MENDAKI bawa 16 pelajar ke China, beri pendedahan kepada AI, teknologi
Para pelajar akan berpeluang meninjau syarikat, berinteraksi dengan para pemain industri, menyertai sesi dialog dan kegiatan silang budaya serta berpeluang membina rangkaian. (Gambar: MENDAKI)
SINGAPURA: Belum pernah menjejakkan kaki ke luar negara, namun bagi perjalanan pertamanya, Mohammad Shakil Mikaeel Mohammad Firdous, 18 tahun, bakal melihat sendiri dunia kecerdasan buatan (AI) dan teknologi yang pesat berkembang di China.
Bagi pelajar Tahun 2 Nitec Lanjutan dalam jurusan teknologi aeroangkasa di Institut Pendidikan Teknikal Kolej Tengah itu, lawatan tersebut membuka peluang untuknya menimba pengetahuan yang boleh dimanfaatkan dalam pengajian dan masa hadapannya.
Shakil antara 16 pelajar Melayu/Islam dari institut pendidikan tinggi (IHL) yang bakal menyertai Lawatan Pembelajaran Luar Negara sulung anjuran Yayasan MENDAKI ke Shenzhen dan Guangzhou, China dari 12 hingga 16 Oktober.
Bercakap kepada BERITA Mediacorp semasa sesi taklimat lawatan itu, Shakil berkata: “Bagi saya, saya amat gembira kerana dapat peluang untuk ke luar negara dan saya boleh menggunakan peluang ini untuk menambah ilmu saya kerana saya sekarang sedang belajar teknologi aeroangkasa di kolej ITE. Ia boleh membantu saya untuk masa hadapan saya."
Mereka juga diberi penerangan mengenai jadual perjalanan, aspek keselamatan dan tugas masing-masing sepanjang program.
Tidak sabar menantikan perjalanan itu, Shakil berharap dapat “menajamkan lagi ilmu dalam industri aeroangkasa yang pesat berubah dan mempersiapkan diri agar terus kekal relevan.”
BERI PENDEDAHAN, BINA RANGKAIAN INDUSTRI
MENDAKI dalam kenyataannya pada 3 Oktober berkata lawatan lima hari itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas pertubuhan tersebut dalam memberi pendedahan dan melengkapkan belia Melayu/Islam dengan kemahiran, pemikiran dan rangkaian yang diperlukan bagi mengharungi ekonomi yang pesat berubah.
Para pelajar akan berpeluang meninjau syarikat, berinteraksi dengan para pemain industri, menyertai sesi dialog dan kegiatan silang budaya serta berpeluang membina rangkaian.
Menurut MENDAKI, lawatan itu juga bertujuan memperkukuh mobiliti sosial dengan meluaskan akses para peserta daripada keluarga berpendapatan rendah ini kepada peluang, rangkaian dan pengalaman yang dapat membantu mereka merealisasikan impian.
Dalam ucapannya semasa sesi taklimat, Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Encik Feroz Akber berkata pendedahan sedemikian diharap dapat menggalakkan golongan muda Melayu/Islam melihat peluang melangkaui Singapura.
“Kita mahu memberi masyarakat kita lebih banyak peluang untuk ke luar negara kerana kita mahu mereka juga berfikir secara global.
“Apabila mereka mula berfikir secara global, saya rasa ia juga akan mendorong masyarakat kita untuk berfikiran lebih luas dan mendapat inspirasi," kata Encik Feroz
TEROKA PERANAN AI DALAM SENI BINA LANDSKAP
Pendedahan kepada teknologi baharu menarik perhatian Dian Firzanah Mohammad Azlan, 22 tahun, meskipun bidang pengajiannya bukan berteraskan teknologi.
Pelajar Tahun 4 Seni Bina Landskap di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu melihat lawatan tersebut sebagai peluang meneroka bagaimana AI dan teknologi boleh digabungkan dengan bidangnya.
Di China, Cik Dian juga mahu memahami bagaimana kemajuan teknologi dapat berjalan seiring dengan aspek kemampanan.
“Saya harap saya boleh berkongsi pengalaman saya di China dengan kawan-kawan saya. Teknologi semakin berkembang pesat dan saya berharap dapat menggunakan teknologi dengan lebih praktikal, efisien dan mampan,” katanya.
BERTUKAR PANDANGAN, LUASKAN PERSPEKTIF
Bagi Akif Danish Aidi, 24 tahun, pula, lawatan itu bukan sekadar peluang melihat sendiri perkembangan teknologi yang berkaitan dengan bidang Pengurusan Kemudahan yang sedang dipelajarinya di Politeknik Singapura.
“Selain melihat perkembangan teknologi dan AI di China, saya juga ingin berinteraksi dengan warga China dan warga Singapura yang sedang bekerja di sana,” kata pelajar tahun 3 itu.
LEBIH BANYAK LAWATAN PEMBELARAN BAKAL DIADAKAN
Lawatan ke China itu juga bukan satu-satunya peluang pendedahan luar negara yang dirancang MENDAKI.
Menurut Encik Feroz, satu lagi lawatan ke Jakarta bakal diadakan pada hujung tahun ini, manakala lebih banyak peluang bagi kumpulan pelajar lain akan menyusul pada tahun-tahun akan datang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.