Skip to main content

Singapura

MENDAKI dan Koufu kerjasama tubuh anugerah biasiswa, program bimbingan kerjaya bagi penuntut ITE

Anggaran Waktu Membaca:
MENDAKI dan Koufu kerjasama tubuh anugerah biasiswa, program bimbingan kerjaya bagi penuntut ITE

Yayasan MENDAKI dan Koufu menandatangani Memorandum Persetujuan (MOA) selama tiga tahun bagi menubuhkan Biassiwa Dana Amanah Pendidikan - Koufu. (Gambar: Yayasan MENDAKI)

SINGAPURA: Yayasan MENDAKI dan Koufu Pte Ltd menandatangani Memorandum Persetujuan (MOA) selama tiga tahun bagi menubuhkan Biassiwa Dana Amanah Pendidikan - Koufu yang bertujuan untuk memperkasa pelajar Melayu/Muslim Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang mengikuti kursus hospitaliti sepenuh masa.

Demikian menurut kenyataan media MENDAKI pada Jumaat (22 Ogos).

Koufu akan menyumbang S$45,000 bagi tempoh tiga tahun, dari 2026 hingga 2028.

Setiap biasiswa bernilai S$1,500 akan memberi manfaat kepada 10 pelajar setiap tahun dari ITE Kolej Timur, ITE Kolej Barat dan ITE Kolej Tengah.

Selain bantuan kewangan, MOA itu juga merangkumi program bimbingan dan latihan industri di dalam cabang perniagaan Koufu.

Inisiatif itu juga akan melengkapi pelajar dengan kemahiran yang relevan dalam industri dan memupuk pembangunan profesional bagi kerjaya masa hadapan dalam sektor hospitaliti.

MAJLIS TANDATANGANI MOA

MOA tersebut ditandatangani di ibu pejabat Koufu oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan MENDAKI Zuraidah Abdullah, dan Pengarah Eksekutif Koufu, Ng Hoon Tien.

Penandatanganan itu turut disaksikan oleh Timbalan CEO MENDAKI Zulaiha Yusuf, dan Pengerusi Kumpulan Koufu, Pang Lim.

Koufu turut melahirkan rasa besar hati untuk memulakan kerjasama dengan MENDAKI melalui penandatanganan MOA itu.

Ketua Pegawai Kewangan Koufu, Sher Lin Chua berkata: "Kerjasama ini bukan sekadar biasiswa - ia mencerminkan komitmen bersama kami untuk meningkatkan kehidupan melalui pendidikan, bimbingan dan libat urus masyarakat.

"Dedikasi MENDAKI dalam memperkasa masyarakat Melayu/Muslim melalui pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat amat selari dengan misi kami untuk memberi impak positif dan berkekalan.

"Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat menyediakan bukan sahaja sokongan kewangan tetapi juga akses kepada peluang bimbingan, program pembinaan kemahiran, dan inisiatif libat urus masyarakat yang interaktif.

Koufu juga melihatnya sebagai komitmen jangka panjang bagi membimbing bakat, memupuk keyakinan dan menyumbang kepada masyarakat yang berdaya tahan dan berkembang maju, tambah Cik Chua.
CEO MENDAKI Zuraidah Abdullah. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
CEO MENDAKI Zuraidah Abdullah turut berkongsi: "Industri hospitaliti Singapura adalah sektor yang sedang berkembang dengan permintaan yang berterusan untuk perkhidmatan hotel, F&B dan pelancongan.

"Perkembangan ini membuka peluang menarik untuk golongan belia kita, dan kerjasama ini akan membuka pintu kepada bimbingan dan peluang kerjaya yang membekalkan mereka dengan kemahiran dan panduan untuk berjaya, di samping bantuan kewangan."

LAWATAN KE KOUFU

Menyusuli penandatanganan itu, Pengurus Kanan Dough Culture Fion Fong turut berkongsi bersama sekitar 30 pelajar ITE tentang peranan Dough Culture dalam Koufu Group, serta pelbagai peluang latihan dan kerjaya dalam syarikat dan industri makanan dan minuman (F&B).
Para penuntut ITE dibawa melawat kilang DeliAsia. (Gambar: Yayasan MENDAKI)
Para pelajar turut dibawa melawat kilang DeliAsia, yang mempamerkan bagaimana syarikat itu menggunakan automasi untuk meningkatkan kecekapan operasi.

Penuntut tahun pertama di ITE Kolej East dalam jurusan Sains Makanan Gunaan, Muhammad Uzair Khalid, menggambarkan lawatan pembelajaran ke Koufu sebagai pengalaman "amat menarik dan menyeronokkan".

"Ia memberi saya peluang untuk mengetahui lebih lanjut tentang proses pembuatan doh dan pembuatan 'youtiao', yang sangat menarik.

"Sebagai seseorang yang bercita-cita untuk memulakan perniagaan makanan sendiri suatu hari nanti, pengalaman ini sangat berharga dalam membantu saya memahami beberapa proses utama dalam industri ini.

"Ia benar-benar memberi motivasi kepada saya untuk terus mengejar minat saya dalam sains makanan dan keusahawanan."
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita