Skip to main content

Singapura

MENDAKI bantu lebih 160,000 individu pada 2025, peningkatan lebih 20%

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 May 2026 08:31PM Dikemas Kini : 17 May 2026 01:11PM
SINGAPURA: Lebih 160,000 individu telah meraih manfaat daripada pelbagai program anjuran Yayasan MENDAKI tahun lalu.

Jumlah tersebut merupakan kenaikan lebih 20 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu sebanyak 130,000.
Menurut MENDAKI, peningkatan itu mencerminkan usahanya yang dipergiat untuk mendekati masyarakat Melayu/Islam serta peluasan program-programnya.

Antaranya adalah perluasan program Raikan Ilmu@Kejiranan, KelasMateMatika (KMM), 'Family PlayDates', dan program bimbingan untuk mencapai lebih ramai penerima manfaat merentasi pelbagai segmen masyarakat.

Selain itu, pelancaran inisiatif Pegawai Perhubungan MENDAKI pada November 2025 telah mengukuhkan usaha tersebut, membolehkan pihaknya berhubung dengan lebih langsung bersama keluarga serta menyokong keperluan mereka dengan lebih baik.

Data terkini itu dikongsikan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran, yang juga Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad, semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-37 MENDAKI pada Sabtu (2 Mei).

DATA TERKINI MENDAKI

Lebih 10,000 pelajar menyertai program tuisyen MENDAKI Achievement Programme (MAP) yang sebelum ini dikenali sebagai Program Tuisyen MENDAKI, manakala lebih 1,500 individu menerima manfaat melalui anugerah, biasiswa dan bantuan kewangan.
Bagi mempertingkat kesiapsiagaan tenaga kerja, Rangkaian Profesional MENDAKI berkembang kepada lebih 1,000 ahli.

Program Women@Work (W@W) pula menarik lebih 250 peserta.

Dalam pada itu, MENDAKI turut memperluaskan program pementoran dengan lebih 800 mentor dilatih untuk membimbing lebih 2,800 pelajar.

Menurut Encik Zaqy, kemajuan masyarakat Melayu/Islam dalam beberapa dekad kebelakangan ini amat memberangsangkan.

Namun, beliau menekankan cabaran masa depan.

"MENDAKI telah ditubuhkan lebih 40 tahun lalu dan sejak itu kita telah melihat kemajuan besar dalam masyarakat kita, terutama sekali dalam dua dekad kebelakangan ini. Hari ini kita ada lebih ramai graduan, pemegang diploma dan golongan PMET.

"Kita melihat pendapatan isi rumah juga menunjukkan bahawa keluarga kita hari ini mempunyai sumber yang lebih baik untuk diri mereka dan juga anak-anak mereka. Persoalannya sekarang ialah bagaimana MENDAKI dapat terus seiring dengan dunia yang bergerak semakin pantas, dan pada masa yang sama bagaimana MENDAKI memastikan tiada sesiapa yang tercicir," kata Encik Zaqy.

KEMAJUAN PELAN KERJA 5 TAHUN MENDAKI

Sejak pelancaran pelan kerja MENDAKI 2030 pada awal tahun ini, MENDAKI sudah mempergiat usaha untuk memperkukuh program sedia ada untuk memberikan sokongan yang lebih tersasar dan menyeluruh kepada masyarakat.

Antara inisiatif utama termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menyediakan pelan pembelajaran yang disesuaikan serta mengenal pasti jurang pembelajaran pelajar.
MENDAKI juga memperkenalkan inisiatif Langkah Digital di bawah rangka kerja M³ bagi meningkatkan literasi digital dan AI dalam kalangan masyarakat.

Inisiatif itu bertujuan mempersiap setiap anggota masyarakat melalui bengkel pengenalan dan aktiviti berasaskan masyarakat untuk melengkapkan individu dengan kemahiran digital praktikal serta keyakinan untuk menerapkan teknologi dalam kehidupan harian mereka.
Program baharu RSL Language Explorer juga akan diperkenalkan pada Julai ini bagi membantu ibu bapa menyokong perkembangan literasi anak-anak dalam bahasa Inggeris dan Melayu.

Turut hadir bagi acara itu adalah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau menekankan bahawa usaha memperkukuh kerjasama pelbagai pihak merupakan kunci dalam memajukan masyarakat.


"Pelan Kerja MENDAKI 2030 dibina dengan asas kukuh dan menetapkan hala tuju yang jelas untuk menyokong setiap anggota masyarakat agar menjadi versi terbaik diri mereka pada setiap peringkat kehidupan. Ketika kita melangkah ke hadapan, M³+ akan memperkukuh kerjasama antara pemerintah, Yayasan MENDAKI serta rangkaian rakan-rakan masyarakat yang lebih luas seperti MMO dan IMO.

"Melalui kerjasama yang lebih erat, kita dapat menyokong keluarga dan belia dengan lebih berkesan, mempersiapkan tenaga kerja kita untuk ekonomi masa depan, serta membina masyrakat Melayu/Islam yang yakin, berdaya tahan dan terus berkembang maju," kata Dr Faishal.

PERUBAHAN KEPADA KEPIMPINAN MENDAKI

AGM turut menyaksikan pelantikan lima ahli baharu dan seorang ahli yang dilantik semula ke dalam Lembaga Pengarah MENDAKI.

Pengarah Baharu Dilantik:

1. Afza Fahmidah Amir
– Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM)

2. D’Cruz Firdaus Lionel Wilfred
– PERTAPIS

3. Dr Idris Mohd Taha
– Koperatif Guru Muslim Singapura (SGM)

4. Mustaffa Kamal
– Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS)

5. Ridhwan Mohd Basor
– Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM)

Pengarah Dilantik Semula:
6. Muhammad Azri Azman
– Persatuan Muhammadiyah
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita