MENDAKI catat peningkatan 80% penerima bantuan sejak Pelan Kerja Lima Tahun Bermula 2021
Yayasan MENDAKI mencatat peningkatan ketara dalam jumlah penerima bantuan sejak pelaksanaan Pelan Kerja Lima Tahun yang bermula pada 2021.
Menurut Pengerusinya, Encik Zaqy Mohamad, lebih 130,000 individu telah meraih manfaat daripada pelbagai program dan inisiatif MENDAKI pada tahun 2024 sahaja.
Ini menyumbang kepada peningkatan keseluruhan sebanyak 80 peratus antara 2021 dan 2024.
Perkembangan itu diumumkan Encik Zaqy semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-36 MENDAKI di Wisma MENDAKI pada Sabtu (14 Jun).
KEMAJUAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM
Antara pencapaian ketara MENDAKI dari 2021 hingga 2024 termasuk program KelasMateMatika (KMM), yang telah memberi manfaat kepada lebih 11,000 ibu bapa dan anak-anak.
Kini, 90 peratus murid yang mengikuti program tersebut melangkah ke sekolah rendah tanpa memerlukan sokongan tambahan dalam subjek Matematik.
Program Tuisyen MENDAKI (MTP) pula telah mendaftarkan hampir 35,000 pelajar dalam tempoh empat tahun, dengan peningkatan prestasi ketara.
Pada 2023, hampir 65 peratus pelajar MTP lulus cemerlang dalam PSLE Matematik – naik 7 peratus berbanding 2021.
Lebih 75 peratus pelajar GCE N(T) Matematik pula capai keputusan setaraf purata nasional.
Dalam bidang bimbingan belia, hampir 1,900 mentor telah dilatih dan ditempatkan bagi menyokong lebih 7,900 menti.
Sejak 2023, program #amPowered@ITE menggunakan model berasaskan kelas untuk meningkatkan penglibatan, dan hasilnya, sembilan daripada sepuluh pelajar berjaya meneruskan ke Tahun Dua pada 2024.
MENDAKI turut memperkukuh jaringan profesionalnya dengan lebih 850 ahli menyertai rangkaian Rangkaian Karyawan MENDAKI pada 2024.
Daripada jumlah itu, sekitar 60 peratus aktif menyumbang kepada pelbagai program dan inisiatif di peringkat akar umbi.
Pada suku pertama 2025 sahaja, sebanyak 23 aktiviti telah dianjurkan oleh ahli-ahli rangkaian ini, dengan kira-kira 70 lagi dirancang bagi sepanjang tahun ini.
Program khas untuk wanita, Women@Work (W@W), juga menunjukkan perkembangan positif.
Sejak 2021, hampir 550 peserta telah menyertai program ini, dan sekitar 200 daripada mereka berjaya ditempatkan dalam kerjaya yang bersesuaian.
MENDAKI telah menerima sokongan dana daripada Cabaran Presiden bagi meluaskan lagi program ini untuk tempoh lima tahun akan datang.
PENDEKATAN LIBAT URUS MENYELURUH DEMI MASA DEPAN KOMUNITI
Dengan baki setahun sebelum tamatnya pelan kerja semasa, MENDAKI kini sedang giat melibatkan pelbagai pihak untuk merangka Pelan Kerja baharu bagi tempoh 2026 hingga 2030.
"Kami telah banyak berbincang dengan lembaga pengarah dan pengurusan MENDAKI. Dalam tempoh tiga bulan akan datang, kami akan mengadakan rundingan dengan masyarakat dan rakan kongsi bagi merangka Pelan Lima Tahun MENDAKI yang seterusnya – dari 2026 hingga 2030.
" Dalam tempoh itu juga, MENDAKI dijangka berpindah ke Tanjong Katong Complex yang sedang dibina semula. Perpindahan ini diharap akan memberikan akses yang lebih luas kepada masyarakat serta kedudukan yang lebih strategik, berhampiran institusi lain yang turut berperanan membantu masyarakat. Bagi merangka pelan ini, kami akan berunding dengan pelbagai pihak termasuk ahli lembaga, golongan profesional dan pemimpin industri," kata Encik Zaqy
Selain itu, MENDAKI turut mendapatkan maklum balas dan data daripada pelbagai kementerian termasuk Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia; Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga; Kementerian Pendidikan dan Pejabat Perdana Menteri dari April hingga Jun.
Usaha libat urus itu juga diperluaskan kepada rakan masyarakat dan pemimpin belia menjelang Raikan Ilmu 2025 dan Persidangan Masyarakat Gemilang, serta anggota masyarakat melalui program Raikan Ilmu@Heartlands pada bulan Julai.
Sesi dialog bersama Ahli Parlimen Melayu/Islam pula akan diadakan pada Ogos sebagai sebahagian daripada usaha mendapatkan maklum balas dari akar umbi.
Dengan pelbagai pencapaian ini, MENDAKI terus komited untuk memperkasa masyarakat Melayu/Islam, khususnya dalam bidang pendidikan, pembangunan kerjaya dan pembinaan komuniti, selaras dengan misinya untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berdaya tahan, progresif dan inklusif.
MENDAKI HARGAI SOKONGAN SUKARELAWAN DAN RAKAN KONGSI, LANTIK EMPAT AHLI LEMBAGA PENGARAH BARU
Encik Zaqy yang juga Menteri Kanan Negara bagi Kementerian Pertahanan serta Kementerian Kemampanan dan Alam Sekitar, turut menyatakan penghargaan kepada para sukarelawan, rakan kongsi nasional, masyarakat dan sektor korporat serta para penderma yang telah berganding bahu menjayakan usaha-usaha MENDAKI selama ini.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli dan lembaga pengarah atas sokongan mereka sepanjang tahun ini. Kami juga mengalu-alukan pengarah baharu serta mereka yang telah dilantik semula, dan terima kasih kepada mereka yang telah menamatkan perkhidmatan mereka,” katanya.
Encik Zaqy turut menyampaikan penghargaan kepada mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli, atas kepimpinan dan visi beliau dalam memperkasa masyarakat.
"Kami juga telah menyampaikan penghargaan tulus kepada Menteri Masagos Zulkifli yang telah memberi kepimpinan beliau dan juga yang mempunyai visi yang jauh. Beliau juga telah memberi saya peluang untuk menjadi Timbalan Pengerusi sebelum ini, dan kini saya menyandang jawatan sebagai pengerusi,” ujar beliau.
Dalam pada itu, MENDAKI melantik empat anggota baru ke dalam lembaga pengarahnya iaitu Encik Mahmud Ahmad (Jamiyah), Cik Norhaida Kamaludin (KGMS), Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim (PPIS) dan Dr Rohana Ithnin (PERGAS).
Encik Ahmad Meeran Mohamed Bilal (Persekutuan Muslim India) dan Encik Muhammad Hairudin Abdul Hamid (PERDAUS) pula dilantik semula.
Sementara itu, Cik Hazlina Abdul Halim (PPIS), Dr Hirman Muhamed Khamis (SGM), Cik Nur Khadiyah Ramli (PERGAS) dan Encik Rohan Nizam Basheer (KGMS) bersara daripada jawatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.