MENDAKI, e2i perkukuh usaha bantu belia lebih yakin, bersedia dan mesra AI dalam pasaran kerja baharu
Demikian jaminan yang diberikan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran, Zaqy Mohamad, kepada golongan tersebut.
Encik Zaqy yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, berkata demikian semasa di acara pameran kerjaya untuk golongan belia, pada Selasa (7 Okt).
Acara sepanjang dua hari itu dianjurkan oleh Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC dengan kerjasama Yayasan MENDAKI di *SCAPE.
Acara sedemikian, menurut Encik Zaqy, merupakan antara contoh bentuk sokongan yang diberikan kepada golongan belia dalam membantu mereka mendapatkan kerja.
"Bagi belia kita, penting di mana saya rasa MENDAKI mempunyai peluang untuk mendekati mereka memadankan mereka kepada pekerjaan. Tapi apa yang penting ialah bagaimana kita memberi mereka sokongan yang menyeluruh kerana bagi mereka, ia bukan sahaja satu isu mencari pekerjaan," kata Encik Zaqy.
Peningkatan itu adalah yang pertama bagi mereka yang berumur di bawah 30 tahun, walaupun kadar pengangguran bagi kebanyakan kumpulan umur lain semakin berkurangan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) e2i, Encik Brian Tan berkata: "Pameran kerja ini melihat secara khusus aspek persiapan dan perhubungan. Mempersiapkan mereka untuk bekerja dan boleh bekerja melalui pelbagai bengkel, kursus dan interaksi dengan majikan. Kami mempunyai pelbagai majikan daripada industri yang berbeza seperti hospitaliti, kejuruteraan. Ini memberi peluang kepada belia untuk meneroka industri berbeza serta memahami kemahiran mereka dan di mana kemahiran mereka paling sesuai dalam pencarian pekerjaan."
Selain itu, para peserta belia juga dapat pelajari tatacara temu duga, serta menulis 'resume' masing-masing.
PERLU JADI LEBIH MESRA AI, PERLU TEROKA SEKTOR BERKEMBANG
Encik Zaqy, yang menerajui bidang tumpuan keempat (FA4) M3 iaitu Daya Kerja dan Pekerjaan, berkata: "Kami menjalankan program dengan e2i supaya mereka (golongan belia) dapat meraih manfaat daripada pihak industri yang di sini, serta memberi mereka peluang melihat apakah yang baharu dalam industri itu."
Pameran kerjaya itu antara lain memberi peluang kepada peserta untuk meneroka sektor yang sedang berkembang serta membina kemahiran masa hadapan.
“Bagaimana mereka dapat melihat peluang-peluang yang ada dan bagaimana kita dapat meraih peluang daripada sektor berkembang. Jadi, ada di antara mereka mungkin mempunyai kebolehan tetapi mungkin tidak mempunyai pendedahan dalam sektor berkembang ini," kata Encik Zaqy.
Aspek yang semakin ketara digunakan dalam pekerjaan hari ini termasuk penggunaan Kecerdasan Buatan (AI).
"Kita mendengar ucapan Perdana Menteri Lawrence Wong sebelum ini. Beliau juga mengatakan bahawa masyarakat Singapura harus mesra dengan AI di peringkat ini kerana ia adalah satu perkembangan teknologi terkini yang mana banyak pekerjaan akan menggunakannya."
"MENDAKI juga mahu mendekati golongan belia supaya kita dapat membawa mereka untuk meningkatkan kemahiran agar lebih mesra dengan AI dan sebagainya supaya kita semua dapat juga meraih peluang yang baru dalam sektor berkembang," kata Encik Zaqy.
Lantaran itu juga, pameran kerjaya itu menekankan komitmen e2i dan Yayasan MENDAKI untuk membantu belia menyesuaikan diri dengan pekerjaan-pekerjaan yang berteraskan pendigitalan dan AI.
Antara peserta yang hadir di pameran kerjaya itu ialah Izz Ukail, pelajar ITE tahun kedua dalam jurusan Kejuruteraan.
Izz berkata: "Sekarang, saya di dalam jurusan Kejuruteraan dalam bidang Aeroangkasa. Pada masa hadapan, minat saya boleh berubah dan saya terbuka kepada lebih banyak pekerjaan. Sebab itu acara seperti ini penting, kerana ia membuka mata saya kepada peluang yang ada dalam bidang yang berlainan."
Jermaine Lee, juga palajar ITE tahun kedua pula berkata: "Saya berada di sini hari ini kerana saya tidak pasti apa yang ingin saya lakukan selepas tamat pengajian. Jadi saya di sini untuk mengetahui tentang pelbagai pekerjaan yang ada. Untuk temu duga saya yang lalu, saya ditolak beberapa kali, jadi saya juga ingin mengetahui lebih lanjut tentang kemahiran temu duga yang diperlukan."
Seramai 250 peserta belia menghadiri pameran kerjaya itu yang diadakan sejak Isnin (6 Okt).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.