Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI lakar pelbagai program, usaha untuk bantu ibu bapa hantar anak ke prasekolah

MENDAKI mahu memastikan anak Melayu/Islam mendapat pendidikan prasekolah sekurang-kurangnya 3 tahun;  ibu bapa dibantu siapkan dokumen, mengenal pasti pusat bersesuaian selain memohon bagi subsidi. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Cik Diana Roslan menjadi suri rumah sepenuh masa selepas diberhentikan kerja dek COVID-19.

Empat anaknya kini berusia antara 12 bulan hingga 10 tahun.Tiga daripada mereka dihantar ke prasekolah sejak dari usia 18 bulan lagi.

Kini, anak ketiganya menghadiri tajaka dengan membayar yuran S$350 sebulan selepas subsidi.

Anak bongsunya yang berusia 12 bulan pula dirancang dihantar ke pusat penjagaan bayi sepenuh masa.

"Anak saya semua pergi ke pendidikan prasekolah sejak dari N1. Jadi, pada saya perbezaannya, mereka lebih selesa untuk bersosial, dan lebih baik dari segi kemahiran berinteraksi, penggunaan otot, perkataan yang saya susah nak ajar, mereka dapat mempelajarinya, jadi kalau dari segi bahasa semua lagi cepat dari tak hantar," kongsi beliau dengan wartawan BERITAmediacorp.

TAHAP KEYAKINAN IBU BAPA MENINGKAT 30%

Cik Diana dan suaminya merupakan salah satu pasangan ibu bapa yang menyahut gesaan Pemerintah untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan prasekolah sekurang-kurangnya tiga tahun.

Malah, Cik Diana juga turut menghantar anaknya bagi kelas pengayaan KMM@CC anjuran MENDAKI.

KMM@CC merupakan inisiatif gabungan Yayasan MENDAKI, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA) yang membentuk rangkaian M³.

Menerusi program itu, kanak-kanak prasekolah dibantu dalam menguasai kemahiran asas mengira bersama bimbingan ibu bapa mereka.

Progam tersebut dibangunakan selepas pengumuman strategi MENDAKI dua tahun untuk memberi fokus dan bantuan lebih besar terhadap pendidikan prasekolah anak-anak Melayu/Islam.

Menurut MENDAKI, berdasarkan tinjauan persepsi pada tahun lalu, 90 peratus daripada 274 ibu bapa yang menghadiri KMM@CC mendapati tahap keyakinan untuk mengajar anak mereka di sekolah meningkat sebanyak 30 peratus.

Manakala pengetahuan untuk menggunakan sumber-sumber di rumah sebagai bahan pembelajaran pula meningkat sebanyak 40 peratus.

BIMBING IBU BAPA MASUKKAN ANAK KE PRASEKOLAH BERSESUAIAN

Selain KMM, MENDAKI juga merupakan agensi yang dilantik oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) dua tahun yang lalu bagi memberikan program bimbingan kepada ibu bapa.

Menerusi program tersebut, badan bantu diri itu membantu ibu bapa memilih prasekolah yang sesuai bagi anak-anak mereka selain membantu mendapatkan tempat di prasekolah.

"Untuk membimbing mereka menggunakan sistem, macam mana untuk menyiapkan dokumen-dokumen yang perlu dan juga membantu dari segi memohon untuk mendapatkan subsidi untuk membayar yuran di tajaka atau tadika.

"Dari segi ini juga ada ibu bapa yang mungkin kurang berkeyakinan, tapi apabila kami membantu mereka dan menunjukkan mereka dan membantu mereka cara-cara yang lebih betul mereka akan dapat memahaminya dan dapat berinteraksi dan memberikan kerjasama dengan pihak MENDAKI untuk mendapatkan tempat untuk anak-anak mereka di prasekolah," kongsi Timbalan Pengarah Pendidikan MENDAKI, Cik Azlinah Arif.

Kesemua usaha ini, menurut Cik Azlinah adalah untuk memastikan ibu bapa menghantar anak mereka untuk mendapatkan pendidikan prasekolah sekurang-kurangnya tiga tahun.

Ini menurutnya memandangkan "ramai lagi yang masih tidak berbuat demikian."

"Dari MENDAKI, pendidikan prasekolah dapat membantu anak secara holistik dan ia dapat membina asas yang kukuh, dengan adanya asas yang kukuh anak akan dapat membina keyakinan diri dengan lebih mendalam.

"Selain itu mereka juga meraih kemahiran sosial yang dapat membantu mereka untuk menimba ilmu dan juga kemahiran dan juga tabiat yang baik di prasekolah," tambah Cik Azlinah.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan