Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI gantung semua kelas tuisyen; tawar sokongan pembelajaran online

Yayasan MENDAKI mengumumkan ia menggantung semua kelas tuisyen kendaliannya di bawah Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) dan Program Tuisyen Kerjasama (CTP) mulai 20 Mac hingga 5 April.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yayasan MENDAKI mengumumkan ia menggantung semua kelas tuisyen kendaliannya di bawah Skim Tuisyen MENDAKI (MTS) dan Program Tuisyen Kerjasama (CTP) mulai 20 Mac hingga 5 April.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini (24 Mac), MENDAKI menyatakan keputusan itu dibuat menyusuli pengumuman terkini oleh Kementerian Pendidikan (MOE) berhubung langkah berjaga-jaga yang dipertingkatkan di sekolah.

Sebelum ini, program Homework Café kelolaan MENDAKI juga digantung menyusuli penutupan masjid-masjid di Singapura sejak 13 Mac.

Penutupan itu menjejas 7,000 pelajar program tersebut.

Demi memastikan para pelajar terus mendapat sokongan dalam pembelajaran mereka, MENDAKI menawarkan sokongan pembelajaran menerusi wadah online.

Sebuah laman pembelajaran dari rumah dibangunkan bagi memberikan pelajar akses kepada bahan-bahan pelajaran seperti kertas soalan dan contoh jawapan. Para pelajar boleh mendapat akses kepada laman itu mulai Khamis (26 Mac).

Beberapa kelas tuisyen MTS juga akan diadakan secara online. Ia akan diadakan secara bertahap-tahap, dengan fasa pertama bermula Jumaat lalu (20 Mac).

Fasa kedua akan diadakan menjelang 4 April bagi kelas tuisyen peringkat Menengah 4 dan 5.

Selain itu, bahan-bahan pelajaran seperti bimbingan menerusi video, tpanduan dan pautan ke laman pendidikan juga akan dimuat naik ke laman rasmi MENDAKI dan wadah media sosial seperti YouTube.

Para pelajar juga boleh bertanyakan soalan kepada para tenaga pengajar menerusi kumpulan WhatsApp yang direka untuk kelas mereka.

Mengulas tentang insiatif-insiatif yang dijalankan MENDAKI itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan itu Rahayu Buang berkata: "Kami komited bagi memastikan MENDAKI terus menyokong para pelajar dan keluarga mereka meskipun dengan penggantungan kelas-kelas dan semasa waktu sukar ini.

"Kami sedang mengkaji pelbagai pilihan digital yang lain untuk menjalankan program-program kami seperti seminar pendidikan dan sesi pendekatan.

"COVID-19 mungkin mengganggu kehidupan kami tetapi pembelajaran harus diteruskan. Teknologi telah mewujudkan banyak wadah dan peluang di mana kita dapat manfaatkan dan terus berfungsi dalam persekitaran yang baru."

Orang ramai dinasihati untuk merujuk pada laman rasmi dan akaun media sosial MENDAKI untuk mendapatkan kemas kini terkini mengenai program-program dan khidmat mereka.

Bagi mereka yang memerlukan penggunaan peranti dan khidmat IT secara percuma, mereka boleh mengunjungi mana pusat satelit MENDAKI, kelab masyarakat atau perpustakaan awam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan