman Haiwan Singapura.
1. Marsiling-Yew Tee
2. Nee Soon
3. Sembawang
4. Tampines
5. Pasir Ris-Changi
6. Sengkang
7. Chua Chu Kang
8. Jurong East-Bukit Batok
9. West Coast-Jurong West
10. Marine Parade-Braddell Heights
11. East Coast
12. Jalan Besar
13. Bishan-Toa Payoh
Encik Zaqy berkata: "Pegawai perhubungan tersebut akan menyelaraskan sumber-sumber tempatan, meningkatkan lagi kesedaran tentang program dan perkhidmatan kami dan menghubungkan keluarga-keluarga dengan bantuan yang penting. Ia juga akan membawa usaha mentor dan pendamping untuk mereka yang memerlukan.
"Pada masa yang sama, penasihat jagaan (care advisor) kami juga pula akan terus bekerjasama dengan keluarga dan klien secara langsung untuk memahami keperluan mereka dan menyediakan sokongan yang bersesuaian."
Pegawai-pegawai perhubungan juga akan berganding bahu dengan agensi-agensi masyarakat untuk mengenal pasti sukarelawan baharu serta mereka yang berpotensi menerima bantuan.
Dalam pada itu, MENDAKI juga merancang untuk menambah lebih ramai pegawai perhubungan di GRC lain di merata Singapura pada masa akan datang.
"Ini sejajar dengan strategi kami 'MENDAKI di mana-mana' ataupun 'MENDAKI is everywhere' untuk mendekati setiap masyarakat, setiap keluarga, setiap individu agar tiada siapa akan tercicir daripada menerima sokongan peluang serta khidmat yang kami sediakan," jelas Encik Zaqy dalam ucapannya itu.
Dalam kesempatan itu, Encik Zaqy turut memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu pendamping (befriender) pada tahun depan.
Hampir 100 sukarelawan sedia ada sudahpun tampil untuk menyokong kanak-kanak prasekolah Melayu/Islam, di samping membantu keluarga mereka mengakses skim bantuan yang sesuai.
ANUGERAH PENYUMBANG CEMERLANG MTP
Di acara yang sama, sumbangan dan khidmat cemerlang beberapa sukarelawan MENDAKI turut diiktiraf.
Menyedari bagaimana program-program masyarakat sudah membantunya mengatasi pelbagai rintangan hidup hingga mencapai kejayaan hari ini, Encik Raja Nazruldin menanam azam untuk menyumbang semula kepada masyarakat.
"Anugerah ini sangat bermakna kerana perjalanan ini bermula sejak saya kecil lagi, di mana saya telah lalui cabaran dalam kehidupan saya dan program-program masyarakat telah membantu saya.
"Saya rasa adalah baik untuk saya menyumbang semula kepada masyarakat, terutama sekali dalam program MENDAKI dan inilah cara untuk saya mengingat semula apa yang saya terima dan kembalikan kepada masyarakat kita," ujar Encik Raja Nazruldin.
Sejak 2014, beliau aktif terlibat dalam pelbagai program MENDAKI, bermula dengan Program Kolaboratif Tuisyen sebelum beralih kepada Program Tuisyen MENDAKI.
Dalam peranannya sebagai Ketua Tutor di Sekolah Rendah Telok Kurau, beliau menyokong kedua-dua guru tuisyen dan pelajar memudahkan komunikasi bersama ibu bapa serta mengukuhkan penyampaian khidmat program tersebut.
Yang jelas, beliau komited untuk terus menyemai keyakinan dan kepercayaan diri dalam para pelajar serta menti, dengan memberi bimbingan bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga dari segi emosi dan perkembangan peribadi.
“Kita mempunyai ramai di antara mereka di luar sana yang dapat menyumbang kepada masyarakat, tidak kira sama ada besar ataupun kecil. Kita dapat melakukan sesuatu yang positif untuk masyarakat kita dan yang utama adalah keikhlasan untuk membantu masyarakat kita,” tambahnya.
SUMBANGAN NURSYAFI'AH HANISAH DIIKTIRAF
Sumbangan Cik Nursyafi’ah Hanisah, yang sudah berkhidmat sebagai sukarelawan selama tiga tahun, turut diiktiraf dengan Anugerah Bakti Setia (Long Service Award).
Tahun ini, beliau dilantik sebagai Ketua Mentor bagi program tersebut.
Ditanya apa yang terus mendorongnya untuk terus menabur bakti, Cik Nursyafi’ah berkongsi: “Sepanjang tempoh perkhidmatan saya bersama MENDAKI, salah satu momen yang saya amat menghargai ialah apabila saya dapat melihatkan perubahan positif pada para belia yang telah saya sokong dan bimbing.
Di luar MENDAKI, beliau juga aktif dalam IM Volunteers Network SG dan Masjid Maarof, yang juga memberi tumpuan kepada usaha memperkasa belia.
Selain penyampaian Anugerah Penyumbang Cemerlang Program Tuisyen MENDAKI dan Anugerah Bakti Setia, Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA), Anugerah Ketua Tutor dan Tutor Cemerlang MENDAKI turut disampaikan di acara pada Sabtu itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.