Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI jalin kerjasama mentor korporat pertama dengan syarikat biofarmaseutikal untuk pelajar ITE

Yayasan MENDAKI mengumumkan satu kerjasama mentor korporat, dengan syarikat biofarmaseutikal MSD Pharma pada Jumaat (3 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yayasan MENDAKI mengumumkan satu kerjasama mentor korporat, dengan syarikat biofarmaseutikal MSD Pharma pada Jumaat (3 Feb).

Ia merupakan perjanjian yang pertama seumpamanya bagi Yayasan MENDAKI seumpamanya, dengan tujuan untuk memberi bimbingan kepada para pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

MSD Pharma merupakan syarikat biofarmaseutikal terbesar di Singapura dan juga antara syarikat majikan terbaik di negara ini sejak 2020.

Pemeteraian Memorandum Persetujuan (MoA) itu turut dihadiri Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan, Zaqy Mohamad.

120 PELAJAR ITE AKAN JALANI PROGRAM BIMBINGAN SELAMA 9 BULAN

Kerjasama itu akan dijalankan di bawah program #amPowered@ITE, yang akan memberi pendedahan kepada 120 pelajar ITE menimba kemahiran dan rangkaian serta mendapat peluang-peluang pekerjaan.

'

Encik Zaqy yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI berkata: "Menerusi kerjasama ini, kami berharap bahawa para pelajar akan membina keyakinan dan merebut peluang pekerjaan di dalam industri ini. Kami juga berharap mereka akan dapat menghabiskan pengajian mereka di ITE dan melanjutkan pengajian di politeknik mahupun mengejar diploma kerja sambil pelajar ITE."

Encik Zaqy berpendapat bahawa memberikan dorongan kepada para pelajar ITE melalui bimbingan oleh para pakar dalam industri biofarmaseutikal, yang menurut beliau, merupakan industri membangun, adalah amat penting.

'

"Para pelajar ITE, mungkin di antara mereka yang tidak mempunyai keyakinan untuk bekerja di firma antarabangsa ini. Tetapi ini adalah satu peluang untuk mereka dengan kami memberi mereka pendedahan kepada firma antarabangsa sebegini," jelas beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan MSD Singapura dan Malaysia, Dr Abdullahi Sheriff pula berkata: "Kami percaya akan pentingnya untuk menyokong bakat muda sejak awal lagi untuk mereka memahami peluang yang ada di dalam industri ini. Kemudiannya, para pelajar boleh memperoleh peluang dalam industri ini iaitu satu langkah baik untuk Singapura dan pastinya untuk industri ini."

'
Kerjasama tersebut akan memberi manfaat kepada 120 pelajar tahun pertama ITE tahun ini.

Selama tempoh sembilan bulan, sehingga 100 anggota pasukan daripada pelbagai jabatan di syarikat itu, termasuk saintis data, pakar pemasaran serta penyelidik percubaan klinikal, akan bekerjasama rapat dengan MENDAKI bagi inisiatif itu.

Para pelajar akan menerima bimbingan tentang bagaimana untuk melengkapkan diri agar lebih bersedia untuk alam pekerjaan.

"Ini termasuk mengenalpasti peluang kerjaya dan menetapkan hala tuju bagi mencapai impian mereka. Ia juga membuka pintu untuk mereka meneroka pekerjaan dalam sektor farmaseutikal, penghasilan dan IT dalam firma seperti MSD," ujar Encik Zaqy.

Mereka akan didedahkan kepada pelbagai peranan dan peluang di dalam industri biofarmaseutikal dan memahami cabaran masa depan industri tersebut.

Mereka juga akan diperkenalkan kepada aplikasi pekerjaan seperti pencetakan 3D dan keselamatan siber.

'

Menerusi kerjasama yang pertama seumpamanya itu, Encik Zaqy menerangkan bahawa ia memberi kelainan berbanding program-program bimbingan anjuran MENDAKI sebelum ini.

Sekiranya berjaya, kerjasama itu akan dikembangkan untuk merangkumi lebih ramai pelajar pada masa depan.

Encik Zaqy berkata: "Dari segi bimbingan, program anjuran MENDAKI kebanyakannya adalah dari aspek pembelajaran, kemahiran hidup. Tetapi kerjasama ini ada elemen lain, yang mana ada pendedahan kepada peluang pekerjaan. Pendedahannya berlainan di mana ada sokongan untuk anak-anak Melayu, dan kita dapat memilih mereka yang mempunyai aspirasi untuk menyertai industri ini."

"Bagi kami penting bagaimana kami dapat membawa anak-anak Melayu kami untuk menyertai sektor-sektor berkembang, dan farmaseutikal adalah satu industri itu."

Sehingga kini, program-program mentor anjuran MENDAKI sudah berjaya memberi manfaat kepada lebih 4,200 pelajar, dan sepertiga daripada mereka ialah pelajar ITE.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan